Kelab Pemuji Serasi



Salah sebuah kritikan pedas yang dilontarkan Mohd Affandi Hassan terhadap golongan sastera kita adalah wujudnya satu penyakit yang disimptomkan sebagai Kelab Pemuji Serasi (terjemahan ikut suka hati bapak aku daripada Mutual Admiration Club). Kritikan ini bertitik tolak daripada pemerhatian beliau terhadap suasana sastera tanahair yang pada tanggapannya kurang menguji karya-karya sastera dengan tajam dan kritikal. Banyak karya yang diterbitkan atau dimuatkan secara majoriti hanya diberi pujian yang muluk-muluk dan manis-manis belaka. Puji-memuji ini pula tidaklah ada usaha untuk menyelami ke dalam dasar karya tersebut dan mendapatkan mutiara yang hendak disampaikan pengarang, namun cuma tanggapan-tanggapan yang cetek sahaja. Karya-karya ini tidak dihentam (kerana mungkin juga melayu secara intipati memang fobia terhadap kritikan serius). Lantaran itu, wujudlah budaya puji-memuji antara pengarang meskipun karya yang dilepaskan kepada masyarakat itu tidaklah berapa baik pun kualitinya.

Meskipun saya tak mendukung Gagasan Persuratan Baru secara total, namun saya fikir pandangan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Baik dari sasterawan aliran perdana mahupun sastera aliran marjinal, hal ini perlu dikutip dan direnungi semula hakikatnya. Sastera kita lesu kerana budaya puji-memuji yang menular dengan begitu dahsyat - meskipun banyak daripada mereka tidak menyedari langsung kepada dosa-dosa ini. Kekadang saya akan melihat di medsos atau di blog atau di zine-zine tertentu apabila karya-karya pramatang didaulatkan sebegitu agung dengan slogan-slogan yang aneh (mereka suka dengan istilah-istilah kekotaan ini seperti pascamoden, metarealisme, eksperimental, etc etc meskipun mereka sendiri tidak mengenali Derrida atau Fouccault atau melakukan sedikit penyelidikan tentang gagasan-gagasan itu). Perkara ini semakin membimbangkan apabila pihak mandiri sendiri yang mengizinkan gejala ini; sedangkan kewujudan mereka berfungsi tidak lain tidak bukan untuk memeriksa dan menyeimbang arus perdana yang mendominan ruang sastera kita dengan danda-dana pembayar cukai. Walhal banyak lagi karya yang lebih sesuai untuk diperkenalkan, yang lebih sesuai untuk dicungkil dan diperdebatkan isi maknanya. Jika trend ini berleluasa maka sastera kita bakal berhadapan dengan satu barah yang betul-betul menyulitkan. 

Saya terfikir juga barangkali hal yang menjurus kepada permasalahan ini timbul kerana satu perkara: ketandusan kritikan sastera. Berangkat dari premis ini, saya fikir barangkali majoriti pembaca x pengarang di Malaysia masih tidak memahirkan diri dengan selok-belok kritikan sastera. Saya mengatakan bidang ini mustahak kerana kritikan sastera mengajak kita untuk merenungi sesebuah karya dengan pemikiran yang tajam. Ibarat seorang detektif yang mencapah penglihatan dan cuba menjejaki tanda-tanda keraguan pada surat yang diterimanya daripada seorang gadis yang sudah mati sepuluh tahun lalu. Kritikan sastera adalah kanta pembesar itu - satu pemerhatian yang teliti tentang kualiti yang perlu dikandungi dalam sesuatu karya sastera. Daripada ini kita akan menganalisis tentang tema utama naratif, latar, watak, plot, dsb dan mengaitkan ia dengan iklim kontemporari. Jika hal-hal ini pun tidak diambil berat, maka apakah bezanya sastera serius dengan sastera popular?

Baru-baru ini saya sedang membaca Gubahan Novel karangan Shahnon Ahmad. Di dalamnya Shanon mengajar kita cara-cara untuk menyusun idea dan menjadikan ia novel dengan kekuatan yang meyakinkan. Separuh daripada pembacaan ini menyedarkan saya betapa jauhnya realiti kritikan kontemporari daripada yang ideal, pengupasan selapis demi selapis perlu dibuat pada satu-satu karya jika kita mahu sastera tanahair terus berkembang mekar dan berbunga. Setiap rinci dan butiran harus dihadam selumat-lumatnya. Apakah kaitan watak koboi di Amerika Barat? Adakah tema ini subversif? Bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan latar tempat? Perkara-perkara inilah antaranya yang perlu diberi perhatian. Kita tidak mahu dewi sastera kita digula-gulakan dengan pujian-pujian manis dan meninggal dunia di ranjang hospital lantaran diabetes. Dewi sastera kita mahu difahami, mahu dimengertikan isi hatinya.

Maka saya fikir lagi, inilah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap warga pengarang. Bahawa kita harus pelajari serba-sedikit tentang kritikan sastera sebelum menghasilkan atau mengulas suatu-suatu karya. Bolehlah cuba menelaah Dewan Sastera atau buku-buku Mana Sikana, Shahnon Ahmad, atau lain-lain pengarang yang menyedikan buku berkaitan. Pengarang harus jadi berani dan mempersiagakan diri dengan gagasan-gagasan yang difahami hujung pangkalnya. Kita harus menginsafi bahawa hidup dalam tempurung hanya akan menghenyak katak di dalamnya. Tempurung selesa itu harus dipecahkan dan kapak yang tertajam hanya boleh diasah dengan pemikiran yang serba canggih dan jitu.

Pengkritik-pengkritik tanahair, bangkitlah. Kalian tidak akan kerugian apa-apa melainkan kebutaan sasteramu.

Comments

Husaini Ghazali said…
Hmm betul gak tu. Kekadang tu baca ulasan di goodredas lagi baik daripada ulasan/kritik di suratkahabar atau majalah.

Popular Posts