Tentang KL Reviu #satu

Boleh didapati dari twitter Punggok Agency.


Barangkali di Malaysia, esei masih bukan lagi genre yang popular di kalangan sasterawan tanahair. Kita ada banyak pengarang fiksyen dan sajak namun jarang-jarang kita mendengar tentang pengarang esei, lebih-lebih lagi yang menulis dengan serius. Atas hal ini kami mengumpulkan beberapa esei dan memuatkannya ke dalam format zine yang disunting Ainunl Muayainah. Dalam menyiapkan zine, saya berganding bahu dengan Azrin Fauzi dan Wan Nor Azriq dengan tema utama: seni, sastra, sinema, hal-hal tak terduga. Ia kedengaran poyo namun bukankah setiap gagasan agung bertitik tolak dari sejenis kepoyoan? 

Kami menghasilkan zine ini atas dasar ingin memperkenalkan esei kepada kesedaran kolektif kelompok pengarang di Kuala Lumpur. Jika nasib kami tuah, barangkali juga akan sampai kepada pengarang-pengarang di luar ibukota. Esei merupakan satu wahana seni yang menarik sekali untuk diterokai pengarang-pengarang muda di Malaysia. Sebagai pengantara antara fiksyen dan rencana, esei wujud fleksibel dalam menyediakan ruang bagi mereka menyampaikan pandangan-pandangan peribadi terhadap sesuatu objek atau peristiwa. Ia tak rigid, bahkan tidak juga kering seperti makalah-makalah yang sentiasa kita temui di dada akhbar. Ia boleh ditulis tentang apa-apa sahaja; baik pengalaman menonton filem, membaca buku, mengeteh kopi bersama bapa, melamar kekasih di taman, berdemonstrasi bersama kaum proletariat, serta apa-apa sahaja pengalaman atau perasaan yang terlintas di fikiran semasa mengetik papan kekunci. Esei tidak memilih kasih atas topik apa yang mahu diperbincangkannya.

Zine ini diusahakan untuk meraikan esei dengan segala keupayaannya. Semoga hasil sederhana kami ini mencambahkan lebih banyak wacana atau perbincangan mengenai wahana ini di dalam kanun kesusasteraan kita. Insyaallah.

Comments

Popular Posts