Homaj buat Kuantan.



Barangkali Kuantan bukanlah kota yang terindah di dunia. Ia terduduk di Pahang, sebelah Pantai Timur. Di sini tiada bangunan-bangunan pencakar langit, taman tema gergasi, kelab malam serbuan ekspat, atau kafe-kafe yang menghidangkan kopi dengan nama-nama yang sukar kau sebutkan. Barangkali mungkin ada Zenith yang memenarai kota; serta dua mall yang jaraknya hanya sepuluh minit berjalan kaki. Selain itu, Kuantan tidak ada apa-apa untuk ditawarkan kepada kau yang mencari citarasa urban metropolitan. Ia berdiri sebagai sebuah kota sederhana.

Saya selalu mengenang Kuantan sebagai kota remaja. Remaja, kerana saya kira di sanalah tempat saya benar-benar merasai muda. Begini, saya melalui Asasi Perundangan di sana ketika saya masih berumur lapan belas tahun. Ketika itu saya baru benar-benar menikmati rasa bebas. Sepanjang lima tahun hidup persekolahan saya dibatasi pagar-pagar asrama. Saya mengambil PMR di SM Sains Selangor dan SPM di Maktab Tentera Diraja. Rutin-rutin sekolah harian saya hanya pernah lalui sebulan setengah, sebelum dikirim ke Cheras dengan berkat restu ibubapa.

Apabila di sana, saya sudah mulai belajar untuk keluar malam sampai lewat. Dari sini saya mengenali beberapa sahabat yang masih akrab sehingga kini: Khairul Naim, Akmyr Azwan, Shahrul Samsuddin, Khairulnizam Yoe, Alia Affendy, Latiff Idham, Farid Rasdi, serta lain-lain yang saya tak sebutkan. Memandangkan juga kampus kami berdekatan dengan mall, maka ECM dan Megamall sentiasa menjadi tempat persinggahan kami sesudah kuliah. Kekadang kami akan ke sana untuk bermain boling atau arked permainan. Kekadang juga untuk menjamah santapan atau menonton mana-mana filem terbaru di pawagam. Ada juga di hujung minggu kami akan ke Teluk Chempedak semata-mata untuk menghisap shisha. Saya masih ingat ruai yang menyediakan shisha di sana dan tidak ada shisha yang lagi baik daripada bau asap wangi di tepi pantai berbayu lembut.

Pada waktu yang lain, saya juga akan mengelilingi kota dengan mantan kekasih. Biasanya jika berjalan kaki saya tidak ada apa-apa rancangan di kepala. Kaki hanya akan berhayun dan saya akan menjelajahi ke mana-mana ceruk dunia yang dibuka oleh kota itu. Kekadang kami akan sampai di Jalan Beserah sambil saya akan menuding jari "ini sekolah kawan karib di MTD dulu" atau hanya membeli roti murtabak dan bersila di Padang MPK menunggu azan maghrib berkumandang. Kekadang juga kami akan mampir di Sungai Kuantan melihat kapal-kapal lalu di sebelah malam. Biasanya sesudah matahari tenggelam, udara di Kuantan dingin dan berbayu. Di bawah cuaca seperti ini berjalan kaki boleh jadi sesuatu yang menenangkan fikiran.

Tempoh hari saya ke Cherating bersama Dib Jual Kata dan Petak Daud untuk Pesta Ngulor anjuran sahabat-sahabat Hafizol Hakami. Kemudian semasa perjalanan pulang, Dib mencadangkan untuk singgah di Kota Kuantan dan saya bersetuju. Kami bersarapan roti benggali dan kopi kaw sebelum menghentikan kenderaan tidak jauh daripada Taman Cendawan. Di seberangnya terbaris beberapa kedai; salah satunya kedai buku yang saya pernah suka singgahi. Kemudian sebuah efifani aneh timbul di benak.

Betapa lamanya saya sudah meninggalkan kota ini. 

Selepas saya berpindah di Shah Alam, hanya sekali dua sahaja saya berkunjung di Kuantan. Sekali untuk meraikan pertunangan sahabat, sekali lagi kali ini. Tetapi setiap kali saya berkunjung di sini pasti saya merasai sebuah perasaan yang bercampur-baur. Hati saya merasai gembira, juga sesuatu yang jauh dan nestapa. Makna perasaan itu sering tergelincir melalui celah jari apabila ia cuba digenggami. Seolah-olah satu rasa yang tak terjemahkan kata-kata. Namun barangkali Azar Nafisi bijak untuk mengungkapkan - seperti dalam Reading Lolita in Tehran - :

“You get a strange feeling when you're about to leave a place, I told him, like you'll not only miss the people you love but you'll miss the person you are now at this time and this place, because you'll never be this way ever again.”

Berdiri di Jalan Bukit Ubi menghadapi Masjid Sultan Ahmad Shah, saya menyedari jarak masa dan fiizkal di antara saya dengan kota ini. Di sini saya terkenang semula apa yang saya ertikan sebagai bibit keremajaan - ketika saya masih berani dan tolol untuk mencuba segala-gala. Barangkali saya bukanlah tua seperti yang difikirkan. Cuma di antara sekarang dan dulu berdiri pengalaman-pengalaman yang jerih; di antaranya wujud serpihan yang sampai sekarang agak sulit untuk saya fahami. Tetapi itu tak bermakna saya mahu merungkainya. Ada sesetengah perkara yang saya kira elok untuk dibiarkan begitu. Tak terusik dengan keterbatasan faham kita yang fana. Biarkan waktu sendiri yang menjamahnya.

Kau takkan jejaki sungai yang sama dua kali, sabda Heraclitus. Hari ini saya bukanlah insan yang sama seperti tahun-tahun kelmarin. Saya berubah. Kota ini berubah. Seluruh semesta terus bergerak selaras dengan tuntutan Alam semenjak berjuta-juta tahun pasca penciptaan. Dan umat manusia hanya tinggal bahasa sahajalah untuk membekukan pengalaman aliran ini ke dalam bentuk perkataan. Tanpanya, manusia kehilangan segala-galanya dalam flux tak berpenghujung.

Comments

Popular Posts