Memahami dasein

Wanita di Tehran, Iran. Foto ini diambil dari rencana Heidegger's Ghost, makalah The American Interest.


Dalam syarahan-syarahan beliau di Jerman dan di serata dunia, Martin Heidegger pernah menyatakan bahawa kegelisahan terhadap ajal adalah intipati kewujudan setiap umat manusia (dasein). Kita dibuang ke dunia ini tanpa keinginan peribadi dan dipaksa bergantung kepada kewujudan masyarakat di keliling tanpa persetujuan kita sendiri (geworfenheit). Kecampakan ini menjuruskan kita kepada dunia yang penuh Das Man (terjemahan mengikut konteks: sembang-sembang orang lain), yang akhirnya melupakan kita kepada tujuan asal kita wujud di muka bumi ini (das nicht). Sembang-sembang yang saya sebutkan ini boleh juga dipandang dalam bentuk hukum masyarakat, atau budaya setempat, atau undang-undang, atau lain-lain seumpama yang mengalihkan perhatian kita daripada mengingati perkara yang paling pokok tentang kehidupan: ajal.

Hanya kegelisahan terhadap kehidupanlah yang akan mengajar kita untuk menjalani kehidupan yang paling tulen (authenthic). Dari sini, hujah Heidegger berangkat lagi dengan gagasan bahawa mana-mana budaya yang cuba menyingkirkan kegelisahan daripada diri manusia adalah budaya yang berdosa dalam menyuburkan kepalsuan. Bagaimanakah sesuatu budaya itu sesuai dengan manusia apabila ia cuba mencabutkan sesuatu yang paling intipati tentang kewujudan - iaitu ingatan ajal? Dalam konteks moden misalnya, kita dihenyak dengan bermacam-macam hiburan dan kemudahan teknologi yang akhirnya menjauhkan kita daripada pertanyaan yang begitu mustahak ini.

Apakah jalan yang perlu dilalui seseorang itu untuk menghampiri dasein? Itulah pertanyaan yang pernah dilemparkan oleh pelajar-pelajar beliau suatu masa dahulu. Kepada ini Heidegger menjawab, "dengan meluangkan lebih banyak masa merenung di tanah kuburan."

__________

Setakat itu adalah pemahaman saya tentang Heidegger yang saya kutip dari bacaan-bacaan dari pelbagai sumber. Namun apa yang saya tuliskan di atas hanya menyentuh permukaan gagasan-gagasan beliau sahaja. Pemikiran-pemikiran beliau banyak berlingkarkan ontologi; satu cabang falsafah yang agak rumit. Selain itu, istilah-istilah beliau juga berakar kepada tradisi Jerman. Dan ini menjadikan ia sulit untuk diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain, lebih-lebih lagi apabila bahasa sasaran tidak memadai untuk menangkap keseluruhan maksud seperti yang terkandung dalam bahasa asal. Ini akhirnya terjadi kepada dasein, das nicht, dan lain-lain.

Saya masih cuba memahami gagasan lelaki ini, meskipun Heidegger ialah seorang filsoof yang amat tenggelam dalam kontroversi. Dia ialah pendukung teguh Nasionalisme Sosial semasa kebangkitan Adolf Hitler pada awal-awal Perang Dunia Kedua. Malahan beberapa rekod menampilkan bahawa dia turut kecewa dengan ketewasan Jerman pada hujung perang tersebut. Apa yang meyakinkan beliau terhadap perjuangan nazisme sememangnya di luar kefahaman saya. Tetapi jawapannya barangkali terdapat pada jejak-jejak falsafah beliau yang sarat terminologi ganjil itu.

___________

Saya pernah ada keinginan untuk membeli dan menghadam sendiri Being and Time tulisan filosof Jerman itu. Tetapi Rick Roderick tak menggalakkan pembacaan buku Heidegger untuk ditelaah secara langsung. Menurutnya, menelaah Being and Time juga boleh jadi das nicht kepada diri anda jika anda tidak mahir dengan selok-belok ontologi. Sekadar menelaah pendapat-pendapat filosof lain tentang hasil kerjanya sudah memadai.

Untuk memahami Heidegger, terdapat beberapa video di internet yang boleh memberikan taaruf ringkas. Salah satunya adalah ini:


Comments

shafizah said…
saya kenal heidegger pun waktu dlm kelas teori hermeneutik dalam sastera. dasein? menarik sekali untuk dibaca
jhnrdzi said…
Ya, banyak gagasan Heidegger ditunjangi 'dasein', yang diterjemahkan dalam bahasa inggeris sebagai being. kelupaan terhadap being sering menjadi tema utama dalam kajian-kajian beliau.

Popular Posts