COVID-19 sebagai gerbang ke alaf baharu

Setelah hampir dua tahun mengganasi dunia, covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda untuk reda dalam masa-masa terdekat. Saban hari kita mendengar baka baru yang tertetas, atau angka kematian yang melonjak-lonjak, serta berita-berita kuncitara yang semakin gagal menampakkan hasil pembasmian. Di medsos bergentayangan pepatah yang mengatakan bahawa Covid-19 tak mengubah sistem yang buruk, ia cuma melondehkan wajahnya, menzahirkan rupanya yang hodoh untuk umum tatapi. Memang benar, serangan covid-19 ini adalah suatu ujian ketahanan sistem - tatakelola apakah yang boleh menjamin kelangsungan hidup dan kesihatan warga-warganya? Tampaknya di Malaysia kita masih gagal, dengan kes tularan yang tak terkawal dan jangka kuncitara yang menyekat pergerakan kita dengan dahsyat semenjak awal 2021 lalu (bukankah ini secara langsung, menunjukkan bahawa ada sesuatu yang bermasalah dengan cara kita kendalikan wabak ini?

Saban hari, garismasa saya penuh dengan berita-berita kematian. Sukar bagi seseorang untuk kekal positif bila membaca berita-berita seumpama itu. Sama ada mereka temui ajal kerana covid-19, atau sebab-sebab lain, tak dapat saya pastikan. Kuncitara demi kuncitara dilaksanakan; prasarana-prasarana moden yang selama ini kita pakai dan manfaatkan, tiba-tiba jadi tak berguna di hadapan pukulan covid-19. Berita-berita alternatif pun tumbuh bak cendawan; masing-masing menawarkan tafsiran mereka terhadap apa yang menjerut dunia saat ini. Tetapi melihat kepada perkembangan-perkembangan lewat ini, serta tamsilan yang ketara kepada Maut Hitam yang melanda Eropah pada 1347 dulu, tak dapat tidak saya menganggap pandemi ini bukan sahaja sebagai suatu kaedah Semesta untuk menyelia populasi (bukankah kenaifan warga moden adalah menganggap bahawa semua berita buruk yang mereka baca di sejarah: peperangan, wabak, kebuluran, bencana alam, kemarau panjang, dll adalah sesuatu yang jauh dengannya, oleh yang demikian tak perlu merasa khuatir akan apa-apa?) tetapi suatu gerbang ke alaf yang baharu.

75 hingga 200 juta insan terkorban dek Maut Hitam. Itu bukanjumlah yang gampang. Ia tercatit sebagai antara pandemik yang terdahsyat di dalam lipatan sejarah manusia. Tetapi apa yang menyusul kemudian juga adalah antara kisah sejarah yang tak kalah hebat: Nahdah Eropah (European Renaissance). 



Sudah tentu zaman yang menyaksikan pertumbuhan seni dan sains yang begitu ketara ini bersusurgalur daripada banyak sumber: terjemahan ilmu yunani dan romawi dari Dunia Arab, kesanggupan para pemodal untuk melabur dana, penerokaan-penerokaan ke Timur dsb, tetapi sisi Maut Hitam juga memain peranan, jika bukan sebagai pemacu utamanya. Buat kali pertama di dalam sejarah, setelah umat manusia dikejutkan dengan jangkitan wabak yang sebegitu ganas, telah timbul suatu kesedaran di dalam sanubari mereka untuk merayakan kehidupan, bukan ala hedonisme dengan botol-botol arak bergelimpangan, atau sundal-sundal yang terjelita dari negara-negara eksotis, tetapi penghayatan yang jitu terhadap hidup - atau lebih khusus, kefanaan hidup.

Warga-warga Eropah yang tersisa daripada pandemik itu mula bertanyakan soalan kepada diri mereka sendiri - jika hidup begitu fana dan ajal bisa menjemput bila-bila masa, bukankah sudah tiba masanya untuk aku merayakan kehidupan sebetul-betulnya? Anjakan pandang-sarwa ini berlaku perlahan, tetapi pasti. Mereka tak mahu lagi hidup di dalam ketakutan atau membazirkan hayat dengan rentak monotonous. Berkat kesedaran ini mereka mula menggali khazanah-khazanah ilmu lama: Yunani, Romawi, Arab, China, India, serta lain-lain. Mereka mendirikan bangunan-bangunan yang indah seperti Chapel Sistine, Basiliska Santos Peter, Istana Medici, antara lain. Mereka membuang rasa malu terhadap tubuh manusia yang selama ini menjadi taboo, lalu mengukir patung-patung yang menonjolkan kepadatan otot dan kerampingan lekuk Watak-watak diukir teanjang, atau separa telanjang: Sang Daud, Sang Musa, Si Hercules, para jeneral dan wira Dunia Klasikal, para malaikat dan wali Dunia Kristian). Lukisan-lukisan yang sentiasa diingati juga terhasil sewaktu zaman ini: Mona Lisa, Santapan Akhir, Kelahiran Venus, Penciptaan Adam.


Kelahiran Semula warga Eropah ini menandakan suatu aras kemajuan yang bitara pada zamannya. Tiada tamadun sebelum itu yang berjaya menghasilkan gagasan-gagasan dan arca-arca yang bukan sahaja sarat aestetika, tetapi juga bersifat abadi - kekal di dalam panggung dunia sebagai cita-cita akan keindahan, kegagahan, ketelitian, dan peletakan Insan sebagai teras utama Semesta. Bukan sahaja seni yang menyubur kala ini, tetapi penerokaan juga makin giat. Pelayaran demi pelayaran dilancarkan ke benua Amerika, Afrika, dan Asia, jauh sampai ke Jepun. 

Malapetaka wabak telah melahirkan satu generasi manusia yang berani bertanggung risiko (sifat yang memangkin kepada segala penciptaan dan penemuan). Tidak lagi selesa hidup di dalam tempurung, mereka belayar membelah samudera dan bertemu dengan kaum-kaum pribumi di luar mandala Eropah. Menerusi penemuan-penemuan tanah baru mereka mendirikan perkampungan mereka di situ - mengeskport ke-Eropah-an ke serata dunia, dengan ilmu, teknologi, agama, tetapi juga dengan ancaman senjatapi dan tusukan pedang. Ferdinand Magellan mengelilingi dunia merentasi benua Amerika dan Samudra Pasifik. Marco Polo membentang Laluan Sutera; mengkayakan bangsa-bangsa yang hidup sejajar dengan laluan dari Itali itu, terus sehingga ke jantung China. Begitu juga Vasco Da Gama, Francisco Pizarro, dan lain-lain. Selanjutnya adalah sejarah.

Tema kehampiran-dengan-ajal adalah pertanyaan yang berulangkali timbul di dalam perkembangan manusia. Para sufi islam rajin bertafakur di kuburan untuk merapati Allah SWT. Para stoic sentiasa menggantung cogankata-cogankata yang mengingatkan penganut-penganutnya akan kehampiran ajal di kamar sewaktu mereka merenung dan menulis. Si filsuf Rimba Hitam, Martin Heidegger, pabila ditanya oleh murid-muridnya tentang bagaimana untuk hidup secara otentik, menjawab: dengan meluangkan banyak masa di kubur dan mengingat mati. Mungkin ia kedengaran ironis tetapi barangkali di saat kita ketahui bahawa hayat kita terbatas dan kita masih tak menyelongkar penuh potensi diri kita sebagai manusia, kita akan mula bergerak ke arah hasrat tertinggi kita dan membuang hal yang sia-sia.


Covid-19 tak lain adalah suatu peluang, suatu gerbang untuk manusia menjejaki Alaf Baru. Dah tentu, sesudah wabak ini punah dan kekebalan manusia makin kental, kita takkan kembali kepada dunia yang sama lagi. Dua tahun penularan wabak telah mengubah kita selama-lamanya. Dengan azam, luka, tenaga, dan harapan yang baru, generasi manusia yang tampil sesudah covid-19 adalah suatu bangsa manusia yang baru, yang memicu pertumbuhan tamadun, dan menganjak umat ke peringkat sejarah yang baru; mungkin cocok dengan sabda Soe Hok Gie sebagai bangsa yang lebih "cinta pada keberanian hidup."

Itu pun, jika kita sebagai umat manusia tak pupus, atau seluruh dunia tak jatuh kepada kuasa totalitarian sejagat yang canggih lagi jahat...

Comments

Popular Posts