25 pepatah Sang Procrustes


Saya mula mengenali sosok Nassim Nicholas Taleb apabila terbaca mengenai bukunya The Black Swan di laman sesawang. Sarjana kelahiran Lubnan ini menempa nama di persada antarabangsa dengan beberapa teori yang menarik; antaranya ialah fenomena angsa hitam, antirapuh, teori ludic, dsb. Katil Sang Proscrustes ialah karya pertama yang saya baca, mengandungi aforisme-aforisme Nassim yang kadangkala lucu, tajam, sinis, dan pintar. Dua puluh lima pepatah ini adalah antara yang terbaik bagi hemat saya:

1. Kerja membinasakan jiwamu dengan mencerobohi otakmu secara senyap-senyap pada jam-jam yang seharusnya anda bersantai; berwaspadalah memilih profesionmu.

2. Lawan kepada kejantanan bukanlah ketakutan; tetapi teknologi.

3. Banyak orang takut hidup tanpa rangsangan audiovisual kerana fikiran dan imaginasi mereka selalu hambar dan tumpul acapkali dibiar bersendirian.

4. Paganisme adalah teologi nyah-pusat.

5. Atheist hanyalah si pentaksub agama versi moden: mereka menafsir agama terlalu harfiah.

6. Karl Marx, seorang pemikir, telah menetaskan suatu gagasan bahawa anda boleh kawal seorang hamba dengan lebih berkesan dengan meyakinkan bahawa dirinya seorang majikan.

7. Seseorang yang mengatakan dirinya “aku sibuk” adalah sama ada dia tak reti atur masa, atau tak berminat jumpa anda.

8. Kemodenan: kita melahirkan anak muda tanpa keperwiraan, usia tanpa hikmah, kehidupan tanpa keagungan.

9. Jangan upah pelajar markah A sebagai pekerjamu melainkan anda ingin lulus peperiksaan.

10. Birokrasi direka untuk menjarakkan senjang di antara pembuat dasar dan orang-orang yang terkesan dek dasar tersebut.

11. Semua khabar angin tentang seorang tokoh awam itu tidak benar sampailah dia mengugut untuk saman.

12. Tiga ketagihan yang paling berbahaya: heroin, karbohidrat, dan gaji bulanan.

13. Sebuah buku yang bagus akan bertambah bagus bila dibaca kali kedua, malah lebih kali ketiga. Buku yang tak berbaloi diulang-baca tak berbaloi untuk dibaca.

14. Manusia memusnahkan sesama lain ketika perang, diri mereka sendiri ketika aman.

15. Seperti penyair dan seniman, para birokrat itu dilahirkan, bukan diciptakan; kita perlukan tumpuan yang luarbiasa untuk kendalikan tugas-tugas yang bosan.

16. Zaman Gelap yang kaya maklumat: pada 2010, 600,000 buah buku diterbitkan, di dalam bahasa inggeris, dengan beberapa kalimat yang dikenang-kenang. Sekitar tahun sifar, hanya segelintir buku yng terhasil. Pun begitu, berlambak kalimat mereka yang kita terus pakai.

17. Apa yang membuat perubatan dapat tipu orang sekian lama adalah keberhasilannya selalu dipamer kepada orang ramai, sementara kegagalannya dikambus (secara harfiah) dalam-dalam.

18. Orang lemah bertindak utk memuskan nafsu, orang kuat utk memenuhi tanggungjawab.

19. Negara-bangsa sukakan perang; negara-kota sukakan dagang; keluarga sukakan kestabilan; dan insan sukakan hiburan.

20. Makan lembu tak jadikan anda lembu; baca falsafah tak jadikan anda berhikmah.

21. Bila anda belasah orang, anda dapat bersenam dan melegakan hati; bila anda mengejeknya atastalian, anda cuma mencederakan diri anda sendiri.

22. Sejak Plato, fikiran Barat dan teori ilmu bertumpu kepada hakikat Benar-Salah; walaupun bagus, mungkin kita juga boleh beranjak kepada hakikat Kental-Rapuh, dan epistemologi sosial kepada masalah membarah seperti Si Cerdik - Si Dungu.

23. Empat pemikir terbesar moden: Darwin, Marx, Freud, dan Einstein merupakan ilmuwan, dan bukannya sarjana akademis. Bukan senang untuk kita kerjakan hasil yang tulus - dan tak terpupus - di dalam kerangka institusi.

24. Bagi para klasik, kefahaman falsafah adalah hasil hidup yang bersantai; bagi kami, hidup bersantai pula adalah hasil kefahaman falsafah.

25. Perbezaan antara bank dan Mafia: bank ada kepakaran perundangan, tapi Mafia fahami pandangan-pandangan awam.


Comments

Popular Posts