Diriku Kaugeser Jangan

"Aku akan mati sebelum melihat fajar baru yang menyingsing di negaraku. Kau, yang akan melihatnya nanti, sambutlah ia buatku... kenangilah saudara-saudaramu yang telah gugur sebelum dinihari."




Ayat tersebut, yang dilafaz oleh Elias, antara watak terpenting dalam Noli Me Tangere, jadi semacam suatu doa oleh Jose Rizal sendiri. Secara ironinya ucapan ini berbalik kepada dirinya tak berapa lama kemudian. Jose Rizal tak sempat melihat negara kesayangannya membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Tapi tentu, segalanya tak jadi sia-sia. Jose Rizal meninggalkan kita dua karya yang akan terus diingat sepanjang zaman, salah satunya berjudul Noli Me Tangere (Diriku Kaugeser Jangan). Buku inilah yang saya baca sepanjang kuncitara berlangsung sebermula awal bulan ini.

Jose Rizal menyingkap kebobrokan kolonialisme sepanyol dengan mengamati dua kelompok yang paling berkuasa di ranah ini: pertama, gereja katolik yang memeras dan menghisap darah rakyat-rakyat terbanyak; kedua, jaksa pendamai, yang melaksanakan kekejaman dengan otot dan senjata. Gandingan dua kelompok ini telah menghenyak kaum pribumi fillipina dengan begitu berbekas, sehingga dosa-dosa ini masih terlihat pada zaman moden masakini.

Kelompok pertama menguasai hati dan minda rakya terbanyak dengan citra-citra keagamaan, dengan melafazkan doa-doa dan bernyanyi mazmur di dalam bahasa latin - suatu bahasa yang asing bagi warga Fillipina. Dengan memonopoli bahasa suci itu kaum gereja telah menghisap dana yang besar daripada orang-orang lokal yang miskin serta dhaif, mencukai mereka untuk penghapusan dosa (kerana ini, Martin Luther menyalakan obor berontak di benua eropah) mereka lantas hidup di dalam ketakutan kerana membayangkan diri mereka bakal dilaknati tuhan jika ingkar kepada titah-titah paderi. Jaksa-jaksa pendamai dengan senjata-senjata mereka terus membuli dan memukul warga-warga fillipina yang lemah dan tak berdaya,s seraya disingkirkan ke taraf kehidupan yang terhina.

Malahan mereka menuduhi bahawa orng-orang pribumi ini lazimnya jahil - tuduhan yang turut bergema dek Belanda di Indonesia, atau Inggeris di Malaysia, justeru menjaditanggungjawab orang-orang putih untuk mendidik kita yang serba tidak tahu. Selalunya dengan cemeti dan laras senapang di tangan. Tetapi kita manusia-manusia pasca-merdeka tahu itu hanya bohongan. Ilmu pengetahuan tetap terkawal di dalam lingkungan kolonial dan disimpan seketat-ketatnya. Penjarakan manusia-manusia terjajah dengan ilmu pengetahuan malah menafikan mereka hak untuk berfikir, untuk bertindak, untuk menentukan nasib mereka sendiri di ranah sendiri. Dengan angkuhnya mereka berkata, "di dalam keadaan terkini, tak mengizinkan mereka keluar negeri - atau mengajar mereka membaca - sebetulnya adalah mustajab bagi mereka."

Beberapa tahun lalu Presiden Duterte pernah umumkan rancangan untuk menukar nama negara itu daripada Filipina kepada Maharlika. Peristiwa ini - nama bagi suatu negara - begitu besar ertinya kepada manusia-manusia yang terpasung. Bukan sahaja mereka terkongkong secara jasmani, tetapi juga jiwa - dengan menamai kepulauan ini dengan nama seorang raja nun jauh dari sepanyol. Di dalam salah sebuah peristiwa Noli Me Tangere Jose Rizal menulis:

"Korporal tersebut merasakan bahawa tanggungjawabnya untuk membetulkan isterinya [yakni, seorang pribumi] dan tengkingnya, tamparnya, "sebut Fillipinas", betina! Jangan kau jadi begitu bodoh." Tidakkah kau tahu nama negaramu yang hina ini datang dari Felipe?" "Wanita itu, yang telah lama impikan berbulan madu, ingin patuh dan berkata "Felepinas". Bagi korporal itu isterinya dah semakin tangkapinya, jadi dia lebih giat melempang dan memaki, "betina, tidakkah kau tahu sebut 'Felipe'. Jangan kau lupa Don Felipe... Yang Kelima... Sebut 'Felipe', dan kemudian tambah 'nas', yang bermaksud 'Kepulauan Para Indio' di dalam Latin, dan kemudian kau tahu nama sebenar negaramu."

Lidah melayu yang lazim tak mahir menyebut huruf "F" di masa silam (perhatikan bagaimana kita memanggil kawan-kawan kita yang bernama Fadli sebagai Padli atau Latif sebagai Latip), dan kerana kegagalan menyubut huruf itu, isteri korporal yang sejatinya anak watan dipukuli dan dipijaki sehingga di jiwanya terparut suatu luka yang tak pernah sembuh - kegagalan untuk menjunjung nama seorang raja dari suatu semenanjung di belahan dunia lain, yang menguasai seluruh kepulauan itu dengan kuku besi.

Di tengah kekacauan ini Criostomo hadir, si protagonis, dengan rencana untuk membina sebuah sekolah yang bebas pengaruh agama katolik. Criostomo - alter ego Jose Rizal - yang baru pulang dari Eropah justeru insaf betapa mustahaknya harga sesebuah pendidikan, peri penting untuk menguasai bahasa-bahasa, ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran, syahdan untuk menghapuskan belenggu-belenggu yang merantai mereka berabad-abad lamanya. Atas keyakinan ini sebuah sekolah untuk anak watan didirikan di pusat kota. Tapi tentu, ia tak muncul tanpa tentangan daripada kuasa-kuasa yang lama bertapak. Mereka sangsi dengan kegiatan terbaru anak muda itu lalu merancang di sebalik tabir untuk menghapuskannya.

Saya menyedari begitu banyak kalimat melayu yang turut dipakai oleh warga-warga Filipina - jejak linguis bahawa mereka adalah melayu hispania, sebagaimana kita melayu-inggeris dan indonesia, melayu-belanda/jawa-belanda. Perkataan-perkataan seperti patola, kerbau, gulai, tungku, paku, dll. Bahkan saya juga baru tahu masakan singgang yang mahsyur di pantai-timur negara kita ini berasal dari filipina, dengan nama sinigang (yang berasal dari sigang dalam bahasa tagalog, bererti 'untuk disupkan'). Ini tak lain adalah suatu bukti nyata akan keterhubungan kaum melayu dahulu di Alam Melayu, terbentang dari Sumatera jauh sampai ke Luzon, Visaya, dan Mindanao di Kepulauan Filipina. Kolonialisme demi kolonialisme telah memecahkan kita, mengasingkan kita dengan acuan-acuan para tuan, serta menyaksikan kita tumbuh dengan wajah-wajah yang kemudian berbeza. Cengkaman kuat Gereja Katolik bersama Pemerintah Sepanyol telah cuba memadamkan ingatan-ingatan kemelayuan ini daripada warga-warga pribumi Filipina, sehingga terputus benang-benang peradaban yang pernah mengikat satu tamadun yang menjunjung tanah + air.

Membaca Noli Me Tangere, melihatnya sejajar dengan riwayat hidup Jose Rizal sendiri, tak lain timbulkan suatu kesyahduan di dalam hati saya tatkala membacanya. Beliau begitu jujur mencintai nusa dan bangsanya dan meyakini tidak lain hanya pendidikan sahaja satu-satunya lorong tunggal ke arah Kemerdekaan - baik jasmani mahupun rohani. Atas tuduhan subversif, Jose Rizal telah digiring lalu ditembak oleh barisan askar pada 30 Disember 1896. Beliau meninggal di usia 35, yang relatifnya masih muda, tetapi dengan ajalnya itu, Revolusi FIlipina telah mendapatkan dirinya seorang syuhada yang pertama. Perjuangan Kemerdekaan terus memicu dengan brutal.

Jose Rizal adalah seorang anak ajaib: beliau seorang doktor mata, telah fasih di dalam 22 bahasa dunia, dan giat berkarya di dalam enam bahasa surat-bersurat. Kepintaran beliau, serta amatan yang tajam inilah terhadap perkara-perkara politikal, sosial, ekonomi, dan budaya, seterusnya menyebabkan Kolonial Sepanyol tak senang duduk. "Anak pintar", sabda Jose Rizal, "tidak bernaung di bawah mana-mana negara. Ia mekar di mana-mana. Ia seperti udara, seperti air. Ia adalah warisan sejagat."

Impian Jose Rizal, tokoh 'Kebanggaan Umat Melayu" ini, tak lain adalah suatu peradaban yang tergabung daripada negeri-negeri melayu nusantara - Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Brunei, Singapura, serta Fillipina - di dalam apa yang disebut beliau sebagai "Malaya Irredenta". Hasrat murni ini tak pernah tercapai.

Comments

Popular Posts