Pertanyaan Tentang Sejarah: pasca baca Perang Anjing Suruhan (1971)

Edisi bahasa inggeris


Terjemahan saudara Syed Omar ke atas karya Noel Barber ini sangat baik dan wajar diberi pujian. Saya difahamkan ini usaha pertama beliau mengalih-bahasa suatu karya dari bahasa asing kepada bahasa melayu dan syabas harus saya ucapkan.

Perang Anjing Suruhan adalah sebuah usaha wartawan cum pengarang inggeris Noel Barber dalam merakam detik-detik cemas Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60. Saya tak berminat untuk memberi sinopsis di sini memandangkan anda boleh dapatinya di belambak laman web lain di luar sana. Namun terdapat beberapa sisi yang saya kira perlu dijernihkan semula dan diamati berlatarkan sejarah kita - juga, tentang apa yang tersurat mahupun tersirat di sepanjang pembacaan. Secara umum, ia sebuah pengkisahan yang menarik - apalagi status Noel barber sendiri selaku pengarang yang suka melukis pengalaman di timur yang penuh eksotis - dan mempamerkan tokoh-tokoh yang sulit luput dari ingatan. Di belah Kolonial Inggeris kita punyai Henry Gurney, Gerald Templer, Malcolm Macdonald, Irene Lee, C.C Too, Tunku Abdul Rahman, dan Yeop Mahidin. Sementara pihak Parti Komunis Malaya pula terdiri daripada Chin Peng, Lau Yew, Lam Swee, Osman Cina, dan Abdullah CD. 

Pasca bacaan, terdapat beberapa pertanyaan yang tumbuh di dalam kepala saya, apalagi di dalam meneliti antara babak sejarah yang terpenting di tanahair ini, tentang apa yang hadir di dalam teks serta apa juga yang tidak hadir. Bahkan, unsur kedua itu kadangkala lagi penting untuk kita menyuluh kepada zaman silam kita yang penuh kegelapan dan ketidakpastian tersebut.

Pertama, sepanjang 308 halaman buku, hampir kesemua watak kunci di dalam babak berdarah ini merupakan ahli pegawai inggeris mahupun pengganas komunis berkaum cina. Nama watak melayu yang disebut hanyalah dua yang saya bariskan di atas, serta Sultan Johor yang kurang berminat dengan gagasan Kemerdekaan (ketimbang sultan-sultan tanah melayu lain yang hampir tak disebut). Ia membuat saya tertanya bagaimana peristiwa berdarah dan maha-penting yang selanjutnya membentuk trauma politik kita sampai hari ini melibatkan hanya segelintir tokoh pribumi melayu yang membawa kesan yang sangat minimal kepada sejarah? Kita sering mendengar tuduhan "komunis cina" dilempar kepada tetangga tionghua kita sewenang-wenangnya, atau pembungkaman mana-mana kritikan yang tak selari dengan naratif perdana sebagai "agenda komunis" oleh Sang Penguasa. Pun begitu, hanya sebilangan melayu saja yang menjadi aktor utamanya ketika ia benar-benar tercetus di sini. Selebihnya kolonial inggeris dan komunis cina yang bertempur menurut sentimen masing-masing (sudah tentu, Noel Barber menampilkan kolonial inggeris sebagai penyelamat; sementara komunis cina sebagai orang-orang jahat yang bersembunyi sebalik rimba tebal - kisah yang menarik untuk diperikan keapda anak-anak yang menanti mummy dan daddy mereka bercerita di tubir katil).

Syahdan, ini cerminkan betapa terpinggirnya orang-orang melayu sendiri daripada peristiwa darurat ini secara khusus dan pentadbiran negara secara umum, sampaikan nama mereka hanya menjadi nota kaki pada sejarah bumi sendiri. Keputusan-keputusan terpenting negara ketika itu semuanya diputuskan oleh Gerald Templer serta pegawai-pegawai inggeris, baik tentera mahupun awam, dan peladang-peladang berkulit putih.

Ini membawa kepada pertanyaan kedua.

Chin Peng dan juak-juaknya pernah mengangkat senjata menentang Angkatan Imperial Jepun ketika Perang Dunia Kedua berlangsung. Pihak Inggeris, di dalam hemat kebijaksanaannya, terus cabut ketika tanah jajahan mereka di Asia Tenggara ini dilanggari tentera jepun menerusi laluan Patani dan Songkhla di Thailand, serta Kota Bharu, Kelantan. Serangan ribut tentera jepun ini memeranjatkan pihak inggeris dan sesudah sedar mereka tak berdaya untuk menghindar serangan tentera-tentera asia yang berbasikal dan komited itu, mereka terus tinggalkan negara ini di dalam huru-hara.

Menyedari ketegangan jepun dan cina, kolonial inggeris menyeludup senjata kepada kelompok-kelompok pemberontak yang kemudian dinamai Malayan Peoples' Anti Japanese Army (MPAJA) dan Force 136. Kelompok pertama tadi dianggotai banyak ahli PKM dan kerusi-kerusi terpenting jatuh kepada tangan ahli-ahli PKM, termasuk Chin Peng. Tokoh-tokoh ini justeru menggembleng tenaga bersama kolonial inggeris dan berusaha menyingkirkan tentera jepun yang bermaharajalela di tanah melayu. MPAJA disediakan dengan senjata, dana, latihan, dan bekalan oleh kolonial inggeris, atas  syarat bahawa mereka akan pulangkan semula dan kembali kepada kehidupan awam selepas perang ini tamat. Perjanjian iniah yang memakan diri kolonial inggeris semula apabila senjata-senjata yang dibekali kepada MPAJA tergusur kepada PKM yang akhirnya dipakai untuk merampas tanah melayu daripada genggaman inggeris.

Apabila perang memihak kepada Pihak Berikat, wira-wira yang dilantik serta dilatih inggeris tadi dipelawa ke London untuk dirai sebagai juara-juara. Anggota-anggota MPAJA dan Force 136 diberi Perarakan Kemenangan; sementara Chin Peng sendiri dianugerahi Order of the British Empire (OBE) oleh Ratu Baginda atas jasa-jasa beliau mengusir imperialis jepun daripada tanah jajahan. 

Pulang ke tanah melayu, mereka membentuk Tentera Pembebasan Rakyat Malaya yang bertujuan untuk membentuk suatu pemerintahan bercorak komunisme. Dengan senjata yang dibekali kolonial inggeris, serta dana-dana yang lumayan, mereka merekrut banyak rakyat untuk berjuang di bawah panji mereka. Ladang-ladang inggeris kemudian dibakar. Pegawai-pegawai Amerika Syarikat dan Britania Raya dibunuh dengan kejam dan tali-tali barut yang bekerjasama dengan Jepun dan Inggeris dipanggang hidup-hidup. Kacau-bilau pun menyusul.

Pertanyaan kedua ini berkait dengan pertanyaan pertama tadi: bagaimana orang-orang melayu selaku pribumi langsung tak punyai senjata untuk menangkis ancaman-ancaman terror ini sepanjang waktu Pendudukan Jepun dan vakum politik yang terjadi kemudian? Mereka diancam dan ditakuti di kampung-kampung mereka sementara Jepun/PKM dan paramiliternya menguasai daerah-daerah penting di tanah melayu. Bahkan senjata-senjata empayar inggeris langsung tak sampai kepada tangan orang melayu, tetapi keturunan buruh dan saudagar cina yang telah menapak dan membina kekayaan di negara ini. Hanya Allayarham Leftenan Adnan serta prajurit-prajuritnya yang mendapat latihan dan senjata itu, lalu ketika Singapura semakin diasak dan dikepung, ternyata angkatan beliau juga turut gugur untuk mengusir kemaraan askar jepun (pun begitu, kita harus kenang pertempuran di Bukit Candu itu sebagai aksi kepahlawanan yang unggul di Alam Melayu). 

Sudah tentu jawapan yang klasik: kolonial inggeris tak mahu melihat ketumbukan melayu yang kuat (seperti yang terjadi di India, Vietnam, Indonesia, dan Filipina), atau nanti mereka akan semakin berani untuk tuntut Kemerdekaan. Hal sebegitu memang mafhum, tapi mengapa bangsawan-bangsawan melayu meredhai hal ini terjadi sementara mereka menikmati buah hasil penjajahan inggeris memang sesuatu yang tak masuk akal bagi saya. Seolah-olah mereka membiarkan saja orang melayu semakin melemah dan tak berdaya untuk menolak apa-apa gugatan daripada luar mahupun dalam. Atau mungkin, mereka terlalu bergantung kepada ihsan empayar kolonial yang serba maju dan canggih itu tanpa berbuat apa-apa persiagaan kendiri (trivia: kebanyakan tentera dan polis yang diangkut ke tanah melayu ketika itu dibawakan khas dari Palestin sesudah usai menyiapkan Israel). Ini bukanlah suatu semangat merdeka yang ampuh dan tekal apabila kita dibuli senang-senang oleh adikuasa-adikuasa asing.

Yang menang, yang tewas, dan yang terabai

Salah sebuah upaya kolonial inggeris untuk melunakkan pengganas komunis pada ketika itu adalah dengan menawarkan wang pampasan yang lumayan kepada anggota-anggota yang menyerah diri. Jumlah itu biasanya mengikut pangkat pengganas komunis tersebut; lebih tinggi tarafnya di dalam organisasi, lebih mahal pampasan yang bakal dibayar. Segala wang ini akan dicedok daripada mahsul negara untuk diberi kepada pengganas-pengganas yang mahu bertaubat; seraya memulai kehidupan baru di kota dan membuka perniagaan sendiri. Ganjaran yang tak kalah mewah ini berjaya mengumpan banyak pengganas komunis untuk keluar daripada rimba tropika yang tebal dan mengangkat bendera putih beramai-ramai. Wang-wang ganjaran ini kelak dimanfaatkan oleh para pengganas yang bertaubat ini  untuk menjadi kapitalis yang berjaya di tanah melayu. Pegawai Thompson berkata:

"tiada yang lebih baik daripada mewujudkan peluang yang membolehkan seseorang berubah daripada pengganas menjadi kapitalis hanya dengan mengambil dua langkah mudah." (hlmn 82)

Malah, di halaman 305 juga Noel Barber menulis tentang pengganas bernama Hor Lung yang "menjadi kapitalis kaya (dengan memakai nama lain) dan pemilik kepada sebuah syarikat pembalakan yang sedang berkembang maju."

Itu mungkin hanya sebuah contoh. Tapi bayangkan, menjadi saudagar yang kaya pada awal-awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia memanglah suatu kesempatan yang sangat menggiurkan, apalagi bagi sesebuah negara yang baru hendak membangun. Maka dengan itu tak hairanlah betapa banyak orang cina yang kuasai ekonomi dengan sangat cemerlang; kerana bukan sekadar sifat diri mereka yang berani, tekal, pintar, dan berdaya saing, budaya yang memangkin perusahaan, tetapi juga peluang-peluang yang ditawarkan dek sejarah - pengampunan, seraya kesempatan untuk kembali kepada pangkal jalan kapitalisme (juga, demokrasi liberal + raja berperlembagaan).

Satu keinsafan lain juga timbul. Inggeris melawan komunis untuk mempertahankan ladang-ladang getah dan sawit mereka, sementara komunis pula tewas, tetapi sejumlah anggotanya diserap kembali ke dalam masyarakat lalu berpeluang merebut kehebatan ekonomi di kota-kota, tetapi kebanyakan kaum melayu, kerana pada awalnya mereka terpinggir di ceruk-ceruk desa lantaran divide et impera, mereka langsung terlepas daripada semua babak ini dan hanya berhijrah beramai-ramai ke kota atas keberkatan Dasar Ekonomi Baru seruan Allayarham Tun Razak. Jurang ekonomi antara kaum telah pun tertetas dan hubungan antara kaum makin menegang dari saat itu.

Menoleh ke silam

Seandainya ditanya tentang siapa yang betul-salah di antara inggeris atau komunis, saya tak dapat memberi jawapan. Malahan saya kurang berminat pun. Sejarah tetap berjalan dengan kehendak ia sendiri. Malaysia telah pun terbentuk, kemudian ia sertai ASEAN dan beriltizam untuk membanteras komunisme di rantau ini. Pastinya sudah tak ada guna kita menyalahkan tokoh X dan tokoh Y atas sebab-sebab kesalahan itu dan ini, kerana peristiwa sudah pun terlakar dan kita semua tak berdaya untuk mengubah apa-apa. 

Memarahi masa silam ibarat memarahi bayang-bayang yang kelam, kaku, serta tak terjangkau dek tangan. Tetapi bukan itu fungsi utama kita pelajari sejarah. Kita menyelak buku sejarah untuk mengutip semangat pahlawan-pahlawan yang telah gugur mempertahankan nusa dan bangsa daripada anasir-anasir luar; serta kezaliman-kezaliman yang dititahkan oleh pembesar-pembesar ke atas marhaennya sendiri. Kita menyelongkar sejarah kerana kita ingin memahami sebab-akibat sesuatu kebiasaan di zaman kita dan mencari asbabnya; juga, kita pelajari sejarah untuk mengelak melakukan kesilapan-kesilapan yang sama dibuat oleh kaum pendahulu agar kita tak terhapus dek kejahilan-kejahilan yang berulang. Yang penting adalah apa yang kita perbuat dengan kefahaman sejarah di belakang kita, demi memacu dan mencipta suatu masa hadapan yang baru. Seperti dibilang - secara ironi saya mengutip bapak komunisme ini - Karl Marx, "kesialan berlaku kali pertama sebagai malapetaka, selanjutnya sebagai jenaka."

Comments

Popular Posts