Balada Sinatra & perkara-perkara rambang

Kita akan jadi laki-laki yang memilih jalan hidup sendiri, kata sahabatmu.


Kau sedang memandu dengan kelajuan seratus dua puluh kilometer sejam membelah malam di Lebuhraya Persekutuan. Radio kau tidak putus-putus memutarkan Frank Sinatra - album yang kau beli pada suatu pagi ahad di Pasar Karat Puncak Jalil tahun lalu.

And now, the end is near; 
And so I face the final curtain.
My friend, I'll say it clear, 
I'll state my case, of which I'm certain


***

Kau, KB, dan Anas sedang berbual selepas ayam sambal dan ikan goreng fillet memenuhi tembolok yang kekenyangan pasca kenduri. Sudah beberapa minggu kau tidak menemui mereka. KB sekarang ialah seorang Pelatih Dalam Kamar untuk A M Zaharil & Co dan mendalami selok-belok perbicaraan jenayah. Sementara, kau dan Anas masih menunggu tarikh keramat 17 Februari apabila keputusan peperiksaan lepas mengetuk pintu emel kau dengan jawapan: samada kau lulus atau gagal. Anas lebih kaget, tentunya, kerana hari-hari latihan dalam kamar sudah hanya menanti di persimpangan. Kalian melabun panjang tentang perkara-perkara persekitaran: daripada hari-hari awal kalian menjejak kaki ke alam pengajian perundangan, ragam-ragam guaman di Lembah Klang, halatuju politik nasional di Semenanjung, dan tuntutan-tuntutan baru ke atas Pedra Branca, jauh di Selatan.

Air kopi yang kau pesan, kau biarkan menyejuk. Masa bergerak perlahan. Pelanggan-pelanggan yang terpaku melihat bolasepak di skrin tayangan kau abaikan.

***

Dua mat rempit melintas di sebelah kiri kau. Yang mendahului sedang beraksi superman, mencabar ajal pada jam tiga pagi. Kau tersenyum.

Regrets, I've had a few; 
But then again, too few to mention.
I did what I had to do

And saw it through without exemption.

***

Sekarang, kau dan KB tersandar pada kereta, sebatang Marlboro pada tangan masing-masing. Kau memaklumkan kepadanya, aku merancang untuk teruskan pengajian lagi nanti. Ke Perhubungan Antarabangsa. Sebelum daftar jadi Tentera Laut. Aku fikir jalanku ke situ.

Baik, aku setuju. Aku sarankan untuk kau lalui Latihan Dalam Kamar sebelum melanjutkan. Kau harus arif tentang selok-belok perbicaraan sebelum mengambil kes di Mahkamah Tentera nanti. Jadi lebih tajam. Kes-kes hisap batu memang banyak dalam TLDM.

Kau terfikir seketika. Kau menekur aspal yang kering dan kau angguk. Ya, aku juga fikir begitu. Bagaimana pula dengan kau?

Dia tersenyum. Aku akan kekal di sini, katanya. Jenayah dah jadi darah dagingku.

Kalian menghisap rokok lagi. KB ialah teman paling lama yang kau ada dari zaman-zaman Asasi. Kepercayaan kalian terhadap Sekolah Lelaki menjadi ikatan persahabatan yang utuh sepanjang semester-semester di UiTM. Meskipun kalian berselisih pendapat mengenai banyak hal, semangat setiakawan tersebut tidak pernah tergoncang. Bahkan, itulah bahan bakar kepada hubungan rumit ini.

Akhirnya dia berkata kepada kau, aku masih rindukan Kuantan. Zaman asasi kita yang senang. Itulah detik-detik paling gembira buat zaman mudaku. Nostalgia ini akan kubawa ke mana-mana nanti. Kita yang pernah muda dan bebas dahulu.

Pada waktu ini, mindaku terimbas kembali ke Padang Lalang, Bukit Sekilau, dan bayu-bayu yang berpuput sepanjang pantai Teluk Chempedak. Kawan-kawan seperjuangan yang telah banyak sibuk dalam urusan sendiri-sendiri.

Daripada asap rokok yang bergentayangan, kau melihat kerudut-kerudut pada dahinya. Pada wajahnya. Nikotin dan prosiding-prosiding berat menjadikan sahabat kau lebih tua daripada usia.

***

Kereta kau terhenti di depan pagar rumah. Kau menghela nafas. Letih, tetapi kopi menghalang kau daripada perasaan kantuk. Dan kau perlu membaca, atau menuliskan sesuatu. Seperti di depan laptop jam empat pagi sambil mendengar Sextet Cloud Atlas.

Yes, there were times, I'm sure you knew
When I bit off more than I could chew.
But through it all, when there was doubt, 
I ate it up and spit it out.
I faced it all and I stood tall; 
And did it my way.


Frank Sinatra ialah lelaki yang memendam banyak luka, kata sahabatmu.

***

Nanti, kata kau, habiskan Peninsula dan beritahu aku pendapatmu. Aku nantikan kau mengarang catatan-catatan peribadi kau sendiri selepas bergelumang lama dalam dunia penjenayahan nanti. Tentu menarik.

Lantas, kau hulurkan autobiografi Rehman Rashid tersebut sebelum kau memasuki kereta dan menghidupkan enjin. KB mengangkat tangan kepada kau sebelum dia mencabutkan songkok dan menyarungkan helmet.


***

Kekadang, ada kemarahan yang harus kau simpan sendiri-sendiri. Dendam yang harus kau kuncikan dan kehampaan yang perlu kau buang jauh-jauh.





Comments

Popular Posts