Berjalan iseng di Kota Bharu.

Rempah ratus, buah-buahan, dan pelbagai kuih muih di Pasar Besar Siti Khadijah.


Di sini, kami tidak berdendam dengan menghantar santau. Kami mengirimkan samseng-samseng yang berhati kering, buku lima dan lawi ayam senjatanya. Ini wilayah gengster, terang Isma.

Saya menelan air liur. Budak-budak Tomoi? Soal saya.

Ya, tapi ada perubahan kebelakangan ini. Sepuluh tahun lepas, Muay Thai merupakan sukan kebanggaan di Kelantan. Peninju-peninju dari Narathiwat, Yala, dan Songkhla akan turun ke Malaysia untuk beraksi. Hanya baru-baru ini sahaja sukan tersebut tidak lagi dimartabatkan. Malahan, ia menjadi sesuatu yang mengaibkan pula apabila masyarakat mendapat tahu kau bertarung di gelanggang, ujar Isma Ae Mohamad panjang. Waktu itu, kami sedang duduk di sebuah kedai makan berdekatan Jalan Pangkalan Chepa. Dua gelas teh ais baru sahaja sampai di meja kami. Adik bongsu, Emil Muhammad, tercanguk di sebelah. Tangan ralit memegang telefon. Kami baru sahaja berjalan iseng mengelilingi Pasar Besar Siti Khadijah apabila saya mendapat tahu pengarang Selatan Thai itu kebetulan juga ada di sini.

Bagaimana ia bermula? Saya akan ceritakan di bawah.

Barangkali Kelantan ialah negeri terakhir yang saya belum jejaki sepanjang usia 23, sebelum awal Februari ini. Sudah tentu ada banyak sebab: keluarga tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan negeri di hujung Pantai Timur ini. Sepupu sebelah bapaku banyak bertebaran di Pahang dan Terengganu. Pusat peranginannya pula tidak pernah menarik minat ibubapa saya untuk membuat kami singgah ke sana demi Nasi Kak Wok atau Wayang Kulit. Kami lebih selesa untuk mampir ke tempat-tempat yang dekat seperti Port Dicksons atau Bandaraya Melaka. Jarang-jarang lebih jauh daripada itu.

Tetapi reunion sekolah bapa yang dilancarkan di Besut, Terengganu, memaksa kami untuk menempah tiket penerbangan ke sebelah negeri Pantai Timur sana. Ibu sengaja memilih Pangkalan Chepa sebagai tempat pendaratan kerana ia lebih hampir dengan Besut. Seperti yang anda akan faham, Besut bersebelahan sahaja sempadan Kelantan. Ia terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar negeri islam itu.

Turun saja di Pangkalan Chepa, kami ambil sarapan dulu di warung tidak jauh daripada Lapangan Terbang. Kemudian kami singgah ke Kota Bharu untuk melihat-lihat sebelum turun ke Terengganu. Ibu yang ingin memborong tudung memaksa kami untuk mengikuti. Kami turutkan sahaja. Kemudian kami berpisah kerana... kami tidak memakai tudung. Kami berjalan-jalan untuk melihat suasana hiruk-pikuk pasar. Seorang makcik siam menegur kami dari sebuah reruai yang bergantungan keris, parang, pedang, dan senjata-senjata lain yang tak saya ketahui namanya. Dia mempelawa kami untuk melihat koleksinya. Pada tangan gelapnya terhulur sebilah kerambit dengan ukiran helang pada hulu pemegangnya. 70 yal, katanya, nada sedikit memaksa. Tengoklah apa yang adik suka. Saya melondehkan sarung; sebilah mata pisau tajam dengan besi yang masih berkilat memantulkan wajah keterujaan kami. Minda saya mengelamun akan senjata yang dimainkan Ilham dengan begitu cemerlang dalam Bunohan. Saya betul-betul mahu membelinya, tapi saya bimbang sekiranya alat ini tidak lepas di imigresen. Entahlah.

Selepas itu, kami berjalan keluar menerusi gerbang utama. Pekan kecil dengan binaan sederhana segera menjadi latar kami, menggantikan buah-buahan, gegelang emas, dan rempah-ratus yang berguni-guni tersusun di dalam pasar. Matahari luar terasa terik memanah-manah tengkuk kami. Saya mengajak Emil untuk singgah ke kedai buku seberang Terminal Bas sebentar. Dia mengangguk. Kami berjalan meredah jalan raya Kota Bharu yang separa macet. Di sini masih ada lagi orang yang mengenderai beca. Kami menghala ke Jalan Pangkalan Chepa, menuju ke SMO. Kota Bharu nampaknya masih setia kepada tradisi tulisan jawi. Sesuatu yang anda tidak akan nampak di Kuala Lumpur, kecuali jika bilik air anda masih menyimpan ubat gigi Najwa yang berwarna hijau itu. Kali terakhir saya lihat tulisan jawi pun semasa pengajian sekolah rendah agama di Pantai Dalam sedekad lalu. Papan-papan tanda mereka dimulakan dengan tulisan jawi sebelum dituliskan sekali lagi dalam rumi. Saya tersenyum.

Semasa di dalam SMO, saya sengaja membuka facebook melalui telefon. Untuk tengok kalau ada mana-mana teman yang kebetulan ada di sini. Dari situlah saya mendapat tahu bahawa Isma Ae Mohamad juga sedang berada di Pasar Besar Siti Khadijah ketika itu. Sebelum ini, saya selalu dengarkan nama Isma sahaja menerusi laman sosial. Dia ada menuliskan beberapa cerpen yang termuat di dalam Jalan Telawi. Salah satunya diterbitkan pada tahun ini dengan judul Lelaki Patani dan Gadis Korea Utara. Lantas, saya segera mengajaknya mengeteh bersama. Seterusnya ialah sejarah.

Tapi kenapa, soal saya kebingungan. Bukankah muay thai kebanggan orang pantai timur? Atau sekurang-kurangnya begitulah apa yang aku fahamkan. Saya menghirup teh o ais yang disajikan. Masih terlalu manis, meskipun saya telah memesan 'kurang gula' kepada pelayan beberapa minit tadi.

Entah, kata Isma. Barangkali sejak... kemenangan PAS. Telah menular satu persepsi bahawa Muay Thai bukanlah sesuatu yang islami, oleh itu tidak wajar diangkat-angkat sebagai budaya setempat.

Saya mengangguk. Saya teringatkan rencana yang dibaca beberapa tahun lepas dalam internet. Tak silap, seorang pengarang luarnegara telah menemuramah Eddin Khoo tentang Wayang Kulit di tanahair. Menurut Eddin, sekarang hanya tinggal beberapa kerat sahaja Tok Dalang di Kelantan. Kebanyakan daripada mereka ditekan untuk tidak meneruskan persembahan. Seni mereka telah dipandang serong dan dianggap khurafat; peninggalan sejarah Hindu-Buddha melayu yang jahiliah. Islam yang dipakejkan dengan Wahhabi memang begitu. Keras, tandus, dan anti-seni. Serta berbahaya kepada adat dan budaya pribumi nusantara ini. Tidakkah mereka mengutip pengajaran daripada Wali-Wali Songo?

Kemudian, perbualan kami beralih kepada topik lain pula. Suria pada hari itu memang berbahang. Udara panas meruap-ruap memasuki ruangmakan kami. Isma lanjut menceritakan tentang dwi-kewarganegaraan, tentang pergolakan di Selatan Thai, dan usaha-usaha melayu thai untuk merdeka daripada cengkaman Bangkok. Dulu keadaan lebih parah, menurutnya. Kami mahu berbual lebih lama, tetapi ibu sudah menelefon. Katanya, kami sekeluarga harus bergegas turun ke Besut pula. Saya tidak sempat untuk menanyakan tentang Peristiwa Tak Bai yang mengakitbatkan tujuh puluh lapan kematian warga melayu Thailand pada 2004 itu. Mungkin lain kali jika ada kesempatan. Saya meminta diri daripadanya dan membayarkan minuman. Sebelum beredar, saya hulurkan Republik Sungai Golok kepadanya untuk dia tandatangani. Buku itu saya beli semasa di SMO tadi. Dia tersenyum. Jumpa lagi, katanya. Aku pula mahu ke USM, berjumpa kawan.

Kami bersalaman lalu mengambil langkah masing-masing. Kami melintasi seorang tukang kasut yang sedang berbual dengan pelancong mat salleh dan seorang pengemis tua berjambang di kaki lima. Lelaki itu mengatakan sesuatu dalam loghat Kelantan tetapi saya tidak dapat menangkap maksudnya. Kami sudah memasuki perkarangan pasar besar apabila saya membuka semula buku yang tersimpan kemas di dalam beg plastik. Pada muka pertama, terpampang tandatangan Isma dalam tulisan Thai. Di bawahnya sedikit, Isma menulis:

 Semoga Pattani Aman Damai.




Comments

Popular Posts