Sepuluh buku yang paling diingati.

Ia sudah 24 Disember dan tinggal berapa hari lagi sebelum tahun baru dan demonstrasi kemarahan orang ramai perihal kos sara hidup menyusul. Tidak lupa juga dengan peperiksaan akhir semester yang bakal bermula enam Januari depan. Anggap sajalah ini terbitan terakhir aku diblog ini untuk tahun ini, sebagai penutup tirai untuk tahun  2013 yang mencabar dan semakin mematangkan.

Tempoh hari ada seorang kawan tag aku difacebook dalam senarai sepuluh buku yang mengesannya secara mendalam sepanjang tempoh pembacaannya. Antara buku-buku yang dimuatkan olehnya termasuklah The Memory Book oleh Tony Buzan dan A Study in Scarlet karya Sir Arthur Conan Doyle. Peraturannya mudah: sekali kau ditag, kau juga harus menyusun senarai sepuluh buku yang tersendiri untuk dikongsi dengan umum. Berikut adalah penyusunan yang aku kutip dari relung-relung otak dan ingatan-ingatan yang terkumpul, samada fiksyen atau non-fiksyen dengan komentari ringkas mengenai isi dan kesan buku tersebut pada pemikiran aku secara peribadi.

1. 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah. (Versi terjemahan Bahasa Melayu) - Michael H. Hart.

Saya mengenali Francis Bacon melalui buku ini.

Barangkali inilah buku berilmiah yang terawal aku baca sepanjang usiaku. Waktu itu aku baru saja mencecah  umur12 tahun dan abah aku menghadiahi buku tebal ini untuk kuhabiskan sebelum UPSR. Dia kata buku ini bagus untuk pengenalan tokoh-tokoh terkemuka dan latar belakang sejarah. Menerusi buku ini, Michael H Hart menyenaraikan seratus tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah dan menyusunnya dari #1 (Nabi Muhammad S.A.W.) hingga ke #100 (Niels Bohr) menurut sumbangan mereka terhadap peradaban dunia.

Nama-nama asing yang tidak pernah aku dengar, seperti Karl Marx, Alexander The Great, atau Francis Bacon mengusik kesedaran aku yang masih muda. Dari situ aku kenal sumbangan Cai Lun dalam penemuan kertas, Columbus yang menjajah Amerika, dan Adolf Hitler yang mengheret dunia ke Perang Dunia Kedua. Selain itu, buku ini juga secara tidak lansung mencambah minatku terhadap sejarah dan falsafah, dan bagaimana pemikir-pemikir dan ahli sains ulung zaman purba seperti Aristotle dan Plato, John Locke yang mengajar fahaman liberal, dan sumbangan Copernicus dalam mengusulkan sistem suria heliosentik (bahawa matahari adalah pusat alam semesta, bukan bumi seperti yang diterima zaman itu) membentuk dunia moden kita seperti yang kita kenal sekarang.

Aku akui tidak banyak yang aku faham ketika membaca buku yang berat ini (sewaktu usiaku 12 tahun), tentang fungsi Komunisme ataupun Protestanisme, tetapi ia secara tidak lansung membuka gerbang mindaku kedunia yang lebih luas dan terang. Ia memperkenalkan kepadaku nilai-nilai sejarah yang penting untuk kita fahami dan fikirkan dalam pemerhatian kita terhadap dunia - dan manusia secara keseluruhannya.

Buku ini hilang sewaktu aku pindah rumah dari Lembah Pantai ke Puchong. Aku cuba mencarinya disebalik rak-rak yang berhabuk dan stor yang sarat dengan barangan-barangan lama, tetapi menemui kegagalan. Mungkin aku harus menjenguk buku ini di Kinokuniya dan membacanya sekali lagi sampai habis, kali ini bukan sebagai Johan Radzi darjah enam tetapi Johan Radzi yang berusia 20 tahun yang lebih matang dan dewasa.


2. Angels & Demons - Dan Brown.


Salah satu poster filem Angels & Demons.

Ini karya ketiga Dan Brown yang kubaca dan merupakan pengembaraan pertama Robert Langdon sebelum dia mencari Holy Grail di Eropah dan Freemason di Amerika Syarikat. Berlatar belakangkan Vatican yang diancam sebuah bom yang lebih dahsyat dari nuklear, buku ini adalah satu pertempuran antara sains dengan agama, tradisi dan modernisasi, dan penemuan simbol-simbol yang kuno dan aneh yang bakal kita jumpa digereja-gereja lama di kota peradaban Kristian itu.

Aku tertarik dengan idea Dan Brown meletakkan seorang religion symbologist yang atheis ditengah-tengah kota Vatican dan melilau mencari bom antimatter ciptaan CERN, yang dijangka kekuatannya melebihi bom yang gugur di Hiroshima itu. Ita adalah satu ironi yang disengajakan, yang membuat kita merenung dan berfikir sejenak tentang sifat lawan  - seperti yang dicadangkan tajuknya sendiri. Bukan setakat itu saja, Dan Brown juga merangka plotnya dengan cermat dan kemas sekali, diadunkan lagi dengan perasaan-perasaan dan buah fikiran wataknya yang pasti menggugah perasaan pembaca. Adalah dalam lima kali aku khatamkan buku ini - melebihi mana-mana buku yang pernah aku baca sepanjang hayat.

Pada tahun 2009, buku ini telah diadaptasikan kebentuk filem arahan Ron Howard. Ia - bagi aku secara peribadi - adalah sebuah cubaan yang baik, tetapi gagal dalam perlaksanaannya. Babak-babak yang menarik, seperti ketika Robert Langdon terjun dari helikopter beberapa detik sebelum langit dibinasakan dicungkil keluar oleh tuan pengarah, menyebabkan aku pulang dari panggung dengan perasaan yang hampa dan sedikit kecewa.


3. His Dark Materials trilogy - Phillip Pullman.





Aku mula membaca The Golden Compass atas saranan seorang kawan di SM Sains Selangor. Dia menceritakan kepada aku - dengan penuh semangat - tentang beruang-beruang kutub yang menyarung perisai besi dan daemon-daemon yang mendampingi setiap manusia sebagai permanifestasian rohnya. Aku terus saja tertarik. Aku meminjam buku ini dari sebuah perpustakaan, membacanya dan demi Tuhan, ia seindah seperti yang dikhabarkan!

Phillip Pullman mencampurkan unsur-unsur teologi dan mitos dalam trilogi ini, dari The Golden Compass, The Subtle Knife, sampailah ke The Amber Spyglass. Didunia ini, perempuan-perempuan sihir menguasai langit utara dan para malaikat berkhidmat untuk sebuah 'tuhan' yang zalim bernama The Authority. Gereja-gereja didirikan sebagai pengukuhan kuasa tuhan atas muka bumi dan ditengah-tengah kekuasaan ini, seorang Professor Oxford memimpin sebuah pemberontakan besar dalam menggulingkan 'Tuhan' yang leka dikerusi syurganya.

Filemnya yang ditayangkan pada 2007 juga adalah satu kehampaan, dan aku berdoa pengarah itu tidak lagi membikin filem yang semurah itu untuk dijualkan kepada penonton.


4. Hujan Pagi - A. Samad Said.

Sasterawan Negara A. Samad Said.

Hujan Pagi berkisar tentang dunia kewartawanan, unsur-unsur mitos dalam hikayat-hikayat lama melayu, dan pertembungan antara dunia mimpi dan dunia realiti.

Aku pernah menulis review perihal buku ini. Ia boleh dibaca disini.


5. A Little History of the World - E.H. Gombrich.



Buku ini dipinjamkan oleh abah tahun lepas. Ia adalah sebuah buku sejarah yang ditulis oleh seorang sejarawan kesenian dan ditulis di Vienna. Ia ringkas, ditulis secara prosaik, dan mesra kanak-kanak yang cuba membaca sejarah dari suara yang lebih lembut dan memahami.

Aku pernah menulis review perihal buku ini di Jalan Telawi. Ia boleh dibaca disini


6. Pergolakan Pemikiran Islam - Ahmad Wahib.

Ahmad Wahib.

Ini adalah catatan-catatan peribadi Ahmad Wahib, seorang wartawan dan persoalan-persoalan provokatifnya terhadap agama, masyarakat, politik, dan sejarah - khasnya Indonesia.

Ahmad Wahib bersifat jujur menerusi catatan hariannya. Beliau merakamkan kegelisahannya mengenai masyarakat dan islam dengan begitu berkesan tanpa berlaku sebarang nilai ganda (double standards) yang kita sering nampak dibuku-buku islam kontemporari. Ahmad Wahib cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan ini melalui pemikiran dan kaedah sains yang menyeluruh, dengan berpokok pada satu tunjang utama: yakni berfikir.

Catatannya terasa begitu dekat dengan hati. Barangkali kerana kami pernah berkongsi rasa dan kegelisan yang sama, mengenai hal-hal yang tidak perlu kita menjadi hipokrit dengan menidakkan. Ini adalah sebuah buku yang harus dibaca oleh orang-orang islam yang mahu mencari jawapan alternatif pada kegelisahan-kegelisahan yang merenggut masyarakat kita pada hari ini.


7. Norwegian Wood - Haruki Murakami.

Salah satu babak penting dalam Norwegian Wood.

Norwegian Wood adalah buku non-surreal yang pertama ditulis oleh Haruki Murakami. Untuk memecah tembok Arus Perdana, Haruki terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa menulis gaya realistik adalah perlu untuk tujuan itu. 

Membaca buku ini membuat aku teringat pada "The Catcher in The Rye" nukilan J.D. Salinger. Ini kerana gaya penceritaannya, wataknya, dan perspektifnya banyak yang sama. Kedua-dua Watanabe dan Holden Caulfield tidak mahu membesar, terperangkap didalam dunia pengasingannya sendiri, serta "bijak" dalam cara yang sukar difahami orang kebanyakkan. Malah kedua-dua mereka sangat gemarkan membaca. Maka tidak hairanlah mengapa Watanabe seringkali dijoloki dengan nama "Holden Caulfield dari Timur" kerana persamaan yang mereka kongsikan.

Tetapi sudah tentu, Norwegian Wood lebih berat dari itu. Haruki menyuntikkan unsur-unsur pengasingan masyarakat, kehampaan seksual, alam kedewasaan, kebangkitan Mahasiswa Jepun pada era tersebut, dan diadunkan lagi dalam satu pengembaraan emosi yang pahit dan penuh derita. Ia sebuah keajaiban yang sarat dengan allegori dan simbolik. Seringkali sesudah membaca buku ini, kita akan diserbu persoalan-persoalan yang membuat jiwa tidak tenteram berfikir tentangnya.

Buku ini adalah heroin didalam betuk kertas, mengasyikkan, menjadikan aku insomnia dalam meredah malam-malam yang panjang.

Norwegian Wood juga pernah diadaptasi ke layar perak pada tahun 2010. Tetapi sekali lagi, aku agak hampa dengan perlaksanannya kerana filemnya itu lebih kepada satu kesimpulan berbanding pengolahan semula buku itu kedalam bentuk yang segar dan baru. Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, tatar muzik dan imej-imejannya harus diberi pujian. Ia sangat cantik dan luar biasa sekali.


8. Snow - Orhan Pamuk.

Satu lagi karya yang hebat dari Orhan Pamuk.
Dalam setiap watak-watak fiksyen yang aku pernah baca, Ka dari Snow adalah watak yang paling dekat dengan hati. Kegelisahannya, kehampaannya, dan penyesalannya ibarat salji-salji yang turun dikota Kars yang suram, dingin dan penuh misteri.

Review aku untuk Snow boleh dibaca disini.


9. 1515 - Faisal Tehrani.

Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Faizal Musa.

Siapa masih ingat "Kerana manisnya epal", cerpen yang dimuatkan dibuku KOMSAS kita sewaktu ditingkatan lima? Itu Faisal Tehrani yang menulisnya, seorang pengarang kontroversi dan berbakat yang terkenal dikalangan anak-anak muda yang sedang cuba berjinak-jinak dengan dunia kesusasteraan.

Barangkali Faisal tidak akan menulis buku lain yang lebih gah dari 1515, dengan plotnya yang cantik, unsur-unsur oksidentalisme, mistikisme, feminisme, serta latar belakang sejarah melayu alternatif, ia adalah sebuah persembahan yang menggetar perasaan dari seorang penulis tanah air. Sesudah 1515, aku cuba membaca karya-karya lainnya, Tuhan Manusia, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, dan lain-lain, tetapi masih tidak ada yang mampu menandingi kekuatan yang disampaikan melalui buku ini.

Ia mengenai seorang sejarawan yang menghidap amnesia dan seorang srikandi bernama Nyemah Mulya dari zaman Kejatuhan Kota Melaka semasa pelanggaran Portugis. Dua watak dari waktu yang berbeza ini cuba 'berhubung' dan menulis semula sejarah dalam lembaran yang baru, tidak terkotorkan oleh unsur-unsur penyelewangan tangan-tangan Orientalis. Selain itu, ada juga bibit-bibit cinta tiga segi dan kekuatan wanita dalam mengharungi dugaan dan cabaran hidup dunia moden.


10. Laskar Pelangi - Andrea Hirata.

Poster filem Laskar Pelangi.

Buku ini adalah perjuangan anak-anak kecil yang miskin di Pulau Belitong dalam usaha mereka meniti ilmu pengetahuan dan cerita mereka di pulau yang, seperti sahibul hikayat memberitahu kita, kaya dengan sumber alam tetapi rakyatnya miskin dek campur tangan syarikat swasta yang kapitalis dan mementingkan diri. Hirata mengajak kita untuk memakai kasut merah jambunya dan berjalan dipersisiran Pulau Belitong, mengenal Lintang yang cerdas, Bodenga, bomoh buaya yang kesepian, Pak Harfan yang membangunkan sekolah agama, Bu Mus yang gigih mendidik, dan orang-orang kampung yang lucu gelagatnya. 

Selain watak-wataknya yang mewarnai rangka plot, Hirata juga menunjukkan kepada kita sisi gelap Pulau Belitong. Tentang korupsi yang berakar kuat, pembahagian kekayaan yang tidak sekata, diskiriminasi terhadap anak-anak yang tidak kaya, dan tembok-tembok angkuh yang didirikan untuk memisahkan golongan yang kaya dan golongan yang sederhana. Hirata jujur dalam penceritaannya, tidak berselindung dan tidak berpura-pura, dan suaranya penuh optimis - dia yakin dengan pendidikan dan kuasanya untuk mengubah dunia. Sekiranya Nelson Mandela pernah membaca Laskar Pelangi, sudah tentu beliau tersenyum mengenangkan anak yang - meskipun kakinya terjunam dilumpur - menggantungkan cita-cita yang tinggi dicelah para bintang.

Pendek kata, bukunya wajar dibaca oleh mereka yang dahagakan sastera-sastera melayu yang baik dan sarat nilai. Ia mengesani aku dalam cara-cara yang sukar diungkapkan, memberi kita sebagai pembaca kesedaran untuk tidak lelah mencari ilmu dalam mengangkat darjat kita sebagai insan yang berfikir.

Filem ini juga pernah diadaptasi kelayar perak, dan tidak seperti filem-filem yang diadaptasi dari buku-buku sebelum ini, Laskar Pelangi bikinan Riri Riza lansung tidak mengecewakan. Ia murni. Ia jujur. Ia adalah satu persembahan yang membuat kita tidak jemu-jemu menonton kehidupan disebuah pulau yang kecil dan sederhana.

Satu kata-kata yang aku sukai dari filem ini datang dari bibir Pak Harfan: "Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya." 

Dengan itu, aku ucapkan: selamat tinggal untuk 2013! Semoga kita semua ada kekuatan untuk menempuh tahun-tahun yang berikutnya.

Comments

Anonymous said…
No.10 sy dah baca. Sang Pemimpi pun ok [sekuel nye].
No.7 Norwegian wood. saya terjumpa dan terbeli masa BBW baru2 ini. blom baca.
Rasa nak baca Hujan Pagi. last year EH! pun ada review pasal novel ni. must read novel for men katanya.
jhnrdzi said…
yeah, aku masih tak baca sekuel ketiganya. edensor kan kalau tak silap?
Norwegian Wood wajib baca. Ia buku pertama Murakami yang aku dapat dan ceritanya memang tidak menghampakan.
Hujan pagi juga power. orang selalu kata karya terbaik pak samad adalah salina, dan itu aku belum baca. tapi hujan pagi pun menggoncang dalam caranya sendiri.
Päk Läng said…
aku memang terkesan dengan tetralogi laskar pelangi. kalau dah mula baca laskar pelangi, kau wajib(?) khatam juga sang pemimpi, edensor dan maryamah karpov. usai tetralogi itu kau harus baca dwilogi padang bulan & cinta di dalam gelas pula. maka keseluruhan rasa yang hadir saat membaca karya-karya pak andrea akan terasa lengkap. cubalah.

norwegian wood memang karya gaya realistik murakami yang terbaik!

tentang karya-karya faizal tehrani, tidak dapat tidak aku harus akui bahawa beliau memang seorang penulis dan juga seorang filsuf yang hebat (dalam konteks sastera dan penulisan di malaysia ketika ini).

Primadona said…
laskar pelangi.sang pemimpi dan edensor adalah buku yang terbaik pernah aku baca.
Norwegian wood aku dah baca cuma pada aku tak sesuai dengan genre cuma setakat ini bukuyang aku gemar mengenai Haruki Murakami adalah Kafka on the shore. :)
Anonymous said…
blom bc lagi edensor. nnt cari. skang ni takle sentuh novel ape pun. January is the exam month. bakal bz smpi ujung bulan. phew! pas abes exam ni nk bc la norwegian wood.

Popular Posts