Siapakah sang pemikir?

Dalam zaman langit terbuka seperti hari ini, maklumat-maklumat membanjiri kita seperti arus deras Niagara. Dengan hanya beberapa klik serta capaian internet yang bagus kita bisa menyelongkar tentang hampir semua perkara di muka bumi ini; misalnya, tentang suatu gempa bumi di Tokyo, atau genosida di benua Afrika, atau jagal-jagal bersiri yang memakan daging budak di Amerika Syarikat. Kita juga boleh membelek karya-karya sang pemikir dan cendekiawan daripada ribuan tahun lampau, dari negeri-negeri antah-berantah yang gagasan-gagasannya terus memberi manfaat kepada kita sehingga ke hari ini.

Masyarakat Barat, menurut Spengler, adalah Faustian, dalam ertikata mengejar ketakhinggan di dalam bidang-bidang penting dunia sampai tergamak menggadaikan sanubari mereka


Keterbukaan maklumat ini dah tentu melahirkan banyak "intelektual" di kalangan kita, apalagi mereka yang mahir dengan istilah-istilah canggih seraya menghafal nama-nama teori yang aneh dan menakjubkan. Kerana itu kita melihat bercambah pemikir dan pengarang di medsos yang melontarkan buah-buah pendapat yang boleh tahan ganteng dan berisi. Ada kalanya mereka meratib nama-nama yag kita tak pernah dengar pun. Ini terkadang mencemaskan kita dan mula membuat kita tertanya-tanya sekiranya kita warganegara yang cakna dan cukup berpendidikan di tanahair bertuah ini.

Jangan tersilap tafsir nada saya, bukanlah saya mengeji para intelektual yang berbaris di astaka medsos ini, kerana pasar idea ini, meskipun ribut dan berkecamuk, tetap adalah wahana yang bagus untuk kita menguji pemikiran masing-masing. 

Atas tujuan itu, bagaimanakah kita nak menyaring pendapat-pendapat yang bernas, dan mengetepikan yang bukan? Oswald Spengler di dalam mahakarya beliau "Senjakala Masyarakat Barat" (The Decline of the West) berkongsi pengamatan beliau tentang hal ini. Bagi beliau, kefahaman untuk menyingkap hakiki semasa menruut jiwa dan naluri yang betul adalah ciri terpenting buat seseorang pendita. Saya turunkan tiga perenggan ini di bawah untuk tatapan tuan-tuan dan nyoya-nyonya:

"Bagi saya, ujian sesebuah nilai haruslah disandarkan kepada pendeta yang mempu mengamati hakikat-hakikat yang agung di dalam riwayatnya. Hanya dengan ini kita mengenal sama ada seseorang itu hanya seorang pembina sistem dan prinsip, arif di dalam takrifan dan pembacaan, atau sama ada beliau mengandungi jiwa yang menyingkap hakikat semasa menerusi karya-karya serta nalurinya. Seseorang pendeta yang gagal menghayati hal-hal hakiki serta bertindak ke atasnya tak layak tergolong di dalam kelompok pangkat pertama. Pendita-pendita pra-scorates semuanya para kuasawan dan saudagar yang cemerlang. Keiinginan Plato untuk menuangkan gagasan-gagasan politiknya lalu mengamalnya di Sirakusa, hampir menyebabkan nyawanya melayang, dan inilah Plato yang sama yang merangka cetakbiru awal yang kemudiannya dikembangkan oleh Euclid untuk mencipta sistem matematik Klasikal. Pascal - yang dikenali Nietzsche sebagai "Si Nasrani yang terluka" - Descartes, Leibniz, merupakan pakar matematik dan teknis pada zaman mereka.

"Syahdan, saya kira semua pendita zaman terbaru ini terbuka kepada kritikan-kritikan. Apa yang mereka tak miliki adalah kedudukan yang mustahak di mata masyarakat. Tiada satu di antara mereka yang pernah terlibat dengan berkesan, sama ada di medan politik, di dalam perkembangan teknis moden, dalam hal-ehwal komunikasi, dalam ekonomi, atau mana-mana bidang penting, dengan sesebah dua buah fikir atau tindakan yang meyakinkan. Mereka menjauhi diri daripada matematik, fizik, ilmu pemerintahan, termasuklah Kant. Mari kita jenguk zaman-zaman lain. Conficius pada zamannya beberapa kali ternobat sebagai menteri. Pythagoras pernah mengilham sesebuah gerakan politikal yang seiras Cromwellian, kepentingannya yang kini selalu terlepas pandang dek pengkaji-pengkaji Klasikal. Goethe, selain seorang menteri eksekutif yang teladan - meskipun terpaksa bernaung di bawah Negeri yang tak gah - pernah berminat dengan Terusan Suez dan Panama (tawarikh-tawarikh yang beliau nujumkan pun semuanya mengena) serta dampaknya terhadap ekonomi sejagat. Dan beliau kerap menyibukkan dirinya dengan pertanyaan-pertantaan hidup ekonomi Amerika sera kesannya kepada Dunia Lama, serta fajar kemunculan perkilangan mesin. Hobbes pula antara yang terawal merintisi rancangan England untuk menakluki Amerika Selatan, meskipun ia akhirnya terbatas sekadar di Jamaica. Tapi beliau dijuluki sebagai antara pencipta terawal Kemaharajaan Kolonial Inggeris. Leibniz, tanpa syak lagi sang pendita yang terhebat di dalam ranah pemikiran Barat, pencipta kalkulus bandingan dan analysis situs, mencetuskan banyak langkah politikal, salah satunya adalah dengan membawa perhatian Louis XIV kepada kepentingan Mesir sebagai induk dasar-dasar sejagat Perancis. Gagasan beliau akan memorandum perkara ini begitu maju untuk zamannya (1672) dan pernah dianggap bahawa Napoleon memanfaatkan ia untuk penyebaran kuasa di belah Timur. Meskipun awal, Leibniz telah menggariskan prinsip-prinsip yang kemudiannya difahami sepenuh jiwa oleh Napoleon selepas Wagram, viz., bahawa penaklukan Rhine dan Belgium takkan menguntungkan kedudukan Perancis dan bahawa muara Suez akan jadi kunci utama di dalam penaklukan dunia. Tanpa ragu Sang Raja tak setara dengan Sang Pendita di dalam hal-ehwal politikal dan strategi yang mendalam ini.

"Acapkali saya membelek sebuah karya dari seorang pendita moden, saya bertanya: adakah dia memahami hakikat-hakikat seputar politik-sejagat, masalah kota-dunia, kapitalisme, masa depan negara, perhubungan antara teknis-teknis serta kesannya kepada peradaban, tentang Russia, tentang Sains? Goethe menyelami semua ini dan bernafas dengan kefahaman ini, tapi tiada satu pun pendita terkini  yang boleh mencapai tahap ini. Kebolehan untuk menyingkap hakiki sudah tentu tak sama dengan buah-buah fikiran sesebuah falsafah, tetapi, saya ulangi, ia adalah suatu simptom yang perlu untuk mengenal hakikat di sebalik tabir, perolehan-perolehannya, serta kepentingan lambangnya."


Comments

Popular Posts