Retrospektif Oktober.

Image result for kazuo ishiguro
Kazuo Ishiguro dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Nobel. Tetapi saya tidak ada apa-apa untuk dikatakan tentangnya.
I.

Saya pernah berbual dengan seorang kawan di sebuah acara seni perihal perkembangan sastera di tanahair. Beliau berpendapat bahawa sastera kita memerlukan sokongan moral dengan kritikan-kritikan yang membina. Mana-mana karya yang baik perlu didukung, yang lemah perlu dinasihatkan dengan rangsangan-rangsangan positif. Dengan ini, kita mencari 'sisi-sisi terbaik' yang ada pada karya lemah itu dan memartabatkannya.

Saya separuh setuju, separuh menolak kenyataan tersebut. Sementara saya meyakini bahawa karya baik perlu didukung, karya-karya lemah tidak seharusnya digula-gulakan dengan pujukan-pujukan muluk semata mahu 'menjaga hati' pengarang. Alasan-alasan diplomatik seperti inilah yang sebenarnya lagi merencatkan perkembangan sastera kita. Ia membuat seseorang pengarang tersebut berasa puas dengan karyanya yang medioker dan terus melanjutkan kepengarangan dengan tahap yang semacam itu. Pujian-pujian 'mencari sisi positif' seterusnya membabaskan dia ke jurang regresif. Keselesaan boleh jadi seteru utama seseorang pengarang selepas rutin dan kebiasaan.

Dunia sastera tidak seharusnya segala-gala tentang pelangi dan gula-gula. Ia juga harus kasar. Ia juga harus berani menegur jika karya-karya seseorang pengarang tidak sebagus yang disangkakan. Kritikan sebegini pula harus juga tampil dengan pengetahuan-pengetahuan sastera yang jitu dan mantap. Pengetahuan-pengetahuan ini boleh dikutip melalui buku-buku falsafah, sastera, teori, serta beberapa pautan di laman web yang semakin berlambak-lambak halamannya. Sekadar makian kosong tidak membawa sastera kita kemana-mana. Begitu juga dengan pujian yang sebenarnya tidak ikhlas. Katakan sahaja tidak bagus sekiranya karya yang dilontarkan tidak bagus. Kita tidak perlu berbasa-basi dengan hal ehwal kesenian dan kehidupan. Biarlah ahli politik yang mengambil peranan itu.

Jika seseorang pengarang tidak tahan kritikan, bermakna ramuan dirinya masih tidak cukup bagi melonjakkan dirinya ke peringkat kepengarangan dewasa. Menyambut kritikan adalah langkah terawal bagi seseorang pengarang mencapai proses kematangan. Dengan membuka diri kita kepada kritikan, kita berkemampuan untuk melihat Alam melalui kacamata orang lain - seterusnya meluaskan lagi perspektif terhadap hal-hal yang berkaitan. Tentang kritikan mana yang boleh diambil dan mana yang tidak jatuh nombor dua. Yang mustahak adalah melapangkan dada dahulu.

Saya teringatkan Terence Fletcher dalam filem Whiplash, ketika dia sedang mendidik Andrew Neyman menjadi seorang pemain jazz terkenal di kota New York. Dia berkata, There are no two words in the English language more harmful than good job.


II.

Saya akhirnya menemui semula A Farewell to Arms setelah berminggu-minggu mencarinya. Rupanya ia tertinggal di rumah seorang kawan, ketika kami melepak bersama-sama di petang jumaat sesudah kerja. Saya menghabiskan sisa halaman dalam masa dua malam dan selepas khatam, saya berpendapat saya masih menyukai For Whom the Bell Tolls sebagai adikarya Hemingway. Tetapi saya masih belum membaca The Old Man and the Sea.


III.

Wan Nor Azriq ada mengirimkan sekeping poskad kepada saya dari Frankfurt, Jerman. Pada muka poskad tersebut terpampang wajah Ernest Hemingway dengan petikan di dalam bahasa jerman.




Ia bermaksud lebih kurang begini: pada siang, tidak sukar bagi kita melihat sesuatu secara waras dan tidak bersentimental. Tetapi lain ceritanya menjelang malam tiba.

Saya masih menyimpan poskad-poskad yang dikirim beberapa sahabat dari dulu: Rasyidah Othman, Nadia Amira Rosli, Wahyuni Suhery, serta lain-lain. Jika rajin barangkali saya mahu menulis tentang ini lagi.


IV.

Selesai mewawancara Wan Nor Azriq di Setiawangsa, KL bersama Azrin Fauzi. Isi wawancara tersebut disiarkan di blog Roman Buku dengan judul 'Jerangkung di dalam Kabinet.' Ini sempena penerbitan novel WNA yang terbaru November ini, dengan judul 'Di Kala Bulan Bermain Biola'. Jangkakan hal-hal yang anda tidak jangkakan dengan keluaran hasil tangan pengarang Kedah ini.


V.

Saya terfikir, dengan kemudahan media sosial dan persamaan akar bahasa antara Malaysia dengan Indonesia, mengapa kita masih belum menubuhkan sayembara sastera di peringkat nusantara? Kita boleh menjemput sekali pengarang-pengarang dari Singapura, Brunei, Australia, Selatan Thailand, dan Selatan Filipina. Dunia bahasa inggeris menganjurkan banyak sayembara sastera (Man Booker, Nobel, etc). Begitu juga dengan benua Amerika Latin yang menganjurkan banyak sayembara sastera di dalam bahasa yang dikongsi mereka. Jika kita serius mahu memartabatkan sastera di rantau ini maka sayembara peringkat nusantara sepatutnya sudah lama dijalankan. Lebih-lebih lagi apabila secara linguisnya kita masih bersahabat dengan teman-teman sejiran negara. Malahan pula bahasa melayu standard adalah antara sepuluh bahasa paling banyak penuturnya di dunia. Sudah tentu itu jumlah yang bukan sedikit. Seterusnya kita boleh diperkenalkan dengan buah-buah fikiran pengarang-pengarang di seberang tanahair dan vice versa. Di Indonesia misalnya saya menggemari Eka Kurniawan. Di Selatan Thailand pula saya rajin membaca karya-karya Isma Ae. Ini baik buat ekonomi dan baik juga buat kebudayaan.

Kita tidak sepatutnya merasa terpencil dengan bahasa dan kebudayaan kita sendiri. Sudah tiba masanya kita meraikan sastera kita dalam bahasa serantau tanpa tertunggu-tunggu karya kita untuk diterjemahkan (supaya nanti dinobatkan pula untuk anugerah-anugerah antarabangsa berbahasa inggeris - meskipun sesudah enam dekad ini masih belum berlaku). Bahasa kita unik, rantau kita juga mengandungi banyak rahsia serta keajaiban yang menanti untuk diselongkarkan.


VI.

Melawati Pulau Pinang di hujung bulan. Sempat berbual dengan Pak Kuoy, kurator Pameran Mutiara di Armenian St, Georgetown. Beliau seorang pakcik yang peramah dan berhati baik. Kami berngobrol tentang beberapa hal seputar pulau ini - kemudian, saya mendapat tahu bahawa mendiang Ismail Hashim ialah sahabat baiknya. Apabila saya mengakui bahawa saya pernah melawati pamerannya di BSVN dua tahun lalu, dia semakin rancak bercerita tentang kerja-kerja fotografi sahabat karibnya itu.

Di Chowrasta, saya memborong dua buku dengan judul Go tell it to the mountains (James Baldwin) dan Experience (Martin Amis). Sesudah itu kami turun dan menikmati cendol, tiram goreng, dan asam laksa yang terbaik ibu pertiwi ini pernah hidangkan.

Malam akhir, melepak dengan Akif Jebat di Lebuh Chulia. Banyak juga yang disembangkan. Kali akhir saya menemui beliau adalah di MPR awal tahun ini. Dia sedang giat mengarang beberapa cerpen dan puisi dan saya sentiasa merasakan hal-hal abstrak adalah makanan utamanya - sesuatu yang tak dapat saya jelmakan ke dalam karya-karya saya sendiri.


VII.

Seusai pulang dari Pulau Mutiara, saya tidur. Ia sebuah tidur yang lena dan panjang. Apabila saya mencelik mata, November sudah pun terjelma di depan katil saya.

Comments

fadz said…
yang menyamai Man Booker itu masih tidak ada (setiap tahun sekumpulan cerdik pandai memilih novel fiksyen terbaik seantaro) tetapi yang menyerupainya dalam 3 tahun sekali sudah ada dalam bentuk Anugerah MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) .. Kerja sebegini agak susah apabila masih ada kuasa politik kuat kalangan negara masing-masing yang tidak mahu merasa dirinya kecil, seperti "abang kuat" Indonesia. Juga masalah dana (tidak ada badan atau syarikat yang mahu melakukannya). Sebenarnya di Sabah, sudah ada percubaan untuk melakukan hal ini, dalam genre sastera Islam (negaranya termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei), tetapi ia masih berbentuk regional dan terkenal di Sabah sahaja.
jhnrdzi said…
Pernah juga dengar hal itu. Cuma saya selalu terfikir Fadz, kita masyarakat dunia yang kecil. Mengapa mahu membataskan diri lagi dengan sempadan nasionalisme bila kita ada perkongsian budaya dan bahasa ketara. Tapi itulah, ego sentiasa jadi batu penghalang kepada manfaat yang dapat dikongsi bersama..

Popular Posts