Hakikat keinsanan Nietzche.

Keperibadian manusia ibarat satu labirin sempit dan gelita. Insan yang tidak gagah untuk menerokainya akan dicarik-carik oleh Minotaur yang bersembunyi di balik bayang-bayang.


Menurut Nietzsche, perasaan insan moden untuk berasa terputus dan tersisih daripada dunia timbul daripada satu ketempangan untuk tidak mengenali 'hakikat sejarah' seseorang individu tersebut. Beliau meyakini bahawa psyche manusia terbentuk daripada susur galur sejarah yang kompleks; kepingan-kepingan yang membina tanggapan kita sepertimana yang kita kenali sekarang. Ini melibatkan segala pandang alam, budaya, adat, sikap, kepercayaan, dll yang bersangkut-paut dengan sesuatu umat yang datang sebelum kita. Tanpa cuba memahami proses ini manusia akan terputus daripada sejarahnya, menjadikan ia berasa terkandas di dalam dunia yang absurd. Beliau mencadangkan supaya kita kembali kepada akar tradisi, sebagaimana sesebuah pepohon yang mencengkam bumi dan merimbun hijau dan membuahkan hasil. Untuk itu, pencaknaan terhadap sejarah adalah mustahak bagi memastikan seseorang insan tidak terlepas daripada garisan sejarah yang diwarisinya.

Selain itu, Nietzche juga menegaskan bahawa di dalam setiap diri kita juga ada makhluk prasejarah yang berselindung di balik subsedar. Dua makhluk ini beliau namakan haiwan buas dan haiwan kudus; dua entiti yang memegang sikap yang berlainan. Jika yang pertama mewakili keliaran binatang pada diri manusia seperti nafsu seks dan keganasan primordial, kedua pula lebih kepada naluri bagi berbuat keputusan untuk terus selamat. Beliau menjelaskan bahawa makhluk-makhluk ini yang memastikan leluhur kita maju dalam peradaban serta sentiasa selamat daripada segala ancaman binatang lain. Dua makhluk ini tidak seharusnya dihenyak kewujudannya, tetapi harus dipergunakan untuk manfaat insan dalam kehidupan seharian. Ibarat sungai yang mengalir deras, kekuatannya juga boleh ditunggang jika insan bijak untuk mengawalnya.

Dari sini, Nietzche melanjutkan gagasannya bahawa manusia moden gagal kerana mereka hanya berpegang pada satu perkara: kesedaran (yang ditanggap beliau sebagai organ terlemah pada diri manusia). Insan jati akan sentiasa bermuara kepada diri, kepada sejarah, serta pemahaman mantap terhadap keadaan jiwa manusia yang tulen: bahawa kita tidak memilih apa yang kita mahu jadi, tetapi kita menuruti satu sabda alam yang terbenam pada dasar peribadi kita seawal azali penciptaan. Kita menjadi apa yang sudah ditakdirkan kepada kita untuk jadi. Bukan atas pilihan. Bukan atas kemahuan. Manusia yang melihat ke dalam diri mereka dan menggapai hakikat ini akan menemui tingkat teragung dalam hierarki peradaban - insanul kamil.

Comments

Popular Posts