Kerajaan Yang Berkesedaran: Suntingan Pengarah.

 A king may move a man, a father may claim a son, but that man can also move himself, and only then does that man truly begin his own game. Remember that howsoever you are played or by whom, your soul is in your keeping alone, even though those who presume to play you be kings or men of power. When you stand before God, you cannot say, "But I was told by others to do thus," or that virtue was not convenient at the time. This will not suffice. Remember that. - Raja Baldwin IV.


Baru-baru ini saya telah menonton Kingdom of Heaven (2005) suntingan pengarah dan apa yang saya tontoni benar-benar memindahkan saya ke alam perang salib kedua yang lain. Di sini saya maksudkan lain dengan membandingkannya dengan Kingdom of Heaven suntingan pawagam yang pernah dilepaskan di panggung-panggung wayang kita dua belas tahun lalu. Filem asal Ridley Scott yang berjangka masa tiga jam ini mengangkat banyak tema serta persoalan-persoalan Perang Salib Kedua dengan baik; pengalaman kerohanian yang mencerahkan dan binaan manusiawi yang kukuh. Semangatnya juga lebih memukau.

Apa yang berbeza? Banyak. Misalnya, pada awal plot kita diperkenalkan kepada sebuah desa Perancis tahun 1184. Di sana sahaja punca isteri Balian membunuh diri, hubungan rumit Balian dengan paderinya, serta sejarah hitam kesatria Godfrey Ibelin sebelum berangkat je Jerusalem diterokai lebih mendalam. Ruang-ruang ini memberikan satu perkembangan watak yang kemas dan lebih manusiawi. Kita faham tujuan-tujuan watak dan apa yang membentuk mereka seperti apa yang mereka aksikan di wayang. Bahagian-bahagian ini tidak kelihatan dalam suntingan pawagam yang hambar dan tidak disambut baik para penonton dan pengkritik filem itu.

Saya tertarik juga dengan beberapa dialog yang dipotong. Misalnya, babak Balian - semakin mencurigai misi Perang Salib ke Jerusalem - melucur batu ke semak di padang pasir dan menghasilkan percikan; api marak menjilat reranting.

Balian: That's your religion. One spark, a creosote bush. There's your Moses. I did not hear it speak.

Hospitaler: That does not mean that there is no God.

Kemudian apabila Balian menoleh sekali lagi, rakan Hospitaler sudah lesap. Hanya padang pasir seluas saujana menyambut permandangannya. Kuda hitam yang diikat berdekatan tiba-tiba meloncat ketakutan. Adakah itu hanya khayalan?

Terdapat banyak babak lagi yang dicantas. Idea asal Ridley Scott untuk menampilkan filem ini disanggah Studio 20th Century Fox. Mereka berasakan bahawa filem yang berjangka masa tiga jam lebih tidak sesuai untuk memikat penonton untuk berbondong-bondong ke pawagam; lebih-lebih lagi sebagai filem yang dicorakkan dengan konflik agama. Mereka menyunting filem tersebut dan menayangkan versi ini sebagai suntingan pawagam; dipakej sebagai filem aksi sejarah dengan bibit-bibit percintaan. Tetapi apabila sebahagian besar nilai filem itu disembelih oleh studio, maka apa yang tersisa untuk kita jamu hanyalah sepinggan bangkai. Dan anda akan jarang menemui apa-apa khasiat pada sepotong filem yang disembelih semata-mata atas nama komersialisme.

Saya sering menganggap filem ini sebagai jawapan Ridley Scott kepada Pencerobohan Iraq semasa Pentadbiran Bush dekad lalu. Sesiapa yang membesar pada zaman itu nescaya masih mengingati ketegangan antara Amerika dengan Dunia Islam ketika itu. Penting untuk dinyatakan di sini bahawa meskipun Perang Salib bersiri lapan itu hanya dilihat sebagai sebahagian sejarah oleh penganut-penganut kristian, namun luka dan trauma kesan peperangan tersebut masih dirasai sehingga ke hari ini oleh para muslim arab. Sebab itu banyak penasihat Bush menyarankan kepadanya agar mencabut istilah 'Perang Salib' dalam ucapan-ucapannya. Sentimen lama tersebut hanya akan membangkitkan lebih banyak mujahidin anti USA di tanah seberang.

Hamid Dabashi menulis kritikan Pejuang-Pejuang Keimanan yang dimuatkan di dalam Sound & Sight, bahawa filem ini sebagai 'bukan filem pro-islam atau pro-kristian. Malahan ia bukannya tentang Perang Salib pun.' Saya separa bersetuju dengannya. Meskipun filem ini berlatar belakangkan Perang Salib Kedua, fokusnya tercerap kepada pengalaman kerohanian dan binaan manusiawi. Ridley Scott cuba memberitahu kita bahawa Jerusalem yang diimpikan Raja Baldwin IV ialah satu Kerajaan yang Berkesedaran (Kingdom of Consciousness); yang mana yahudi, kristian, dan muslim boleh hidup bersama mengamalkan ibadat mereka sendiri. Baginda sering mengelak konflik dengan angkatan-angkatan islam kerana baginda sedar akan musibah-musibah yang bakal dibawa oleh peperangan. Kasualtinya bukan sedikit.

Masalah yang membelenggu setiap agama adalah para pentaksub. Dan mereka wujud dalam setiap pecahan agama; di kalangan kristian mahupun islam. Mereka anti dialog dan kerap melancarkan jihad atas nama Tuhan (ego) mereka sendiri. Merekalah yang bertanggungjawab menyebabkan jumlah-jumlah korban sepanjang sejarah manusia. Dan yang terhimpit di tengah-tengah selalunya ialah insan-insan yang tidak berdosa. Di filem ini, mereka diwakili oleh Guy dan Raynald yang hauskan darah umat islam. Balian menyedari hakikat ini. Dia serta sahabat-sahabatnya faham bukan semua yang berjihad ke sini untuk kesucian agama. Kebanyakan daripada mereka hanya mahu merampas tanah dan merompak kekayaan.

Balian Dari Ibelin berunding secara aman dengan Salehuddin Ayubi.

Adakah jawapan Ridley ini masih penting pada konteks hari ini? Sudah tentu ya. Kita melihat abad yang semakin dikunyahi para pentaksub; Pentadbiran Trump berhaluan Kanan, Kebangkitan ISIS, siri keganasan sami-sami buddha terhadap etnik minoriti Rohingya di Myanmar, serta banyak lagi yang tak disebutkan. Agama sebagai wahana keamanan sedang dipertunggangkan dengan ganas oleh para pentaksub di serata dunia. Krisis ini tidak jauh berbeza daripada apa yang menimpa kita semasa Perang Salib berabad-abad lalu.

Kritikan Kingdom of Heaven perlu dilihat bukan dalam konteks agama kristian sahaja tetapi juga dalam agama-agama lain. Kegagalan untuk membendung para pentaksub hanya akan mengakibatkan lebih banyak konflik agama yang tidak diingini. Saya sukakan pesanan Hospitaller - yang sudah letih dengan pertumpahan darah - semasa berbual dengan Balian di Jerusalem.

I put no stock in religion. By the word religion I have seen the lunacy of fanatics of every denomination be called the will of God. Holiness is in right action and courage on behalf of those who cannot defend themselves, and goodness. What God desires is here [points to head] and here [points to heart] and what you decide to do every day, you will be a good man - or not.

Comments

Popular Posts