Ceritalah, pasca reformasi 1998.

Reformasi 1998 ialah antara demonstrasi yang terbesar pernah terjadi di Malaysia.


Aku sedang duduk di kafe kegemaranku di PJ sambil menguliti buku karangan Karim Raslan, Ceritalah 2: Journey Throughout Southeast Asia yang baru kubeli beberapa jam tadi di Empire Subang Jaya apabila satu kenyataan keras menghempuk kepalaku. Karim Raslan ialah bekas peguam yang telah bertukar kerjaya sebagai seorang wartawan dan aku telah mengikuti beberapa tulisannya dalam akhbar The Star dan majalah Esquire yang kubaca secara berbulan. Sebelum itu, aku pernah baca kumpulan esei Ceritalah edisi pertama dan aku cukup senang dengan kandungannya. Karim Raslan bercerita kepada kita bibit-bibit Malaysia awal 90an, sentiasa dengan nada yang tajam dan penuh humor, dan ada sesekali tegurannya begitu payah untuk kita hadam dan telan. Aku sentiasa ingin untuk meninjau suasana-suasana Malaysia pada zaman-zaman kegemilangannya itu dan esei Karim Raslan telah menjadi tingkap yang baik untuk kuintai da fahami susur galur negara ini.

Tapi kali ini, nada Karim ternyata berbeza dengan dirinya yang lepas. Buku kedua ini ditulis pasca reformasi 1998, selepas pengguguran Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jadi, esei-esei ini dimuatkan kira-kira 5 tahun selepas buku pertama diterbitkan. Jika dahulu Karim optimis dan berharap dengan Malaysia Dalam Transisi, lebih mendukung "nilai-nilai Asia" yang padanya mustahak untuk pembangunan negara pasca penjajahan, kali ini dia kedengaran ragu-ragu dengan kenyataannya yang pertama tadi. Kemelut politik dan serangan demi serangan terhadap Hak Asasi manusia benar-benar telah menggugat keyakinannya. Aku masih ingat betapa beliau menyetujui dasar-dasar Tun Mahathir yang pada waktu itu dilihat 'perlu' bagi pemodenan tanahair. Selain itu, dia juga dikejutkan sampai kejung oleh perbalahan yang meruncing di antara dua tokoh gergasi nasionalis melayu itu. Padanya, perkara seperti itu langsung tidak terjangkau oleh ramalan dan firasat beliau yang awalnya optimis.

Aku mencicip teh hijau panasku. Guruh berdentum dari jauh dan awan-awan gelap mulai merangkak melintasi langit Petaling Jaya.

Dalam zaman antara buku pertama & kedua, banyak hal telah berubah di Malaysia. Karim Raslan menoleh ke belakang dengan nostalgia dan kejelikan seperti apa yang diharapnya suatu masa dahulu telah bertukar debu.

Ceritalah 2 ini diterbitkan pada tahun 2002, dan sudah tentu ini juga sesuatu yang lama jika mahu diukur dari zaman sekarang. 14 tahun telah berlalu.

Lantas, aku jadi teringat pada Deklarasi Rakyat Tun Mahathir yang ditandatangani beberapa minggu lepas sebagai aksi penentangan terhadap pimpinan DS Najib Razak. Termasuk sekali sebagai ahli kepada deklarasi tersebut ialah Hishamuddin Rais, aktivis sosial penting dalam zaman Reformasi. Ada khabar angin yang membisikkan bahawa DS Anwar Ibrahim - seteru besar Tun Mahathir - juga ahli kepada pengisytiharan ini, menzahirkan sokongan melalui jeriji penjara. Jika ini benar, maka hal ini akan menjadi sesuatu yang pasti menarik. Akhirnya kedua tokoh besar ini bergabung semula - setelah berbelas tahun bermusuhan - untuk bersemuka dengan lawan yang lebih gergasi, UMNO di bawah pimpinan DS Najib Razak.

Begitu anehnya zaman ini. Kau akan dapat lihat jejak-jejaknya apabila kau membaca buku yang ditulis berbelas tahun dahulu, yang merakamkan pergelutan politik akhir alaf pertama, dan membandingkannya dengan situasi masa kini. Percaturan politik terus bergerak dengan ragam-ragam yang langsung kita tidak akan jangka. Mereka bermusuhan pada akhir 90an dan kini bergabung semula untuk tujuan yang sama.

Lalu, bagaimana pula dengan kita yang melihat politik negara ini lima tahun akan datang? PRU hanya akan berbaki dua tahun dari sekarang, dan apa pula yang bakal tersimpul sesudah itu? Adakah kerajaan pimpinan DS Najib Razak akan terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan, atau adakah satu pengalihan kuasa akan berlaku? Soal-soal seperti ini memang sentiasa mencabar pemikiran kita. Dan adakalanya, menakutkan.

Tapi aku tetap juga skeptik. Melihat kepada tahap kesedaran warga Malaysia terhadap politik dan persekitaran, diberatkan lagi dengan kemelut-kemelut lain seperti krisis 1MDB, Majlis Keselamatan Negara, penyelewengan wang rakyat, serta kebanjiran imigran yang melandai kota-kota besar di negara ini - yang seterusnya akan dimanfaatkan sebagai bidak politik - aku akan sentiasa mencurigai apa yang bakal dibawa oleh masa depan tanah air ini.

Comments

Popular Posts