Ulasan: For Whom The Bell Tolls.


Ernest Hemingway, semasa Perang Saudara Sepanyol. 1937.

"Dying was nothing and he had no picture of it nor fear of it in his mind. But living was a field of grain blowing in the wind on the side of a hill. Living was a hawk in the sky. Living was an earthen jar of water in the dust of the threshing with the grain flailed out and the chaff blowing. Living was a horse between your legs and a carbine under one leg and a hill and a valley and a stream with trees along it and the far side of the valley and the hills beyond."

Barangkali For Whom the Bell Tolls ialah buku terbaik yang aku baca pada 2015. Penceritaan Hemingway mengenai Perang Saudara Sepanyol; dilapisi dengan tema-tema wujudiah seperti kematian, cinta, dan peperangan menjadikan buku ini satu magnus opus yang sukar diketepikan. Pengalaman dan pengamatan Robert Jordan, heronya, terasa jelas dan kerapkali bermain-main di minda. Dia seperti membawa kita ke zaman silam dan benar-benar hidup dalam suasana gerila, berjuang di samping orang-orang bukit yang berlawan di bawah panji Republik.

Tidak mungkin kita akan lupakan bibit-bibit percintaan Jordan bersama Maria, persahabatan dan kecekalan yang dipamerkan Anselmo yang berjiwa lembut, kelicikan Pablo menunggang kuda, hati prihatin Pilar dan tekad nya yang membulat untuk menumbangkan kuasa fasis yang semakin bermaharajalela. Malahan, babak El Sordo dibedil kapal terbang perang semasa dikepung tentera musuh, serta aksi pengeboman jambatan batu akan sentiasa menjadi ingatan yang menarik, tercetak dalam relung memori yang dikaitkan dengan buku ini. Akhir sekali, kau pun terdektik, celaka aku pun nak jadi gerila.

Imej kematian sangat jelas dipaparkan Hemingway menerusi perjalanan cerita. Di tengah-tengah hutan Segovia, Robert Jordan melabun bersama Pilar mengenai takdir dan ajal. Kekerasan peperangan serta kegilaan manusia terhadap ideologi, seterusnya menjadikan mereka binatang buas dalam setiap pertempuran. Robert Jordan tahu, ini bakal jadi operasi terakhirnya. El Sordo dan Pablo juga begitu. Pembacaan Pilar terhadap tapak tangan Jordan hanya menguatkan lagi ramalan mereka terhadap nasib gelap ini. Tapi mereka teruskan juga, kerana kekuatan fasis adalah seteru yang menggerunkan; jambatan batu itu sajalah yang boleh melumpuhkan strategi-strategi mereka. Jordan ada juga membayangkan jalan bunuh diri, tetapi dia segera pula mengelaknya. Jalan yang diambil mendiang bapanya itu memalukan Jordan. Dia melihat bapanya sebagai penakut; meskipun dia fahami apa yang memaksa bapanya sehingga melakukan tindakan yang sedemikian rupa. Dia membandingkan mendiang bapanya dengan mendiang datuknya, yang pernah bertempur dalam Peperangan Saudara Amerika; sempat hidup untuk menceritakan kisah-kisah keperwiraannya.

Selain itu, imejan kapal terbang perang juga begitu menghantui. Seolah-olah, setiap harapan terrbengkalai dengan datangnya deruman enjin kapal terbang perang dengan mesingan-mesingan yang melekat pada tubuh besinya. Senjata-senjata moden ini mendatangkan satu maksud, yakni, hanya dengan kelengkapan yang canggih sahajalah satu-satu pasukan itu akan menjuarai. Ini bukan lagi tentang maruah peperangan atau kehandalan di medan perang; segala-galanya sudah disifirkan dengan industri dan teknologi. Segala strategi dan perancangan dan serang hendap menjadi tidak bermakna bila dihadapkan dengan mortar dan kapal terbang perang. Anselmo, dengan menariknya, merenung:

"We must teach them. We must take away their planes, their automatic weapons, their tanks, their artillery and teach them dignity."


Ernest Hemingway bersama Joris Evens, serta dua anggota tentera semasa kemuncak Perang Saudara Sepanyol.

Khabar angin mengatakan Hemingway menyemak manuskrip For Whom the Bell Tolls sebanyak berpuluh-puluh kali sebelum melepaskan ia untk diterbitkan. Ia mungkin benar, mungkin juga tidak. Tapi yang pasti, ini adalah buku peperangan klasik yang paling hidup dalam menggambarkan iklim-iklim zamannya. Lelaki harus baca buku ini. Mereka yang meminati perang dan sejarah harus baca buku ini. Dan mereka yang hidup dengan camaraderie dan maruah kejantanan sebati dalam darah daging mereka harus jadikan buku ini sebagai koran mereka; untuk dibaca dan dihidupkan dalam jiwa mereka yang keras dan kuat menentang.

Comments

Popular Posts