Keretapi di stesen malam.



Ada sesuatu yang nostalgia mengenai keretapi yang meninggalkan stesen pada waktu malam. Kau takkan menjejakkan diri ke luar dan terus ke kereta tanpa memandang ke belakang. Kau akan berdiri seketika selepas kau mengeluarkan diri daripada perut gerabak. Kau akan berdiri di tepi garisan; ingin melihat keretapi itu sebelum ia bergerak lagi.

Kau mahu lihat pintu dengan bunyi yang menyakitkan hati itu ditutup dengan aturan mekaniknalnya; kau mahu lihat wajah-wajah penumpang yang masih tersisa dengan kepenatan yang terpampang di wajah mereka menanti perhentian yang mereka tujui (dan kau berharap mereka akan menemui katil dan tidur dengan nyenyak sesudah sampai di destinasi kerana setiap manusia berhak untuk kemewahan tersebut); kau mahu lihat tingkap dan jendela yang kau menungkan tiga puluh minit tadi memandang jalan dan bandar dan memikirkan hal-hal kewujudan dan kesakitan dan kenangan yang hanya engkau seorang sahaja faham; dan selepas gerabak itu hidup dan meluncur sekali lagi di atas landasan itu dan pergi meninggalkan kau yang berdiri di sisi platofrm, barulah kau beredar. Kau memalingkan diri dan beredar dan kau berharap semoga kau tak naik keretapi dalam masa yang terdekat ini.

Kerana kau bencikan keretapi dan apa yang ia simbolkan; kau benci untuk duduk di dalam gerabak besi dengan orang-orang yang kau tak kenal dan permandangan luar yang asing; dan jauh di dalam sudut diri, kau tahu, kau masih seorang budak yang masih belum dewasa untuk bersemuka dengan realiti.

Comments

Popular Posts