Tariq Ramadan: Hormat-menghormati, pemikiran kritikal, dan kepentingan berdialog.

Nota: Sebagai pembuka tirai 2014, saya menerjemah wawancara Zakiah Koya bersama Tariq Ramadan dari blog ini. Selamat membaca.


Professor Tariq Ramadan.

Profesor Tariq Ramadan adalah seorang ilmuwan Muslim Eropah yang menyokong pembaharuan dalam kerangka Islam dan menggalakkan persefahaman antara agama. Dilahirkan di Switzerland dan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan Al Banna, ilmuwan Eropah ini telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada 100 tokoh paling penting untuk abad kedua puluh satu oleh majalah Time. Beliau memberitahu Zakiah Koya semasa lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa umat Islam perlu berani untuk bergerak dari formalisme - penetapan pada ibadah semata - ke arah penekanan kerohanian dan kemasyarakatan yang lebih mengesan.

Kebanyakan muslim percaya bahawa Islam adalah agama yang sempurna, lalu mereka merasakan tidak perlu untuk mengadakan sebarang dialog bersama penganut-penganut agama lain. Mereka sering bertanya: apa pentingannya? Jadi apa pandangan saudara mengenai itu?

Islam adalah agama yang sempurna, ya, tetapi kefahaman kita sebagai manusia sering terbatas. Berurusan dengan penganut-penganut agama lain bermakna kita mencabar keterbatasan itu. Dengan mengadakan dialog, samada dengan penganut agama Yahudi, Nasrani, Buddha, agnostik, atau atheist (mulhid), ia sedikit sebanyak akan membantu kita dalam mencelikkan mata kita terhadap perkara-perkara yang sering kita terlepas pandang.

Sebagai contoh, apabila saya berada di Amerika Selatan, para paderi disana sering berkhutbah tentang Cinta. Jadi, saya belajar untuk bercakap juga tentang sisi kerohanian cinta dalam Islam dan kepentingannya dalam kehidupan. Pengalaman orang lain banyak membantu kita dalam mempunyai pandangan yang segar terhadap agama kita sendiri.

Apabila kita bercakap mengenai nilai-nilai murni, tentang maruah dan perpaduan, dan berbicara mengenai hal-hal perkauman, dialog boleh menyelesaikan banyak masalah. Ini kerana akhirnya apabila berurusan dengan orang-orang yang berbeza, kita akan menanyakan soalan - mengapa kau perlu mendengar pandanganku? - Kerana bersama-sama kita mahu mengubah dunia menjadi lebih baik. Kita mahu menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih sentosa untuk kita kecapi bersama.

Malaysia sukar untuk mempunyai masyarakat yang mengangkat nilai perpaduan sekiranya ia tidak mengamalkan dialog sesama mereka dari kalangan agama yang berbeza. Terdapat banyak wilayah asing yang boleh kita terokai. Sebagai contoh kita bertanyakan soalan: mengapa kita percaya dengan apa yang kita percaya? Adakah seseorang yang mengimani Allah boleh berasa tenang sementara 100,000 saudaranya mati kelaparan setiap hari?

Atau adakah ada seseorang yang, apabila kita bercakap kepadanya tentang isu pemanasan global, boleh yakin bahawa Allah menyenangi tindakan-tindakan kita? Dia tidak! Dialog boleh jadi sangat bermakna jika ia dibuat dengan niat untuk mengenal dan memahami dan bukan sekadar pertukaran kata-kata semata.

Kalau muslim mengatakan agama mereka sempurna, mengapa saudara begitu menekankan pembaharuan dalam Islam?


Saya tidak mengatakan begitu. Islam tidak perlu diperbaharui dan dalam Islam itu sendiri ada alat-alat yang penting untuk umat Islam perhalusi demi mendapatkan kefahaman mengenainya. Apa yang perlu kita perbaharui adalah minda umat Islam. Panduan-panduan yang umat Islam rujuki - Al-Quran dan hadith - akan terus kekal sebagai panduan. Mereka tidak akan berubah. Kita mempunyai prinsip-prinsip yang tidak berubah.

Namun, kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran dan tuntutan zaman moden. Islam adalah untuk setiap zaman dan setiap keadaan tetapi apakah yang akan membantu kita untuk menghadapi belenggu-belenggu itu? Akal budi sudah tentu! Maka kita perlu membakar akal kita dengan percikan-percikan pemikiran yang lebih rasional. Pemikiran yang bekulah yang sering mengkhinati nilai-nilai yang tersirat dalam agama kita, sementara pemikiran yang cerdas menjadikan nilai-nilai Islam lebih terbuka dan bersifat sarwajagat.

Kepada siapakah hal ini perlu dipertanggungjawabkan?

Ia adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul semua orang. Sudah tentu, yang pertama untuk disebut adalah para ilmuwan, ulama dan intelektual. Mereka perlu datang dengan sebuah matlamat yang tetap dan menyelesaikan permasalahan dengan ilmu-ilmu yang mereka telah dipersiagakan. Mereka pengkaji kitab dan sumber-sumber tradisi islam. Jadi, saya akan mengatakan mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dipikul atas bahu mereka.

Umat Islam secara umum juga harus sedar bahawa mereka pun mempunyai tanggungjawab yang tersendiri untuk dilaksanakan. Mereka harus memahami bahawa mereka tidak boleh hanya menyalahkan pihak pemerintah untuk setiap musibah yang melanda. Mereka ada kuasa untuk membawa perubahan, biarpun hanya sebagai rakyat biasa. Akibatnya umat Islam terlalu mundur, menanggapi bahawa merekalah mangsa keadaan dan menuduh sana-sini atas kejatuhan yang berpunca daripada diri sendiri.

Malaysia adalah sebuah negara yang bersifat majmuk dan terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Bagaimanakah Islam menanggapi kepelbagaian kaum dari sudut pandangnya?

Kepelbagaian-kepelbagaian ini adalah kehendak Allah. Al-Quran menyebut bahawa jika Allah mahu, Dia boleh saja ciptakan kita hanya dalam satu kaum. Firman-Nya: Kami menjadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling kenal mengenal antara kamu.

Oleh kerana itu sebahagian daripada kehendak Allah, justeru toleransi antara kaum sahaja tidak memadai. Kita perlu menghormati mereka dan pegangan yang mereka anuti. Seorang ulama yang tersohor pernah berkata dalam sebuah persidangan: "Siapa mahu hanya toleransi bila kita bisa saling hormat-menghormati?"

Lantas dalam Islam, kata kuncinya adalah hormat-menghormati. Keberadaan kita didunia ini sendiri adalah kehendak Allah. Penting untuk umat islam sedar bahawa Allah mahukan agama Nasrani, Yahudi, Buddhisme, mahupun fahaman-fahaman seperti Atheisme dan Anarkisme untuk ada didunia ini sebagai salah satu kehendak-Nya. Untuk menghormati antara satu sama lain bermaksud "Saya terima anda, saya menerima hakikat bahawa anda wajar dihormati sebagai manusia, dan paling penting, saya diperintah oleh Allah untuk mengenali anda supaya kita saling berkenal-kenalan. Rasa hormat-menghormati adalah untuk menerima perbezaan kita dan mengenali anda dengan lebih baik." Maka saya simpulkan, toleransi sahaja tidak memadai. Kepelbagaian ini adalah apa yang Allah mahukan.

Dalam masa yang sama, umat islam juga perlu sedar bahawa dalam kerangka islam itu sendiri tidak pernah ada pemikiran yang seragam. Ada kepelbagaian dalam islam, dan ini adalah realiti.

Jangan sekali-kali kita lupa bahawa kepelbagaian ini bukan sahaja satu cabaran tetapi juga satu anugerah. Melalui dialog bersama pihak-pihak lain, kita menjadi lebih matang.

Kebanyakan masyarakat islam dipimpin para ulama dan ilmuwan. Mereka menjadi watak yang disanjungi oleh banyak pihak. Apa yang mereka katakan akan diterima bulat-bulat tanpa soal. Lantas, begitu banyak orang islam membesar dengan perasaan takut untuk menyoal. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat, bukankah begitu?

Kita harus menghormati para ilmuwan tetapi pada masa yang sama, kita juga harus tidak takut untuk menyoal mereka, terutamanya untuk zaman ini. Apa yang disebutkan sekarang tidak sama seperti apa yang disebutkan 15 tahun lepas kerana kita sentiasa berdepan dengan tuntutan-tuntutan baru. Apa yang saya hendak sampaikan disini adalah umat islam harus berhenti bertaqlid buta dan menyalahkan para ulama sementara anda sendiri tidak memanfaatkan hak untuk berfikir. Keimanan yang sebenar berangkat dari pemikiran yang kritikal. Apabila seorang ulama memberikan anda sebuah fatwa, anda harus menanyakannya: "Dari mana sumber fatwa itu? Buktikan padaku." Mendapat jawapan sahaja tidak cukup, anda harus tahu dari mana usul jawapan tersebut.

Apa yang umat Islam lakukan sekarang adalah mereka hanya mahu sekadar jawapan dan bersikap acuh tidak acuh dengan fatwa. Mereka mencari dan memilih ulama yang hanya akan memberi pendapat selari dengan kemahuan peribadi mereka. Akibatnya mereka cuma mendapat fatwa yang mereka cari, bukan fatwa secara keseluruhan. Perbuatan ini bukan nilai Islami - ia satu sikap yang tidak jujur. Umat islam perlu lebih jujur dan bersikap kritikal - dan teruskan membawa persoalan-persoalan dan cabaran-cabaran yang lebih besar - bukan hanya sekadar ibadah dimasjid dan sebagainya.

Para ilmuwan harus mendepani masyarakatnya. Ilmuwanlah yang harus memberi khidmat kepada masyarakat. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Kadang-kadang kita terlalu mengagung-agungkan mereka dan secara tidak lansung - kita membenarkan mereka menguasai pemikiran dan tindak-tanduk kita.

Justeru penting untuk kita membajai semula benih-benih yang menyoal. Pada zaman Rasulullah, apabila baginda memberikan pendapat atau fatwa, para sahabat akan bertanya: "adakah ini datang dari Allah atau darimu ya Rasulullah?" Jika baginda berkata: "Ini pendapatku", maka perbincangan dan perdebatan akan menyusul selepas itu. Sekiranya ia datang dari Allah, tiada masalah.

Barangkali saudara pernah dengar tentang tuntutan penerbitan Katolik, The Herald untuk memakai kalimah 'Allah' dalam rencana-rencana mereka. Pihak kerajaan tidak bersetuju dengan tuntutan ini. Apa pandangan saudara?

Sekiranya anda melawat negara-negara Arab, anda akan dapati bahawa kalimah 'Allah' digunakan oleh setiap warga Kristian - samada yang Koptik mahupun yang lain-lain. Bagi kami, Allah lah yang mengutuskan nabi-nabi - seperti Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Muhammad kepada umat manusia. Dalam bahasa arab, kita menyebut "Allah", dalam bahasa Inggeris kita kata "God" dan orang-orang perancis pula memanggilnya sebagai "Deus".

Pokoknya adalah: hanya ada satu Tuhan, Tuhan yang Maha Esa. Bahasa hanya sekadar ruang untuk kita terjemahkan kedalam dunia untuk disebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah ulama dari golongan literalis seperti Salafiya-al Harfiyat mengatakan bahawa Allah adalah sebuah nama yang khusus.

Kebanyakan umat islam menggunakan 'God' dalam bahasa inggeris dan perkataan lain yang membawa erti yang sama dari bahasa lain untuk ditujukan kepada 'Tuhan'. Allah bukanlah tuhan orang-orang arab sahaja - Allah tuhan bagi sekalian makhluk dan setiap insan berhak untuk merujuk namanya. Itulah apa yang kami cuba sampaikan.

Oleh itu tiada masalah sekiranya kita mengguna-pakai "God" atau "Deus", atau apa-apa nama dari bahasa lain. Tuhan bukanlah sesuatu yang terikat dengan satu-satu bahasa.

Apabila orang kristian arab menggunakan bahasa arab dalam injil mereka, mereka menulis "Allah" untuk berbicara tentang tuhan. Jadi anda tidak boleh menyekat hak mereka untuk menggunakan kalimah ini kerana hal ini sendiri sudah menjadi amalan sejak berkurun-kurun lamanya. Bagi mereka, tuhan itu Allah dan Allah itu tuhan.

Dalam Kristian Roman Katolik pun, mereka tidak memakai nama "Allah" untuk merujuk kepada Nabi Isa. Tiada masalah disitu. Dan walaupun mereka menganuti fahaman Trinity, tuhan wujud dalam bentuk tiga-dalam-satu, tetapi tidaklah pula mereka keliru antara satu tuhan dengan tuhan yang lain. Jika itu tidak menimbulkan masalah kepada mereka, maka ia juga sepatutnya tidak menimbulkan masalah kepada kita.

Walau bagaimanapun, kita juga harus ingat bahawa Kristian, tanpa mengira tradisi keilmuan mana yang mereka ikuti, mempercayai konsep Trinity. Setiap daripada mereka punyai pandangan dan pemahaman yang berbeza-beza tentangnya.

Adakah saudara akan menggelar diri sebagai muslim yang bersederhana?

Saya kurang gemar dengan istilah ini. Ia terbit dari penjajah-penjajah (dari zaman penjajahan) yang sentiasa mempunyai sudut pandang binari terhadap masyarakat yang dijajahnya - samada yang baik atau jahat, sederhana mahupun pelampau.

Sesiapa yang menentang penjajahan akan ditohmah sebagai 'jahat' atau 'pelampau', manakala siapa yang menuruti setiap arahan mereka akan direstui gelaran 'baik' dan 'sederhana'. Saya rasa itu tidak masuk akal.

Sudah tentu anda sedar terdapat terlalu banyak literalis dan formalis di kalangan umat Islam di Malaysia dan dilain-lain bahagian didunia. Adakah anda mengatakan bahawa ia adalah salah bagi umat Islam untuk menjadi seperti itu dan bahawa terdapat keperluan bagi mereka untuk menjadi lebih dari sekadar literalis?

Golongan literalis melihat al-Quran dan hadith dalam cara yang amat mudah. Saya tidak mengatakan bahawa itu menjadikan mereka 'kurang' Islam. Mereka masih muslim. Tetapi mungkin, dalam kesetiaan literal mereka itu, mereka terlepas pandang matlamat-matlamat asal islam itu sendiri.

Saya mahu terus setia kepada maksud teks agama tetapi pada waktu yang sama,  saya juga mahu penyelesaian untuk tuntutan zaman saya. Jadi, aliran pembaharuan di sini tidak jauh lari daripada amalan zaman para sahabat - mereka lebih menumpukan perlaksanaan matlamat berbanding membaca sumber-sumber islam secara harfiah. Itulah apa yang kami sedang cuba ikuti.

Dalam teks tradisi keislaman sendiri terkandung matlamat-matlamat islam dan makna-makna yang perlu kami cakna. Antara dua itu, pemikiran kritikal berdiri dicelahnya - sebuah proses dialektik - dan disinilah tersandarnya tunjang utama aliran pembaharuan.

Kita perlu kembali ke masa silam untuk mencungkil daya pemikiran dan keyakinan para sahabat yang terawal. Hari ini umat islam kurang yakin untuk mendalami teks islam dan menyediakan penyelesaian kepada cabaran-cabaran moden. Adakah teks-teks islam hanya dipersempitkan untuk bacaan semata dan bukan untuk membawa perubahan kepada dunia? Kita membacanya sepanjang malam namun kita lansung tidak mengubah apa-apa sepanjang hari.

Untuk mengubah dunia, kita membutuhkan pemikiran yang kritikal - kewajaran serta kefahaman yang jitu. Kita perlu memastikan jiwa dan raga tidak terus terlena sepanjang waktu. Inilah apa yang kita perlukan, sebuah kesedaran. Itulah asasnya.

Anda cucu kepada Hasan al Banna dan kerana itu banyak orang di Barat mempunyai tanggapan yang berbeza daripada apa yang anda cuba perjuangkan. Bagi mereka, beliau (Hassan) seorang fundamentalis, pelampau, dan anda cuma menyambung apa yang dibawakan datuk anda dalam cara yang lebih halus. Bagaimanakah saudara menangani tanggapan tersebut? 

Saya kira kebanyakan orang yang bercakap tentang datuk saya lansung tidak pernah membaca dan memahami peribadinya. Saya tidak akan membiarkan orang mengadili datuk saya hanya dengan tanggapan yang cetek. Perlu diingat bahawa hanya 5% daripada apa yang dia tuliskan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Cuba selami apa yang beliau kata dan lakukan. Untuk seseorang yang menentang penjajahan dan membina lebih 2000 sekolah, separuh darinya untuk pelajar perempuan pada waktu yang dimana ini bukan satu kebiasaan adalah menakjubkan.

Pernah ada orang menanyakan datuk dan nenek saya bagaimana untuk mereka bisa menghantar anak perempuan mereka ke sekolah dan anak perempuan berkenaan ialah ibu saya. Inilah cara datuk saya. Apabila dia, sebagai contoh, menggalakkan amalan sufi yang bersifat kerohaniah - yang dimana terus membuahkan lebih 1500 pertubuhan diserata negara, bukankah itu sesuatu yang perlu kita beri penghormatan?

Jadi, kepada semua yang menghakimi beliau ketika beliau sedang menangani masalah-masalah zaman 1930-an dan 1940-an, saya akan mengatakan ini sesuatu yang tidak adil. Dan lebih mustahak, janganlah anda menghukum seseorang jika anda lansung tidak pernah membaca karya-karyanya dan hanya bergantung kepada apa yang musuhnya (penjajah inggeris) lemparkan terhadap beliau.

Saya tidak mempunyai masalah apabila orang mengaitkan saya dengan datuk saya kerana itu adalah fakta. Tetapi saya sedang cuba untuk mengusulkan pemikiran saya sendiri dan saya meminta supaya masyarakat umum menilai pandangan saya dan membaca apa yang saya cuba sampaikan.

Comments

Popular Posts