Nokturnal di Pantai Acheh.

.


Kereta kami meredahi malam Klang. KB memasang api pada rokoknya dan aku menurunkan tingkap.  Radio sedang memasang lagu entah apa. Kereta kami melalui jalan yang berlubang sana-sini, dengan lori-lori besar memecut-saing kami di sebelah kanan. Sesekali angin pecutan mereka menyusup masuk ke dalam kereta kancil kami. Bergoyangan. Disertakan sekali dengan bau asap enjin dan aspal jalan yang hangus.

Tanda terpampang di depan: Pelabuhan Selatan.

"Jalan di sini memang kasar, sekasar orangnya." Kata KB di antara hembusan rokok.

Aku angguk. Di kananku, beberapa corong asap tegak berdiri dengan lampu lip-lap merah di hujung mulut. Sejenis bau aneh merasuki sekali udara malam - apakah ia bahan kimia? Besi yang lebur? Atau plastik-plastik yang dibentuk untuk menjadi cawan sarapan kami esok di McDonalds?

"Lagi dua puluh minit, kita akan sampai. Kau pasti nak pergi?" Soal KB.

"Ya," kataku. "Jom buat kerja gila. Kita cari pantai rahsia yang kau ceritakan awal petang tadi. Hujung pulau pun tak apa."

Senyuman KB menjadi bayang di bawah lintasan lampu jalan. Aku memandang terus ke depan. Kemudian ke jam yang diprogramkan di dalam telefon: 11.45 malam.

Malam masih muda, fikirku. Pulau Indah menanti kita.


*********


Hujung Pulau Indah benar-benar kelihatan seperti di hujung dunia. Kereta kami terpaksa meredahi jalan-jalan tak berlampu sepanjang beberapa kilometer sebelum kami tiba di persinggahan. Bau asin laut mati menerpa-nerpa. Angin memukul-mukul. Tiada bunyi ombak. Aku melihat ke luar. Gelap. Hanya cabang-cabang halus dahan saja yang terbentuk - seperti kuku syaitan yang sedang ingin mengoyak pantai dari perut lautan. Kami jalan ke depan lagi. Seekor anjing hitam muncul. Matanya merah. Ia menatap kami. Langsung tak mengelak. KB memusingkan stereng. Selepas ditinggalkan beberapa jauh, KB memandangku.

"Itu bukan anjing."

Aku faham itu dan aku tidak mahu mengulas lanjut. Kereta bergerak terus.

"Kenapa nama tempat ini Pulau Acheh?" Tanyaku.

"Kerana tempat ini berhadapan dengan Acheh, Champ. Sini, orang selalu datang untuk memancing. Selalunya sekitar 4 pagi gitu."

Ranting-ranting berdiri di tepi pantai seperti hantu-hantu dari masa silam yang dilupakan. Aku cuba bayangkan tempat ini waktu siang. Apakah matahari akan menumpahkan warnanya kepada pinggir pulau ini - biru kepada laut, putih kepada pasir, dan hijau kepada dahan-dahan yang masih bersisa daunnya? Aku tidak pasti. Gelap tumpat tempat ini seperti menafikan keindahan semacam itu. Seolah-olah pantai ini sudah terhukum dengan monokrom yang tak berbagi. Yang menyusupkan bisik-bisik sunyi kepada orang yang ingin mengunjungi pesisirnya - pulanglah ke tempat asalmu. Atau, kau takkan temui apa-apa di sini melainkan tulang-tulang yang bertaburan. Seperti mimpi.

Kami mematikan enjin dan bersandar pada pintu. KB sekali lagi menyalakan rokok. Kami memandang dua kapal nelayan yang bersiram di bawah lampu rembulan. Diam. Kemudian angin bertiup lagi, menyilir rumput-rumput di lereng perbukitan tidak jauh daripada tempat kami berehat. Aku sendiri tidak pasti apa sebabnya kami ingin ke sini. Tapi kami sudah sampai dan Pantai Acheh menyambut kami seperti kawan dengan dakapan yang paling sunyi.


**********


Kami di jeti sekarang. Kapal-kapal nelayan bertenggek di muara. Dua cawan teh susu. Sekotak rokok murah. Sebuah televisyen yang membincangkan perihal isu-isu nasional. Tiga ekor kucing berkeliaran di meja kami (salah seekornya buta sebelah mata). Dan sekumpulan nelayan pelbagai bangsa yang bermain kad di meja sebelah. Ada melayu, jawa, dan barangkali juga india. Mereka bercakap kuat. KB kata, orang-orang tempatan sini memang berfiil sebegitu. Kadang-kadang, mata curiga mereka terjatuh pada tubuh kami. Kami menyedari itu. Meneguk lagi teh dalam diam dan penuh waspada. Salah seorang daripada mereka menyebut mengenai seorang pelacur tua yang ditemui mati di flat usangnya. Mati dengan pil overdose, katanya. Kemudian suaranya tenggelam dalam propaganda-propaganda kerajaan daripada kotak televisyen yang kabur-kabur siarannya.

Cawan dikosongkan lalu kami membayar dan berangkat pulang. Apabila kereta mulai berundur, mereka memandang lagi, sebelum kami hilang dalam persimpangan dan menghala semula ke kota besar.


**********


Di sebuah stesen minyak di Bandar Klang, kami mengisi minyak dan mendapatkan dua botol air mineral. Jam sudah bertanda: 4 pagi. Jalan di sebelah kami sunyi. Hanya dua tiga lori yang melintasi membawa muatan-muatan pelabuhan. Aku memandang KB, "sini memang mati waktu malam?"

"Sini Klang, kawan." Jawab KB. "Semua orang sudah tidur. Hanya si nokturnal, patah jiwa, dan samseng jalanan saja yang masih berjaga."

Kereta kami membelah pagi dingin, menghala Shah Alam dengan kelajuan yang paling minimal. Entah kenapa, tiba-tiba dalam perjalanan pulang, aku sangat pasti bahawa aku tidak boleh tidur lagi untuk malam ini. Dan malam esok, dan malam-malam yang bakal mendatang.

Comments

Dewi Aja said…
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Popular Posts