Kebebasan Kuala Lumpur.
(Rencana ini adalah hasil terjemahan haram daripada KL For Free(dom), oleh Chandrahas Choudry, seperti yang tersiar di Esquire, Ogos 2015)
Kuala Lumpur. |
Aku telah
melawati KL buat kali pertamanya pada Jun lepas. Masuk dua hari, pelbagai
pengalaman seronok telah kulalui – secara ilmiah, moral, berahi, pemakanan –
sampaikan hanya dengan membayangkan diri aku meninggalkan kota ini sekalipun
mejadikan aku sedikit melankolik. Akhirnya aku memutuskan untuk tinggal sepuluh
hari lagi. Setiap hari, aku dapati hubunganku dengan kota ini semakin terjalin
erat.
Apabila
akhirnya aku menjejak kaki pulang ke Delhi, aku melabuhkan punggungku di anjung
di bawah redup sebatang pokok peepal – yang seringkali dikaitkan di India
sebagai tanda pencerahan – untukku mengimbau semula perjalanan-perjalanan yang
telah kulalui. Aku bertanya kepada diriku: apa yang membuatkan diriku berasa
begitu bebas semasa di ibukota Malaysia itu, yang mana kedemokrasiannya dan kemadanian
masyarakatnya lebih gampang daripada masyarakatku sendiri, di ibukotaku di
India? Jawapannya terlalu banyak. Ini sebahagian daripadanya.
Aku tidak dapat
membezakan Kuala Lumpur dengan Cooler Lumpur. Di KL, aku terus menerjuni ke kancah
sasterawan, penerjemah, wartawan, dan penyanyi di acara Cooler Lumpur. Hal-hal
yang kami bualkan banyak berlingkaran isu kebebasan, yang difahami lebih sebagai
sesuatu yang relatif, perbanding-bandingan, serta lebih teliti (sepertimana
kebebasan harus jadi) dan bukannya sebagai sesuatu yang mutlak. Maksud di
sini, relatif untuk satu sama lain. Lalu kami bertanya kepada diri sendiri:
siapa yang benar-benar menikmati kebebasan sebagai warganegara, untuk menjadi ahli minoriti, untuk mengkritik pemerintah tanpa rasa gerun dan takut, untuk
jatuh cinta terhadap seseorang yang anutan agamanya (atau jantinanya) berlainan
dengan kita, untuk menjalani hidup sebagai masyarakat yang moden, memilih dan
menolak apa-apa yang kita tidak mahukan atau turuti? Jawapan-jawapan kepada
persoalan ini terus membuka mindaku terhadap hukum kehidupan awam – peribadi
merentasi Selatan dan Asia Tenggara. Soal-soal ini sentiasa kedengaran segar
dan baharu buatku di KL, membuatku teringat kepada New Delhi, lantas mendorongku melihat KL sebagai pusat liberalisasi Malaysia, sepertimana Delhi untuk India.
Pengembara sentiasa
lebih merasa bebas apabila di jalanan. Hanya dengan menukarkan rutin jadualku dan mengalami pengalaman-pengalaman
yang disertakan sekali bersamanya, aku telah memperolehi banyak manfaat dalam
kesedaran, tumpuan, dan identitiku sebagai orang luar – hubungan langsung di
antara diri dengan dunia akhirnya menghasilkan satu nikmat yang hebat, serta
penglibatan yang lebih hidup dengan realiti. KL memang hebat, tapi mungkin juga
mana-mana metropolis lain boleh melahirkan rasa yang sedemikian rupa.
KL bukanlah sesuatu
yang baru kepadaku. Ia lebih kepada gabungan suatu dunia yang lama dengan suatu
dunia yang baru. Dengan menjalani malam-malamku di sana, aku telah menukarkan
yang baru kepada yang lama. Untuk sepuluh hari, aku telah melilau di jalan-jalan
sekitar Bukit Bintang, Brickfields, dan Bangsar. Aku telah melawati Masjid
Jamek pada hari pertama Ramadan dan juga ke tokong-tokong Cina dan kuil-kuil Hindu
– dan aku merasai dedenyut hati yang sama dalam keasyikan agama dan self
erasure di persembahan-persembahan Evie Fernandez dan Juny di No Black Tie. Aku
telah memerhati (dan terserempak) dengan pelbagai ragam manusia di monorel,
LRT, serta kafe-kafenya. Aku minum di bar-bar di Changkat dan Bangsar Village.
Aku menjamu seleraku dengan buffet masakan Cina, berbual bersama
pelayan-pelayan mereka, bersarapan di
Kampung Baru, berhedonis di pesta-pesta malam Jalan Alor. Kebanyakan
perkara-perkara ini tidak asing bagiku, kerana sebahagian daripada KL juga bersumberkan budaya India. Tambahan lagi, kebiasaanku sendiri berjalan di Asia Tenggara. Tetapi
segala adunan ini datang dengan semangat yang baru dan menakjubkan, menimbulkan
rasa hubungkait tentang apa yang aku lihat dengan apa yang aku tahu – perbezaan
makanan-makanan Ramadan di KL dan Delhi, sebagai contohnya – membangkitkan rasa keterujaan terhadap ibukota ini.
KL sebenarnya lebih
maju berbanding mana-mana bandar di India. Adakah ini mengejutkan? Tidak. Mungkin warga-warga di
Malaysia tidak menikmati kebebasan politik seperti yang dirasai oleh
warga-warga di India, dan sejujurnya aku rindukan kritikan-kritikan radikal
terhadap kuasawan yang mana sudah pun sebati dalam budaya kewartawanan di
India.
Tapi untuk
bersikap adil, banyak kebebasan di India pun hanya lebih kepada formal,
daripada benar-benar dialami. Kebebasan hanya wujud tertulis di buku, ia tidak
tercapai di jalanan. Jalan-jalan di India terkenal yang terkenal dengan
hiruk-pikuk dan kerancakan warganya, juga adalah ruang yang berat sebelah
kepada penguasaan kaum lelaki, lalu membenarkan pelanggaran-pelanggaran akhlak
di kalangan mereka – gejala melepak di persimpangan, berkencing di tepi
dinding, tatapan-tatapan mereka yang tidak menyenangkan yang tertumpu kepada
pasangan yang berpegangan tangan – seringkali menyulitkan kaum wanita. Mereka
terpaksa melalui jalan-jalan ini dengan penuh waspada untuk melindungi diri
mereka daripada segala macam cabul.
Barangkali
KL juga mempunyai simetri jantinya yang tersendiri. Tetapi hak untuk berjalan
di kaki lima tanpa dicabul di bandar negara sendiri – itulah hak sarwajagat
yang sukar ditegakkan di mana-mana bandar di India berbanding KL. Ini lantas
mengakibatkan suasana yang herot, di mana situasi aku menang- kau kalah wujud
dalam segala macam hal, pada setiap masa.
KL membantuku memahami
bahawa kebebasan lebih bererti jika dikongsi. Meskipun sebagai lelaki, aku lebih
suka melihat wanita-wanita yang berjalan senang, lebih bebas berkehendak di
ruang awam, berbanding di tanahairku sendiri. Kita sentiasa memikirkan
kebebasan sebagai sesuatu yang bersifat individual. Namun kebebasan boleh jadi
lebih besar ertinya sekiranya ia dinikmati oleh semua. Kebebasan wujud dalam
bentuk jaringan yang menghubungkan diri kita dengan orang-orang lain.
Bukan aku saja yang
merasa lebih bebas di KL. KL juga merasa bebas keranaku, dan orang-orang
sepertiku. Aku tidak
dapat berhenti daripada menilai bahawa betapa ramainya pengembara di KL, dan
betapa bandar ini mengizinkan ruangnya kepada mereka dengan sederhana; tidak
melebih-lebih dan tidak juga yang kurang. Sumbangan-sumbangan kerdil mereka
terhadap bandar ini menjadikan ia lebih kosmopolitan daripada sebelumnya.
Apabila aku meninggalkan bandar ini, diri Indiaku juga, telah jadi sebahagian
daripada sejarah kota ini. Apa yang kubelajar daripada KL, akan kukutip dan
kurenung untuk bulan-bulan yang mendatang; jejak-jejak diriku akan terus kekal
untuk mereka perkatakan selepas aku pergi. Dan aku akan kembali lagi untuk
lebih banyak mengambil dan memberi.
Comments