Sepetang di kafe Jibril, Subang Jaya.

Awas: Ini adalah ulasan tentang persahabatan dan santapan. Jika kalian mencari hal-hal mengenai susastera dan segala jazz itu kalian sudah boleh mengetik punat 'sebelumnya'.

Jibril menyambut.

Tempoh hari aku ke Jibril lagi bersama Nasrudy Arief dan Khairul Naim. Hari sabtu itu memang berbahang. Kami baru sahaja menghadiri majlis pernikahan teman sefakulti di IPK Shah Alam dan sekarang kami ingin menghabiskan sisa hari seperti mana-mana warga Malaysia baik dan beradat yang lain - mengopi dan merokok di tempat yang dingin dan nyaman. Setelah kami berbalah tempat-tempat yang ingin kami tujui, akhirnya salah seorang daripada kami memaculkan 'Jibril' ke tengah gelanggang perdebatan dan masing-masing bersetuju sebulat suara tanpa sebarang bantahan. Kereta kami akhirnya dihidupkan menghala ke SS15, kayangan hipster kota di Subang Jaya.

Saya pernah ke Jibril beberapa kali sebelum ini. Cuma semenjak beberapa detik ini saya tidak sempat untuk mampir ke sana kerana beberapa hal: kekangan waktu, ketiadaan teman sembang, serta peluang yang tidak kunjung-kunjung. Nasi Salted Egg Butter Chicken mengapung-apung di dalam kepala sepanjang perjalanan dan saya cuba membayangkan pembaharuan ruang yang dilakukan Akmyr Azwan ketika kali terakhir saya melawatinya. Sudah berapa bulan agaknya? Tauke muda itu memaklumkan kepadaku bahawa mereka sedang mengubahsuai aras dua sebagai port menghisap rokok kerana beberapa tamu tidak selesa dengan asap-asap yang bergentayangan di segenap ruang makan.

Jika engkau tidak tahu Jibril terletak di mana pada tahun 2015, barangkali itu boleh diampunkan. Tetapi jika sekarang barangkali sedikit sulit. Dengan sheikh sufi mana kau bertapa, kawan? Adakah kamu layak menggelarkan diri sebagai  foodie tempatan jika port lepak seperti Jibril pun belum mendaftarkan diri ke dalam laman instagrammu? Tepuk dada tanya selera. Apa-apa pun, kau boleh waze Sangkaya SS15 dan Jibril terletak betul-betul di balik dindingnya. Ya, kau boleh menolak dinding batanya. Ya, itu bukan pintu staf jurumasak. Ya, terlalu poyo, bukan?

Jibril masih lagi kafe speakeasy yang pernah saya kenal. Penataan cahaya yang kelam, muzik tempo perlahan dan funk, serta tayangan Charlie Chaplin bisu di skrin-skrin televisyen. Selain itu, agak sulit bagi kau terlepas potret-potret tokoh di dinding-dindingnya: Machiavelli, Nikola Tesla, Leonardo Da Vinci, serta watak-watak Eropah yang aku memang tak kenal siapa. Nama Jibril ini bersempena pementasan olok bicara (mocktrial) fakulti kami pada 2014 - disutradarai Imran Sheik, dilakonkan Akmyr Azwan dan barisan pelakon, serta ditulis oleh aku bersama beberapa teman lain. Aku bertanyakan kepada pelayan "di mana Akmyr" dan dia menuding jari ke atas. Lantas kami memanjati sebatang tangga sempit yang melingkar ke aras dua di sisi pintu utama tadi. Beberapa pelanggan yang sedang menikmati Potter dan Lisa menjeling ke arah kami.

Akmyr Azwan sedang bermesyuarat bersama jurukira ketika kami menyapa dengannya di balik langsir. Dia sedang sibuk dan kami kata okey dan duduk di meja tengah. Sekarang mari bercakap tentang gastronomi: di Jibril sudah menjadi syarat utama bagi tetamu memesan Nasi Salted Egg Butter Chicken mereka yang menjadi cop mohor kafe sederhana ini. Dalam kamus sajian peribadi, hanya dua butter chicken yang berbaloi untuk dinikmati di Lembah Klang dan kedua-duanya terletak di SS15. Satu di Gold Chilis dan satu lagi di sini. Isi ayam digoreng rangup, dilimpahi susu mentega yang diadun asin telur itik. Kuahnya itu enak dimakan berkandar di atas nasi - sekaligus menghasilkan rasa manis berlemak, masin telur, rangup isi, dan tawar-tawar butir nasi di hujung lidah.

Selain kopi khusus, Jibril juga menyajikan minuman-minuman mocktail hasil mixologis di anjung dapurnya. Kami masing-masing memesan mocktail yang berbeza: aku memilih Potter, Nasrudy meminta Lisa, dan Khairul mahu mencuba Saloma. Potter ialah bir mentega yang dihidang tak beralkohol - layaknya seperti setiap gelas di kafe ini. Sementara, Lisa pula mengadunkan strawberi, koko, serta vanilla. Seterusnya, gelas yang mengabadikan nama suri hati lagenda P Ramlee itu mengandungi jus pisang, susu mentega, malah direnjis sedikit dengan grenadine. Gelas-gelas mocktail kami ternyata terasa berbeza-beza. Ini keajaiban air tangan kimia yang jarang-jarang wujud di kafe hipster lain.

Sebagai upacara penghabisan, kami akan membilas segala rasa yang terkumpul di lidah kami dengan sebatang dua curut mini. Ini juga disediakan pelayan-pelayan mereka. Di atas meja kami terhampar beberapa batang Cohiba Cub yang dikirim khas dari Havana, Cuba. Kami membakar hujung curut dan nikmati asap-asap tembakau kepulauan Karibia dalam asap dan sunyi. Aku sedang membayangkan Guevara tersandar di sebelahku dan Khairul Naim tersengih-sengih entah mengapa. Akmyr menyertai kami kemudian dan dia - seperti biasa - berterima kasih atas kehadiran kami dan meminta maaf kerana tiada banyak masa melayani kami. Sentiasa merendah diri. Wajahnya tampak lelah namun sudut sanubarinya lega. Beberapa ubahsuai selesai. Wartawan yang bertamu. Kafe ini sudah menjejak umur ketiganya pada tahun ini - dengan majlis ulangtahun yang tak pantas dihadiriku bulan lalu. Kami berngobrol mengenai beberapa hal tentang soal cinta, sejarah, dan revolusi sebelum kami meminta diri. Kataku, aku harus ke KL untuk urusan penting sebelum jam lima.

Saya jarang-jarang menulis tentang kafe. Tetapi Jibril layak untuk bersemayam di siaran blog ini. Tentang sajian serta persekitaran yang menimbulkan mood retro. Dalam era sajian yang dimasak semata-mata atas nama estetika untuk memenuhi ruang suapan instagram ini, hidangan yang enak banget memang layak diketengahkan. Lagipula, siapa kata kafe sekarang hanya untuk menjamu makanan? Pengalaman bersantap dalam abad ini sedang beralih dan jika bukan tambahan nuansa, apa lagi yang menyedapkan seleramu?


p/s: Akmyr, kau sudah boleh kirimkan sesampul curut Havana ke alamat aku sekarang.

Comments

Popular Posts