Bahasa Mix? Jiwa urban atau teh tarik tiga lapis?

Lukisan Hoessein Enas.


Tentang soal bahasa, saya mempunyai pendapat yang barangkali agak berbeza berbanding teman-teman pengarang kontemporari yang lain. Barangkali ini juga tersandar pada sikap saya sendiri terhadap bahasa yang menjadi bahasa ibunda saya di tanahair ini. Dalam penulisan, saya sering mengelak untuk merojakkan karya-karya saya dengan istilah-istilah luar dengan jumlah yang keterlaluan. Saya katakan begini kerana saya - secara peribadi - agak kurang senang untuk mengarang dengan meminjam terlalu banyak frasa yang terkandung dari bahasa luar. Trend ini saya lihat merebak pantas di kalangan pengarang kontemporari, lebih-lebih lagi akhir-akhir dekad ini yang menampilkan perlawanan ke atas struktur bahasa yang sering banyak orang romantiskan sebagai semangat zaman atau bla bla bla. Hal ini boleh difahami kerana banyak sebab: pendedahan terhadap karya dalam bahasa asing, citarasa urban jamak linguis, dan juga fikiran seseorang pengarang itu sendiri yang berfikir bukan berlandaskan satu bahasa yang tunggal. 

Saya membaca buku-buku bahasa melayu, bahasa indonesia, dan juga bahasa inggeris. Ketiga-tiga wahana ini saya fahami dan boleh juga saya gunakan; meskipun penguasaan saya terhadap bahasa seberang masih di tahap janggal dan karangan-karangan inggeris hanyalah saya tulis untuk tugasan-tugasan akademik di kuliah. Selain itu, karya saya sepenuhnya digarap dalam bahasa ibunda. Dengan penelaahan melalui berbagai bahasa ini juga minda kekadang bergerak dalam jalur-jalur yang berlainan, seringkali bergantung kepada situasi dan keadaan. Secara tidak langsung minda kita terbuka semakin luas untuk menerima gagasan dan idea daripada wahana-wahana yang saya sebutkan ini. Manfaatnya banyak, beberapa daripadanya saya curahkan ke dalam bentuk cerpen dan esei. Sebahagiannya pula saya amalkan dalam pertuturan seharian.

Dalam pengarangan secara khusus, saya tidak dapat tidak untuk tertimbul satu prasangka terhadap mana-mana penulisan yang mempercampur-adukkan bahasa serojak-rojak mangkuk yang dihidangkan mamak di tepi tasik. Saya beranggapan bahawa penggunaan melulu ini biasanya kerja yang malas; ketidakupayaan untuk menerjemah ke konteks tempatan, rasa rendah diri kepada bahasa ibunda, atau lain-lain alasan yang saya tak dapat fikirkan sekarang. Sesetengah orang mungkin akan membela gaya ini dengan berhujah, bahasa melayu tidak ada pengertian ini secara khusus sepertimana yang diungkapkan bahasa-bahasa luar ini. Saya faham. Tetapi bukankah ini juga satu tugas sasterawan - iaitu untuk menguji batas bahasa dan makna yang tersedia pada masyarakat yang dikongsinya? Malahan jika tiada frasa tersebut pun dalam bahasa melayu, saya percaya kita akan sentiasa ada cara untuk mengubah atau menciptanya dengan adunan kata yang tersedia ada. Hal ini dimungkinkan apabila pengarang tersebut benar-benar memahami bahasanya sehingga ke akar umbi, arif selok-belok linguis, serta cuba sedaya upaya memperluaskan lagi wilayah bahasa dalam kaedah-kaedah tak konvensional. Saya mengimani bahawa setiap bahasa itu unik dan kerana pegangan ini saya sentiasa cuba mencari cara-cara untuk mengelak karangan bahasa melayu saya ditampal-tampal dengan frasa bahasa lain. Saya kira jiwa saya lebih tenteram sekiranya saya menaburkan kata dalam lingkungan bahasa sendiri, sudah tentu disadurkan dengan sedikit kreativiti atau humor dan sebagainya. Beberapa orang barangkali memanggil ini sebagai proses pribumisasi. Ikut suka kamulah bagaimana kamu mahu memanggilnya.

Barangkali di sini saya kedengaran seperti seorang pakcik puritan bahasa. Lagipun, bukankah bahasa inggeris difahami oleh banyak lapis masyarakat -lagi-lagi Malaysia yang majmuk pelbagai bahasa dan budaya? Apa salahnya jika bahasa bercampur aduk jika makna tetap boleh disampaikan? Ya, boleh jadi. Namun pegangan saya ini saya sandarkan kepada estetika bahasa itu sendiri. Bahawa bahasa boleh dikembangkan dengan nahunya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana frasa asing dengan kerja-kerja malas menampal di sana sini. Olahlah ia, lenturkan makna itu menjadi satu ayat baru dalam kerangka tersedia ada. Begitulah bahasa-bahasa di dunia ini berkembang dan begitu jugalah pemikiran penutur bahasa tersebut bisa mencapah ke mencapah ke segenap sudut. Jadi, meskipun petanda (sign) dan pertandaan (signified) sesuatu istilah itu berkesan, ia masih tempang pada satu sudut iaitu kehalusan estetika bahasa itu sendiri.

Entahlah, sekurang-kurangnya inilah pendapat saya mengenai bahasa. Jiwa romantisme saya terhadap bahasa ibunda memang menebal. Saya okey dengan beberapa peminjaman bahasa indonesia kerana ia masih bahasa serumpun. Bahasa Nusantara. Barangkali banyak yang tak bersetuju, tetapi tiada masalah dengan itu kerana karya adalah kebebasan pengarang. Seseorang pengarang layak untuk menulis apa-apa kata yang disukainya, sepertimana seorang pelukis berhak untuk menconteng kanvasnya dengan apa-apa warna pilihan peribadinya.Tiada siapa yang berhak mengatakan dia lebih benar dalam hal-hal subjektif seperti ini. Cuma bagi saya sebagai seorang pengarang sederhana, memadai sajalah saya menulis dalam bahasa tunggal dan mengembangkan gagasan dalam bahasa tunggal. Malahan, bukankah lagi seronok apabila kita menemukan frasa-frasa baru untuk kita muatkan ke dalam penulisan kita sendiri?


Comments

Hackeleh ⁢ said…
Mengingatkan aku kepada pernyataan Sufian Abas dalam satu temuramah: So much good English fiction already exists, I don’t see why I should write in that language. I have nothing to add to it. I don’t think I have anything new or special to say in English. But in Malay, the possibilities are endless.
jhnrdzi said…
Ya aku setuju dengan PA tentang itu. Khazanah inggeris dah menggunung, aku fikir lagi baik karya ditulis dalam bahasa melayu yang lagi dekat dengan budaya kita. Terlalu saturated, bhai.

Popular Posts