Bebelan tentang falsafah anda.

Adakah anda menyahut seruan Nietzche?


Semenjak kecil aku memang meminati falsafah namun aku tidak ada akses kepada sumber-sumbernya. Sudah tentu kau akan mengerutkan hati berdesis, "tapi kawan, apa guna internet?"

Ya, ya, kita sedang bercakap tentang maha-kaya-internet. Entiti yang paling berpengetahuan di alam semesta ini; ia tahu siapa ibubapamu apa ketakutan terdalammu dan aktviti-aktiviti sulit yang engkaudiperlakukan di depan laptop. Masalah yang datang bila kita cuba menggali filosof-filosof purba atau moden dari tapak internet adalah - haram jadah apa syaitan kau merepek ini? Kau takkan faham istilah-istilah rumit seperti 'dasein' atau 'ubermensch' atau 'dialektika' yang diutarakan mereka ini dengan hanya mengimbas skrin laptop. Atau dalam frasa yang lebih kekotaan: membaca sehelai wikipedia tak menjadikan kau intelektual, kawan.

Tempoh hari aku ke rumah Wan Nor Azriq di Setiawangsa dan meminjam beberapa buku berkaitan falsafah yang kuminati. Azrin ketawa dengan berkata, "sekarang kuliah baru." Aku tersenyum juga kerana mungkin ia separa benar. Separuh kebenaran lagi ialah ayam masak merah yang terhidang dalam mangkuk. Apa pun, aku meminjam empat buku dengan judul:


  1. A commentary on the Hujjat Al Siddiq (Prof Syed Naquib Al Attas)
  2. Prolegomena to the metaphysics of Islam (Prof Syed Naquib Al Attas)
  3. Teori-teori kritikan sastera (Mana Sikana)
  4. Introduction to Continental Philosophy (Simon Critchley)

Setakat ini aku sudah selesaikan buku keempat. Tetapi sudah tentu dengan sedikit kerunsingan. Aku masih gagal untuk memahami beberapa intipati penting yang diutarakan filosof-filosof kebenuaan ini kerana kerumitan bahasa dan makna dan hal-hal sebegini tak mudah untuk kaufahami dalam pembacaan-pembacaan yang menyentuh permukaan sebegitu. Video-video poyo Alain De Botton pun tak banyak membantu. Tapi kau boleh cuba rujuk Rick Riordan. Dia seorang pensyarah falsafah dari Texas dan kau akan merasai puas hati mendengar dia menyebut 'dasein' dalam loghat selatannya itu. Ibarat seorang koboi yang membaca kitab falsafah Jerman sambil menembak-nembak kaum Asli Amerika.

Barangkali yang lebih merunsingkan aku adalah hakikat ini: di Malaysia langsung tidak ada khusus Kefalsafahan yang diajarkan di universiti-universiti tempatan. Nihil. Kosong. Kita memandang enteng kepada pelajaran yang menjuruskan kita kepada pertanyaan dan adat resam ketimuran kita tidak mengizinkan kita bertanya macam-macam. Lagi-lagi yang menggugat kekuasaan atau staus quo. Mungkin juga aku pernah terbaca di Diskopi dahulu kerana projek seperti ini tidaklah menghairankan. Universiti di Malaysia adalah kilang pengeluaran. Dan ini sedikit sebanyak mengkagetkan. Sebab itu, kata Azriq, kritikan sastera tidak pernah betul-betul hidup di Malaysia. Kita tidak mempertanyakan intipati sebenar sastera dan hubungkait ia dengan pembaca. Kita tidak membedah sastera selumat-lumat kerana falsafah itu kebaratan dan tidak ada bangsa yang lebih sesat di dunia ini selain kaum barat. Akhirnya yang tersisa hanyalah sekumpulan cerpen retorik yang membosankan di dada akhbar dan majalah.

Apa pun, sebelum pulang aku ada bertanya kepada Azriq tentang 'falsafah Malaysia'. Sudah tentu ia tak sama dengan pasca-strukturalisme Perancis atau pragmatisme Amerika Syarikat; kerana Malaysia ialah sebuah negara majmuk budaya yang amat ketara. Kami berfikir dengan secawan kopi dan sepinggan takoyaki dan kami menemui kebuntuan. Terlalu sukar untuk mendefinisikan itu. Kita ada falsafah melayu, tetapi Malaysia? Apakah rupanya? Bagaimanakan bentuknya? Salah satu rintangan terbesar adalah kerana perbezaan bahasa dan agama penduduk pribumi dengan imigran. Itu satu. Yang lain bagaimana? Entah. Tetapi jika ia wujud, maka satu ciri-cirinya kami kenalpasti: satu sikap yang pesimis terhadap perubahan politik dan sosial.

Aku pernah terbaca entah di mana, tetapi berbunyi lebih kurang begini: falsafah dan sastera bergerak seiringan. Falsafah memperkenalkan kita kepada Alam, Sastera memperkenalkan kita kepada Kita. Barangkali tidak ada Kebenaran yang boleh menumbuk wajah cengeng kau dengan kepaduan yang sebegitu.

Apa pun, bagi aku baca dulu. Ciao Ciao, lancau.

Comments

Popular Posts