Via lensa.

Koleksi jurugambar Duan Michals; All things are queer.


Hujung kuliah sudah berada di ambang pintu. Saya sedang berdiri di tempat biasa kami menghisap rokok, bersama dua puluh dua rakan sekelas lain sambil memandang lensa kamera. Si jurugambar mengisyaratkan "satu... dua... tiga..." sebelum punat diketik mengizinkan waktu dan tempat itu dibekukan dalam bentuk digital. Beberapa ketikan lagi dan akhirnya kami mempunyai lebih lima puluh keping foto untuk diabadikan, ditularkan ke peti-peti whatsapp untuk disimpan sebagai memento hari-hari esok sesudah kami graduat dan lulus sebagai peguamcara atau majistret atau setiausaha syarikat atau pegawai polis atau pensyarah kuliah atau penjenayah professional yang menyelewengkan dua juta ringgit malaysia via bank-bank antarabangsa yang melindungi identiti penyimpan daripada tangkapan pihak berkuasa; atau mungkin hanya dipadamkan kerana memori telefon pintar sudah sarat.

Jangan salah faham. Saya tidak memandang fotografi dengan kecurigaan. Saya sendiri pernah meminati bidang ini. Malahan saya pernah memiliki DSLR dan pernah menghadiri kuliah-kuliah fotografi di serata Lembah Klang- meskipun minat tersebut tidak tahan lama setelah saya dihadapkan dengan minat-minat yang berbeza. Melihat kawan-kawan yang galak mengambil foto cuma mengingatkan saya akan satu hal: fungsi fotografi, serta bagaimana ia berubah dalam perkembangan teknologi.

Selama berdekad-dekad sebelum penjelmaan medsos ke alam maya, kita memakai fotografi sebagai alat perakam memori.  Kita menggambari sesuatu acara untuk kita simpankan ke dalam album. Misalnya, kita menangkap foto perayaan ulangtahun ibu, perpisahan sahabat-sahabat di universiti, majlis perkahwinan bersama kekasih, etc etc hanya kerana kita mahu menciptakan ia semula ke dalam bentuk foto. Dari sini, kita akan melihatnya kembali dan mengenang emosi-emosi yang terakam dalam format imej. Hampir setiap keluarga di dunia ini memiliki sekruang-kurangnya sebuah album foto. Apabila sampai pada sesuatu umur, mereka akan menyelak semula koleksi ini dan ketawa melihat perkembangan realiti dan waktu yang tercipta dalam foto. Dari sini kita memahami jarak. Malah, kewujudan foto dalam bentuk fizikal juga bermain dengan persepsi kita terhadap realiti. Ia nyata dan boleh disentuh. Boleh digantung di dinding kamar atau dimasukkan ke dalam kocek jaket. Ironi memandangkan sementara emosi tersebut boleh diimejkan, ia tak boleh disentuh atau dikutip semula. Ia dimiliki oleh masa silam.

Tetapi erti ini tenggelam dalam kebanjiran medsos. Saya katakan begini kerana medsos membawa perspektif segar ke dalam alam fotografi. Ini kerana fungsi foto - dalam zaman ini - bukanlah lagi sebagai satu dokumentasi memori, tetapi satu ruang narsisime baharu. Kepantasan teknologi dalam memuatnaikkan foto meraikan sisi individualisme kita. Ia mempamerkan ke-aku-an dalam dunia yang serba global dan pantas. Kita tidak lagi menggambari waktu untuk merakam emosi, tetapi untuk menunjukkan kepada umum bahawa ini hidup kita. Ini bersangkut paut dengan idea betapa keperibadian hidup seseorang individu moden sedang dikongsi dengan satu Dewata Mulia Raya yang kita boleh panggil sebagai Teknologi. Dan segala-gala butir tentang sosok tersebut ditangkap untuk digambarkan. Untuk dikagumi atau dicemburui oleh mata-mata yang kita kenal atau mungkin tidak dalam jutaan pengguna internet yang lain. Atau juga mungkin untuk dibuat koleksi penghendap-penghendap alam maya dengan tujuan-tujuan yang hanya tuhan dan iblis sahaja yang tahu.

Saya tertarik dengan satu syarahan Vilem Flusser di Budapest pada 90'an. Beliau menyebut bagaimana fotografi, yang awalnya dicipta untuk merakam sejarah, akhirnya bertindak sebagai penentu hala tuju sejarah. Jika dahulu seorang jurugambar merakam kejadian. Sekarang kejadian berlaku kerana fotografi. Untuk menjelaskan ini, Flusser mengambil contoh bagaimana majlis perkahwinan moden kini diadakan hanya kerana ia mahu diimejkan. Atau bagaimana Neil Armstrong terbang ke bulan hanya untuk ditelevisikan di depan mata Nixon. Progres manusia sekarang bergerak menuju ke satu hakikat abadi: imej. Tidak ada kebenaran yang lebih real daripada itu. Malahan ia lebih ketara kini, dalam zaman ke-aku-an fotografi yang begitu bermaharajalela di segenap pelusuk semesta. Tidak ada satu aktiviti harian yang dilakukan pada zaman ini yang tidak bertujuan untuk difotokan. Lihat saja instagram rakan-rakan anda dan buktikan saya salah.

Jadi adakah fotografi sekarang gagal? Tidak juga. Tapi estetika perakam waktu sudah tidak relevan pada zaman ini. Berapa pastikah kita akan melihat semula foto-foto lama, mengenangkan waktu-waktu yang pernah kita lalui? Jarang sekali. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah tidak wujud lagi dalam format fizikal. Pendigitalan foto menjadikan mereka rapuh dan senang dimamah butang delete atas kekunci telefon pintar. Foto dihasilkan setiap hari. Lantaran ini, hidup kita dilandaskan kekinian. Dalam hari ini. Dalam saat ini. Dalam segala-gala yang berlaku dalam dua puluh empat jam sebelum instastory memadamkan foto-foto lama, hanya untuk diganti oleh foto-foto yang baharu lagi.








Comments

Popular Posts