Cerpen: Lukisan Kota


Jalan Malioboro

   Tiara berlari menangis merentasi jalan kecil, sawah padi, dan bukit-bukau hijau yang berdiri sebagai latar permandangan. Tapak sepatu kecilnya menerbangkan debu-debu tanah yang tertebarkan oleh lori-lori perladangan yang melalui perkampungan ini. Hari sudah senja dan petani-petani desa sudah mulai berjalan berlenggang untuk berehat ke rumah.

   Tiara berlari, mendapatkan ibunya yang sedang menyiram bunga-bunga mawar dan melati di perkarangan. Ibunya memandangnya. “Ngopo, Nduk? Ngopo kok sedih?"

   Tiara mendakap ibunya, menangis lagi. Ibunya meletakkan penyiramnya ke tanah dan mengusap lembut rambut anak perempuannya yang kerinting itu. “Mreneo, tak pangku.” Pelawa ibunya. Mari sini. Duduk di pangkuanku.

   Tiara merehatkan kepalanya di atas peha ibunya yang bersalut kain sarung itu. Matanya masih berkaca lagi tetapi dia sudah berhenti menangis. Petang tadi dia telah disingkirkan daripada pertandingan koir sekolah dan itu telah melukakan hati kecilnya. Dia melihat ibunya. Tanda garis-garis pada dahi, keredut-keredut di pipi dan dagu. Ibunya melihat gunung-ganang dan bukit-bukau yang menyempadani desa ini dan matahari yang semakin tenggelam di celah antara dua bukit besar. Angin turun daripada bukit-bukau ini, melalui rimba-rimba hijau, merentasi sawah padi kekuningan, lalu sampai ke teratak kecil mereka.

   Tiara semakin merapatkan wajahnya pada kain ibu. Hingusnya dilapkan dan air matanya juga dilapkan. Ibunya tersenyum. Tangan kasar dan gelap ibunya mengusap lagi rambut kerinting Tiara. Dia sukakan apabila ibunya memanjakan dia begitu. Ibunya mengambil sekuntum mawar yang terdekat dan sisipkan ia ke telinga anak kecil itu.

   "Mengko, sedilit meneh Bapak kondur, Nok. Bapak mesti nggawa lukisan dinggo koe."

   Tiara mendengar kata-kata ibunya. Dia melihat matahari yang terbenam habis membawa senja dalam jingga dan ungu.

   Tiara tidak ingat bagaimana dia tertidur. Dia sudah berada di atas tilam jam tujuh pagi itu dan matahari sudah pun memanjat jendela. Pelita kamarnya pun sudah lama terpadam. Ibunya pasti sudah pindahkan dia ke kamar tidur sesudah dia tertidur semalam. Atau mungkin bapanya?

   Tiara tahu ibunya sudah turun ke sawah. Basikalnya tiada di perbaringan pokok. Bau kretek bergentayangan dari luar – barangkali ayahnya yang sedang minum kopi di ruang tamu. Dia menggosok matanya lagi. Menggeliat seperti anak kucing yang baru terjaga daripada lena. Di dinding kayu biliknya tergantung pelbagai lukisan. Ada pantai, gunung, kerbau-kerbau, petani-petani serta hasil tanaman mereka yang dipikul di dalam bakul rotan. Ada laut serta kapal-kapal kecil yang belayar membawa nelayan ke dada geloranya. Ikan-ikan terjerat di jala. Mata Tiara mengikuti satu-satu, sampailah pada sebuah lukisan baru yang tidak pernah dilihatnya tertampal di sudut kamar itu. Dia terhenti.

   Sebuah kota aneh tersergam di hadapannya. Deretan-deretan kedai berdinding kuno, jalan yang disesaki kuda dan beca, penjual-penjual bakso dan sate dan mee dan rokok dan pemuzik jalanan serta orang-orang yang berjual beli dengan ragam yang berbagai – semuanya dalam campuran warna-warni yang berkecamuk. Pasar itu terasa bernyala-nyala dalam lukisannya. Nafas Tiara kaku. Dia menyentuh kanvas nipis itu dan merasakan pastel-pastel itu menari melalui celah jari-jemarinya. Bapanya lukiskan kota ini dan dia tahu itu. Bapanya suka lukiskan langit ungu dan bulan merah. Bebayangan yang terpantul pada jendela kedai dan wajah manusia yang aneh-aneh. Di sudut kiri lukisan itu tertulis halus: Malioboro.





* mini cerpen ini terilham daripada lagu WSATCC berjudul Senja, serta perjalanan saya meredah Gunung Kidul bersama dua cewek Jogjakarta yang lucu; Mbak Merita dan Mbak Indah.

** terima kasih kepada Mbak Merita yang membantu saya memahami beberapa perkataan di dalam Bahasa Jawa.

Comments

Popular Posts