Ke Kedah, Ke Kembara.

Gunung Jerai menanti.



Aku sedang cas telefon di tepi tiang, di terminal bas Sungai Petani ketika dia baru sampai. Lee sedang duduk di kerusi ruang menunggu, DSLR Nikon di tangan. Shahrul (Sdar) datang dengan seluar lorengnya - dia tak ubah seperti askar pencen. Champ! Dia memanggilku.

Aku pun senyum dan dakapnya. Lama tak jumpa, sial. Dia masih tak ubah seperti dulu. Suka buat jenaka hambar - sejak zaman Maktab Tentera Diraja pun. Badannya makin kurus, makin gelap. Kali terakhir aku bersua dengan dia, di Shah Alam beberapa tahun lepas. Tapi kami tak melabun lama, masing-masing ada hal sendiri.

Lama kau tunggu?

Tak adalah, baru saja. Aku mengisyaratkan kepada Lee. Lee bangun dan bersalaman dengan Sdar.

Dia ini pun budak basketball juga. Berboraklah kau orang.

Aku budak Cobra, sengih Lee.



Tenang kan, tempat ini, katanya.

Aku mengangguk. Tingkap viva dibuka. Angin utara berpuput membelai rambut kering kami. Ada bau kehijauan, hangat-hangat petang sesudah jam lima. Aku mencampakkan pandangan ke ufuk sawah yang jauh. Di sini, langit begitu biru. Sawah padi dan pepohon dan pergunungan mesra mengakrabi alam. Kereta kami terus meluncur di atas jalan yang kecil dan lurus. Sesekali sebuah dua motor memotong kami. Kanak-kanak ketawa di perboncengan.

Aku rasa aku nak hidup sini selepas ijazah nanti. Pindah sini dan cari kerja. Aku dah jatuh cinta dengan tempat ini, Champ. Tak ada apa-apa yang serabut. Semuanya lancar, katanya lagi.

Kalau aku pun, akan cari tempat begini. KL dah terlalu sesak. Semua orang nak sumbat ke sana. Mainstream, bro.

Kami berdiam seketika. Lee sedang sibuk ambil gambar. Macam city boy. Cantik sial. Kalau sini buat photoshoot, mesti lawa.

Gunung Jerai yang menjadi latar kami hanya tersenyum. Di sini, Jerai kelihatan seperti dewa yang gergasi dan uzur. Ke mana-mana kau pergi, kau akan melihatnya.



Lee posing maut.

Aku ingat nak masuk tentera balik, Sdar. Macam, lepas ijazah, kataku mencicip teh wangi. Kami sekarang di sebuah gerai sederhana di sisi sawah. Seorang pakcik tua dengan surat khabar duduk di belakang kami. Dia kelihatan seperti baru balik daripada kerja yang meletihkan.

Kau pasti? Kau sanggup nak lalui segala drill dan parade lagi? Tanya Sdar, menuntut kepastian.

Ya, setakat ini begitulah rancangan aku. Mungkin aku harus fokus untuk Undang-Undang Antarabangsa, balasku.

Hmm, Sdar merenung. Roti canai di depannya hangat dan menggebu. Dia anak mat tiarap. Bapanya askar. Aku rasa itu juga faktor kenapa dia daftar diri untuk sekolah tentera dahulu. Perkara-perkara seperti itu memang mengalir di dalam darah dagingnya.

Kau fikir masak-masak dulu, Champ. Ini keputusan hidup kau.

Okey.

Okey.



Aku tak pernah rancang nak main basketball apabila aku menggalas beg dan membeli tiket secara rawak untuk ke utara, tapi begitulah jadinya bila kami bersua dengan Ikhwan , kapten Kraken malam tadi. Malahan, aku pula cuma membawa kasut mendaki. Tapi aku sarungkan saja dan main sekali. Rebound bola dan underbasket seperti lazim. Budak-budak Kraken pun semuanya mesra dan lucu.

Seperti biasa, Lee akan mencuri perhatian permainan. Dia bintang pasukan kami. Pemain lineup - dia jadi guard dan aku center. Dia boleh layup, maksud aku layup dengan baik sekali. Terkincit juga nak mengejarnya.

Sdar pun tidak ubah, shooter guard dengan kebarangkalian 2/3 shooting tiga mata. Kalau di zaman sekolah dulu, aku dan dia saja melayu yang main top five. Hwong, William, dan Goh memang di aras yang lain. Mereka hebat semacam.

Aku sendiri dah lama tak menyarung kasut basketball, lagi-lagi semenjak terlibat dengan tinju. Tapi hei, aku masih boleh bermain dengan baik. Walaupun tak segarang dululah.

Selepas puas berpeluh, kami pun berbincang tentang hal-hal seputar basketball. Kata Ikhwan, mereka akan adakan liga utara tahun depan. Kira-kira dalam Januari nanti. Bulan berikutnya, NCBL pula. Yang ini lebih rancak. Setiap pasukan di empat penjuru Malaysia akan datang ke KL untuk berlawan. Ada empat divisi nanti. Kami masih tersangkut di divisi tiga.

Kau nak main tak nanti, Joe? Tanya Lee.

Aku LLB. Takut sibuk pula. Sedangkan hujung minggu pun kami ada kelas.

Tak apalah kalau gitu. Tapi bila aku lawan nanti, kau kena datang sokong.

Aku hanya ketawa.



Di Puncak Gunung Jerai, kami berdiri sambil memandang segala isi Kedah yang diselaputi kabus dingin. Hujan baru saja reda, tetapi tiada pula jejak-jejak ia ingin berhenti. Setiap nafas kami disulami kabus. Menyesal pula aku memakai seluar pendek. Kesejukannya memang mengigit-gigit tulang. Aku mengambil sebatang rokok dan nyalakannya.

Pendakian setengah jam dengan kereta ternyata meletihkan. Lorong-lorong menuju ke atas agak sempit dan berbahaya. Lebih-lebihan lagi kereta kami pula beroperasi dengan sistem manual. Ada beberapa waktu kami hampir mengalah. Aku tidak dapat bayangkan jika kami mendaki gunung ini dengan kaki dan tongkat sahaja. Sudah tentu Maghrib nanti baru sampai. Itu pun jika tidak terjatuh di gaung-gaungnya yang dalam.

Sawah padi dan rerumah dan jalan raya dan segala yang terhampar kelihatan begitu kecil dan jauh. Di depan sedikit, kabus lebih menebal. Kami tidak nampak apa-apa di baliknya. Langit yang mendung hanya meyaratkan lagi melankolia yang tersedia. Sesekali angin bertiup lagi. Aku memeluk tubuh. Pandangan ini memang berbaloi, walaupun untuk seribu kali lagi.

Ini kali pertama aku naik sini, kata Sdar. Dah lebih tiga tahun aku di Kedah, aku tak pernah terlintas nak panjat Jerai.



Kami di hadapan Telaga Tok Sheikh. Sekumpulan makcik datang dan mencedok air dari telaga yang kecil, tetapi sarat misteri ini. Seorang petapa menghulurkan tangan kepada kami. Genggamannya kuat untuk seorang lelaki tua. Gerak hati aku mengatakan dia sedang 'membaca'ku. Seperti juga dia buat kepada Lee dan Sdar.

Ini telaga keramat, kata petapa itu. Seorang sheikh pernah mendaki gunung ini dan beruzlah bersama pengikut-pengikutnya. Di sini, dia membina telaganya. Semenjak itu, banyak orang datang dan minum dan mandi dan membotolkan air dari telaga ini. Banyak pula khasiatnya, terang petapa itu panjang lebar.

Aku melihat sekeliling. Terdapat kulit limau dan sisa lilin bersepah di atas lantai. Orang-rang melayu berubat di sini, agaknya. Tanganku mencapai sebekas gayung dan kucedok air telaga ini. Dengan bismillah, kuminum.




Banyak budak-budak suka melepak di Sungai Petani. Sana, pekannya lebih hidup. Sdar membawa kami ke salah sebuah restoran kesukaannya selepas pendakian kami di Jerai. Di situ kami gelojoh menghabiskan burger dan chicken chop dan nasi goreng. Aku harap Tok Sheikh tidak kecil hati dengan ketidak-sederhanaan kami.




Kami hanya sempat mandi di sungai untuk masa yang sekejap, kerana hujan datang lagi menyapa petang kami.




Di dalam perjalanan ke terminal bas, kami melabun panjang lagi tentang Kedah, cita-cita kami, serta perempuan-perempuan yang kami tak bisa menangkan. Aku dan Sdar berdakapan. Kami hampir salah naik bas (itu salah aku). Azam juga turut meneman.

Champ, datang sini lagi.

Inshaallah, kalau umur panjang kita jumpa. Singgah KL, beritahu aku pula.

Lee mengangkat tangan tanda selamat tinggal, lalu bas kami pun bergerak, menuju ke Kuala Lumpur yang lebih lima hari kami tinggalkan. Sdar dan Azam berdiri di ruangan menunggu. Mereka mengecil dan mengecil dan mengecil dan akhrinya mereka hilang dalam persimpangan.




Bas kami bergerak dengan laju. Aku memandang ke luar tingkap. Butterworth masih terang bercahaya. Hanya beberapa bulan lepas, kami (aku, Lee, Mib) pernah menaiki keretapi malam menuju ke sini, seterusnya mengambil feri ke Penang. Banyak hal yang berlaku sebelum itu dan di celah masa itu dan kini. Segala hal luka dan kecewa dan ketawa dan kembara. Betapa pantas masa berlalu, fikirku. Dan kita takkan kembali ke masa-masa belakang.

2015 ialah tahun yang kelakar.

Sdar suruh aku tulis ini, jadi ini untuk kau, kawan.



*Aku menulis ini sambil mendengar Beyond, oleh Nujabes.

Comments

Popular Posts