Rose & seekor kucing.

(kispen sempena hari kucing)

Kucing dan bebayang.


Jadi, apa pendapatmu tentang kucing? Tanya Rose kepadaku sambil bersandar di dinding. Di tangannya tergenggam erat seketul tin bir yang dia beli di bar sebelum ditutupi baru sekejap tadi. Dia meneguknya dan memandangku lagi, menantikan jawapan.

Mereka comel, jawabku sederhana. Selain itu, aku juga rasa mereka mementingkan diri. M di sebelahku hanya ketawa. Kucing yang kami sebutkan itu berhenti daripada berjalan dan merenung kami dari celah lorong tersebut. Separuh tubuhnya sudah dilitupi bayang. Telinga bergerak-gerak.

Mmm hmm, kata Rose. Kau rasa itu saja?

Ya, jawabku. Aku keluarkan Marlboro daripada kocek dan nyalakan sebatang. Malam semakin menyejuk. Hisap rokok pada waktu-waktu ini memang enak. Tambah lagi, kebekuan hanya menimbulkan melankolia yang kuat daripada dada kota mati ini.

Kau? Soalku kembali.

Kucing, katanya dalam basah-basah telo Sepanyolnya, ialah haiwan yang penuh misteri. Ia berjalan dengan elegant, menyimpan ribuan rahsia di sebalik mata bersinarnya. Mereka seperti mengetahui segala-galanya tentang dunia, tetapi masih tidak peduli. Mereka seksi dan menggoda, menarik kau dalam cara-cara mereka yang takkan bisa kau faham. Sebelum kau sedar, mereka sudah curi sesuatu daripadamu. Seperti ikanmu atau hatimu.

Ya, boleh juga jadi begitu, kataku ketawa. M juga turut ketawa. Wajahnya sudah merah padam dan aku yakin dia sedang mabuk teruk. Kalau ingin dikira dah lebih tiga tin dia habisi. Angin laut dari pelabuhan hanya terus mendodoikan kami lagi ke arah kelenaan. Aku menarik nafas dan melemparkan pandangan ke arah kapal-kapal di kejauhan.

Kau bercakap seperti penyair, Rose.

Boleh jadi, atau mungkin, kata Rose sambil melangkah kepadaku, perempuan-perempuan Sepanyol memang secara zahir dan batinnya penyair. Tangannya mencapai rokok di dalam kotak dan dia kepitkan dengan bibirnya. Hidungku menangkap bau wangian dari rambut kerintingnya. Dan jika kami mahu, kami juga boleh jadi kucing.

Aku hanya tersenyum. Malam Pulau Pinang itu berbumbungkan langit yang gelap. Tapi angin dingin, bunyi ombak lembut memukul-mukul jeti, kesunyian mimpi-mimpi orang tertidur begitu mencengkam; waktu berjengket perlahan dan jiwa muda kami mahu terus berjaga, berahi menanti pagi.

Comments

Popular Posts