Hikayat Sri Rama di celah rak buku.

Raja Sulaiman Alaihisalam.

Pada ambang Aidulfitri lepas, aku drive balik ke Lenggeng. Kampung aku itu tidak berapa jauh dari Bukit Jalil; satu jam sudah boleh sampai. Sebelum masuk ke dalam kawasan pedalaman, kau akan lalui Semenyih dan Broga, bukit hijau yang budak selalu panjat dan letak inspirational quote dalam instagram mereka itu. Lenggeng kampung yang tenang dan sentosa; ia dikelilingi bukit-bukau dan hutan yang merimbun. Angin lembut datang sekali-sekala memberusi rambut kau menerusi celah-celah dedaunnya. Kekadang ada juga vibe ala-ala Shire, kampung bani Hobbit di Middle-Earth.

Rancanganya, nak pergi ke rumah Cikgu Faridah untuk memborong durian. Lima puluh ringgit untuk durian dalam satu plastik. Gila! Aku tak makan durian, jadi peranan aku di situ lebih kurang seperti drebar. Duduk-duduk tepi main kucing sementara mak aku bual pasal durian dan mengimbau nostalgia kampung life mereka masa mereka kecil. Tidak apa, aku tak kisah pun. Di sini ada kucing, itu pun sudah memadai untuk buat aku leka sekejap (dari sekarang kau dah boleh agak aku cat-boy).

Sedang ralit aku membelai kucing, mata aku tertarik kepada isi rumah cikgu tersebut. Sebuah rak besar terletak betul-betul berhadapan pintu masuk rumah. Kenapa aku tak perasan sebelum ini? Di situ tersusun penuh buku-buku yang purba dan lusuh. Malah ada juga yang tertanggal kulit depannya. Aku belek satu-satu: Usman Awang, Bung Pram, dan Shahnon Ahmad. Imam Ghazali, Buya Hamka, dan Syed Farid Al Atas. Hikayat Sri Rama juga ada. Ya tuhan, cikgu ini menyimpan buku-buku yang agung!

Aku jizz in my pants jugalah di situ. Cikgu yang sedang tenang duduk minum teh itu pandang aku, tersenyum, lalu mempelawa, bacalah. Aku angguk. Satu-satu aku belek. Tapi akhirnya Hikayat Sri Rama juga yang menarik minat aku. Entah mungkin kulit bukunya yang nampak exotic atau aku memang sudah lama tercari-cari suara mitos melayu pra-islam, aku tidak tahu. Aku ambil dan simpannya di dalam beg. Hikayat ini sendiri sudah digaulkan dengan unsur-unsur hikayat islam semasa pak sheikh-pak sheikh kita dari tanah arab datang berkunjung ke pantai-pantai Melaka. Sebagai contoh, hikayat dibuka dengan cerita Rawana terserempak dengan Nabi Adam Alaihisalam sewaktu sedang bertapa di hutan. Baginda baru saja tercampak dari firdausi dan dia sedang mengelilingi dunia baru itu untuk mengenal isi ciptaan tuhannya. Pada waktu itu, mereka berbual pendek dan Nabi Adam Alaihisalam menunaikan harapan Rawana untuk memiliki empat kerajaan; 1) Kerajaan dalam dunia; 2) kerajaan kepada keinderaan; 3) kerajaan dalam bumi; dan 4) kerajaan di dalam laut. Rawana terus diangkat sebagai raja bagi setiap kerajaan yang dianugerahi Allah Azza Wa Jalla tersebut.

Nah, kau tak akan jumpa cerita ini di dalam buku 25 Rasul kau, kan? Cerita ini mungkin akan dipandang aneh sekali oleh ustaz dan ustazah kau di SMKA dan budak-budak wahabbi mungkin akan memandang ini sebagai 'satu ancaman terhadap keimanan umat islam'. Tapi kalau kau amati betul-betul, hikayat ini sebenarnya adalah bukti kebijaksaan orang-orang melayu zaman dahulu. Mereka dah pro dalam membuat watak-watak crossover dalam kisah-kisah agama mereka. Mereka boleh berkarya tentang tuhan hindu dan nabi islam dalam satu cerita dan jabatan agama mereka langsung tak ambil port tentang kisah itu. Tiada pengharaman buku dan tiada mana-mana penulis yang dilabel 'kafir' pada dahi mereka. Dulu kita lebih majmuk dan terbuka!

Aku masih belum selesai menghabiskan Hikayat Sri Rama ketika ini (hasil suntingan Shellabear ini sepanjang 298 muka), tapi aku ada beberapa perkara yang menarik telah menarik tumpuanku dan ingin aku kongsikan. Salah satunya ialah syarat-syarat Jama Menteri kepada sesiapa yang berhajat untuk menaiki takhta raja. Syarat itu ada tujuh dan wajib dipatuhi setiap satunya. Jika tidak, maka seperti dalam kata-kata Jama Menteri sendiri, "tiada layak ia naik raja dan tiada sempurna kerajaan-nya".

Tujuh syarat Raja

1. Raja itu hendak berilmu membezakan baik atau jahat, benar atau salah.
2. Perkara hendak akhil baligh, budiman, mengasihi segala rakyatnya.
3. Perkara hendak baik rupa kerana raja akan ganti Dewata Mulia Raya, hendaklah baik daripada segala rakyatnya sekalian dan memberi anugerah akan segalanya rakyatnya (samada) kecil besar dan tegur sapanya dengan manis mukanya, sempurna nama rajanya.
4. Perkara hendak berani daripada segala lawan supaya dimalui segala raja-raja lain.
5. Perkara hendak ia tahu pada bermain senjata.
6. Perkara hendaklah dermawan lagi adil akan segala orang kaya-kaya dan miskin, dan mengasih hulubalang supaya sempurna nama rajanya.
7. Perkara hendak banyak jaga daripada tidur.

Dari sini, kita boleh lihat betapa hikayat menyusun-aturkan tanggungjawab-tanggungjawab moral yang harus dipikul oleh mereka yang berhasrat untuk menduduki singgahsana raja. Ia sangat menekankan konsep raja-rakyat dan keakraban yang harus ada di antara kedua belah pihak. Zaman ini, berapa banyak raja yang benar-benar mentaati syarat-syarat Jama Menteri ini?

Aku bukan seorang feudalis tapi aku kagum dengan nilai-nilai yang dikendong sekali di dalam syarat-syarat ini. Ia cantik dan mengagumkan. Dalam dunia demokrasi dan hak asasi, nilai-nilai sebegini bukan harus dipegang oleh kelompok raja saja, tapi oleh siapa-siapa yang ada self respect terhadap diri sendiri. Syarat-syarat ini boleh dibaca sepersis petua-petua Machiavelli, tetapi dengan nada yang lebih ketimuran dan lebih kerohaniah. A blend of the mystical East.

Dan bukankah, di dalam jiwa setiap daripada kita, adalah raja dan permaisuri, yang menanti untuk meluaskan tanah jajahan dan empayarnya?


Nota: Aku sedang cuba memecahkan writer's block. Dah terlalu lama aku tak menulis, terlalu banyak hal yang terjadi kepada aku serentak. Akan cuba untuk update dua kali sebulan. Ini untuk melatihkan tangan aku untuk rajin menulis dan menulis dan menulis lagi.

Comments

Anonymous said…
Aku dulu ulat buku. Perpustakaan gelap dan semacam berhantu di sekolah menengah tempat mak aku bekerja memang gua tempat aku bertapa. Di gua ni jugalah aku berjumpa Kerana Manisnya Epal dan bila cerpen ni dijadikan teks KOMSAS aku rasa macam jumpa kawan lama. Bila meningkat dewasa aku semakin melupakan buku. Kemudian, aku terjumpa blog kau. Dan sekarang aku tengah meneliti Chairil Anwar dan Andrea Hirata. I remember that I actually still in love with good reads.

*menyesal aku tak beli buku-buku Faisal Tehrani masa aku muda-muda, masa masih senang nak dapat
Anonymous said…
Maksud aku "I am actually still in love with good reads."


Ah, membetulkan kesilapan sendiri ini tindakan refleks. Sebab aku cikgu Bahasa Inggeris.
jhnrdzi said…
Ah, lama pula aku tak baca Andrea Hirata. Selepas Edensor, aku semacam tak cari lagi buku-bukunya. Mungkin aku patut mula membeleknya sekali lagi, mengingat kembali lucu-lucu dan ilham-ilham yang dipaparkan anak-anak melayu Belitong itu.

Chairil Anwar, bagi aku secara peribadi, masih ialah antara sosok paling agung dalam peta pemuisian bahasa melayu. susah untuk memikirkan kesusasteraan puisi melayu tanpa membayangkan kelibat watak binatang jalang ini. selain chairil, aku sukakan juga sapardi djoko damono, latiff mohidin, t. alias taib. mereka orang yang berjiwa besar :)
shafizah said…
selamat kembali john. weh boleh aku mintak tolong kau review sikit buku catatan seorang demonstran soe hok gie. kau ada kan?
jhnrdzi said…
boleh boleh. tapi aku kena baca buku itu dulu balik. hehe.

Popular Posts