2014 - 2015.


Geisha di Subway, 2008.

(Mood: Peperiksaan Akhir Semester)

Di Maktab Tentera Diraja dulu, tiada hal yang lebih eskapisme kepada aku berbanding membaca majalah-majalah tentang pengembaraan. Hidup rejimen yang keras dan lurus sentiasa melemaskanku; aku mahukan jendela yang memberi aku pandangan terhadap dunia-dunia luar yang sarat dengan keanehan. Dan inilah apa yang dibuka National Geographic dan Readers Digest ketika aku di tingkatan lima, menelaah foto-foto yang menggambari manusia, alam, dan segala macam keajaiban di ceruk-ceruk yang tak pernah akku dengar namanya. Sudah tentu, jurugambar yang paling aku minati ialah Steve McCurry, yang merakam foto 'Perempuan Afghan' yang terkenal itu. Foto-fotonya sentiasa jujur dan bersederhana dalam bercerita. Gambarannya tentang warna-warni budaya, kepiluan emosi manusia, dan kemiskinan begitu menggugat, kadang-kala kita akan rasa orang-orang di fotonya berdekatan dengan kita, bahawa setiap pakaian dan agama dan ras langsung tidak membezakan kami-mereka, mereka juga kita.





Dan mungkin disebabkan ini juga, cita-cita aku dulu ialah seorang journalist. Tak tipu. Aku tahu prestasi akademik aku bukanlah satu hal yang memuaskan; aku malas dan lebih rajin berkelana dalam perpustakaan mencari majalah-majalah National Geographic dan Readers Digest; atau karya-karya fiksyen seperti Lord of the Rings, Sherlock Holmes, dan puisi-puisi A. Samad Said berbanding menelaah akaun kredit-debit, jadual berkala, atau hukum Archimedes. Aku langsung tidak nampak diri aku sebagai juruakuan, ahli kimia, atau saintis; jauh sekali. Cerita-cerita manusia dan masyarakat lebih dekat dengan diriku.

Tapi akhirnya aku memilih jurusan undang-undang. Hal ini pun kerana waktu itu, aku tidak tahu bagaimana untuk memilih jurusan journalism. Aku tidak tahu jurusan itu terkandung di bawah Fakulti Komunikasi Massa, kerana dalam kebodoh-bodohan aku itu aku menganggap fakulti tersebut hanya untuk 'artis dan pembaca berita', alangkah tololnya!

Aku tidak menyesal memlilih undang-undang, meskipun cara pembelajarannya memerlukan displin dan fahaman yang tinggi. Cuma aku selalu terfikir, bagaimanakah perjalanan hidup aku jika aku tidak memilih apa yang aku pilih sekarang? Adakah hidup aku akan 360 darjah berbeza? Mungkinkah aku tidak akan jumpa kenalan-kenalan yang kukenal sekarang? Atau bagaimana pula dengan diri aku?

Kadang-kadang, menarik juga bila kita lihat kembali keputusan-keputusan yang telah kita pilih. Jalan apa yang kita pilih dan bagaimana kita meniti lorong-lorong itu banyak menakfirkan diri kita; menjadikan kita berbeza dengan setiap jejak yang kita langkah. Kita adalah apa yang kita pilih, kata seorang mat falsafah yang aku dengar di Pecel Lele beberapa bulan lepas. Mungkin budak itu betul.

Sekarang pun aku sudah jarang membaca majalah-majalah tersebut. Karya-karya fiksyen lebih menarik minatku. Barangkali semangat yang lama itu sudah terpadam, hilang lalu menjadi debu yang ditiup angin. Atau mungkin juga ia digantikan dengan semangat yang baru. Aku tidak tahu. Tapi sewaktu aku lalui toko majalah yang sering aku lawati di Petaling Jaya tempoh hari, aku ternampak majalah-majalah National Geographic yang tersusun di rak buku. Ia sudah jadi kuning dan lusuh, seperti semangat lamaku sendiri, Dan zaman ini siapa lagi mahu membaca kertas bila semuanya boleh kita temui dengan sentuhan jari?

Apa-apa pun, adios! Selamat tahun 2015!

Comments

Popular Posts