Berjalan kaki di Kuala Lumpur.

Self Potrait Amron Omar.


I.

Pasca solat jumaat di Masjid Al Bukhary bertentangan Stesen LRT Hang Tuah dan sepinggan nasi kandar yang dimakan dengan tergesa-gesa, aku melangkah menuju ke Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Aku melalui bangunan lama Victoria Institution, melintas jalan yang sibuk, dan bertembung dengan pasukan ragbi dari Fillipina sebelum memasuki perkarangan menara.

Menara DBP masih sama seperti dulu. Tidak ada apa-apa yang berubah kali terakhir aku melawatinya setahun lepas.

Kedai bukunya juga begitu. Aku mengimbas rak-rak yang menyusunkan buku-buku lama. Ada Anwar Ridhwan, Marsli N.O., Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad, dll. Aku cuba cari T. Alias Taib tetapi tidak jumpa. Aku membelek beberapa buku ilmiah sains dan matemaik yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa malaysia (atau bahasa melayu kalau engkau lebih suka), dan keluhan yang panjang melepasi nafasku. Buku-buku ini sudah lama. Kertas-kertasnya mulai kuning dan lambat-laun akan dilupakan. Entah kenapa aku rasa begitu sedih.

Di rak yang menempatkan majalah, aku berhenti. Mataku terpandang majalah Dewan Sastera yang berjudulkan: Wira Melayu Era Mahathirisme. Lukisan 'Pertarungan' Amron Omar menghiasi kulit depan majalah. Minatku melonjak. Aku membelek beberapa mukasurat dan mataku mengesan kata-kata pendahuluan oleh Fadli Al Akiti. Dia memetik penafsiran Prof Rahman Shaari (2001) tentang keperwiraan dalam sastera sebagai "pusat citra moral dan kebijaksanaan bangsa yang dirakamkan, mengikut strategi pengkaryaan tertentu oleh pengarang. Tindakan dan pilihan wira dalam sesebuah cerita menjadi falsafah luhur yang dikagumi. Moral wira selalunya dicontohi dan diikuti masyarakatnya. Kehebatan wira mencipta sejarah diabdikan."

Aku bayar enam ringgit lima puluh sen di kaunter dan keluar meninggalkan kedai buku. Di luar, hujan renyai-renyai dan angin yang bertiup sederhana menyapa kepulanganku ke dunia luar.


II.

Hujan menyebabkan aku tidak jadi berjalan kaki ke Stesen Monorel Hang Tuah. Sebaliknya aku mampir sebentar di kedai minum di depan menara, memesan teh o ais berserta sebatang kretek untuk dihisap sementara menunggu cuaca reda. Aku mengambil tempat duduk di sebelah seorang lelaki yang berumur dan kami bersama-sama diam merenung hujan.

"Encik, pinjam lighter. Saya lupa bawa." Aku memulakan perbualan.

Dia hulurkan sepucuk dari kocek bajunya. Kemudian kami pun berngobrol-ngobrol. Dia memperkenalkan dirinya sebagai pekerja di bawah Jabatan Warisan Malaysia. Orangnya berkulit sawo matang dan matanya redup. Ada sisa-sisa loghat kelantan yang nipis dalam suaranya. Dia merintih kepadaku tentang kegagalan orang Malaysia melindungi Penjara Pudu -kita boleh jadi bodoh kalau duit ditayang-tayangkan di depan muka. Dia mengeluh tentang kos sara hidup yang semakin membukit dan menghimpit, serta pengagihan kekayaan yang tidak pernah adil untuk anak-anak bumi Kuala Lumpur.

"17 tahun lepas aku datang Kuala Lumpur dari kampung halaman. Nak cari rezeki. Waktu itu KL tidak macam sekarang. KL ada pokok-pokok hijau merimbun. KL ada bangunan-bangunan bersejarah yang dijaga baik. Bangunan-bangunan pencakar langit pun tidak banyak. Bandar kita ini dulu - meskipun sederhana - tapi aman dan sentosa. Orang melayu kita sentiasa senang dan bekerja."

"Tapi keadaan dah berubah. Sekarang KL disesakkan dengan bangunan-bangunan besar di sana sini. Bandar rasa sempit dan udaranya pula menerbangkan debu-debu yang menyesakkan. Mereka kata warga KL kena jadi moden, harus mula bersaing dengan Bandar New York, Kota London, atau Kota Paris di Perancis. Oleh itu mereka mula dirikan Pavilion, Fahrenheit, Times Square, dan Bukit Bintang Walk. Persetankan bangunan sejarah! Persetankan bangunan lama! Kemudian mereka ada idea baru: menangkap gelandangan dan pengemis. Mereka datang dengan trak besar dan menyaman makcik-makcik kau yang menjual nasi lemak di tepi jalan. Hei, kau bayangkanlah, berapa sen saja makcik-makcik ini dapat untuk jualan bungkusan nasi lemak? Itu pun mahu disaman beratus?"

"KL dah jadi gila. Sementara orang kita terus diasak, orang-orang asing yang kaya dan berduit menguasai ekonomi KL - ekoran pertalian rapat dengan kuasawan-kuasawan yang kita pilih sendiri. Aku tanya engkaulah: Kekayaan dan kenikmatan KL ini, untuk siapa?"


III.

Setelah hujan mulai perlahan, aku meminta diri untuk pulang. Kami bersalaman dan mengucap selamat tinggal. Aku berjalan meniti jalan raya yang basah menuju ke Stesen Monorel Hang Tuah dan membayar perjalanan ke Stesen Monorel Bukit Bintang. Penungguanku hanya lima minit untuk monorel yang seterusnya datang mengutip. Aku mengambil tempat duduk yang dekat jendela dan menatap majalah yang kubeli tadi.

Fadli Al Akiti mengulas lagi: Tokoh wira Hang Tuah merupakan antara wira sastera dan sejarah yang hidup tekal dan sentosa dalam kesedaran masyarakat Malaysia. Sudah banyak wacana dan penyelidikan yang dilakukan terhadap wira terkemuka Kesultanan Melayu melaka ini. Hang Jebat, saudara setia dan seteru terhebatnya juga sudah beberapa kali diberikan interpretasi baharu dari sudut sosialisme. Pertalian kompleks antara Hang Tuah dan Hang Jebat terus berkembang mekar dalam penghayatan kompleks masyarakat melayu terhadap politik, agama, dan adab hidupnya.

Tiba-tiba fikiranku terganggu. Aku meletakkan majalah dan melemparkan pandangan keluar jendela, melihat tanah bekas penjara pudu yang rata. Sisanya cumalah gerbang purba yang terukir '1895' di atas pintu masuknya - kononnya sebagai peringatan sejarah untuk anak-anak yang belum terlahirkan atau yang belum sempat mengenali puing-puing kuno ini.

Aku mengalihkan pandanganku ke perut monorel yang separa penuh dengan penumpang pelbagai bangsa dan ke Berjaya Times Square yang dikerumuni anak muda dan pelancong dan pengemis - pengemis dan gelandangan yang meminta-minta rezeki di celah binaan konkrit gergasi itu dan hatiku mulai berbisik bertanya: Kekayaaan dan kenikmatan KL ini, untuk siapa?

Comments

Anonymous said…
Teruskan update blog. Reading your blog, buat saya lebih banyak berfikir tentang keadaan sekeliling :D
jhnrdzi said…
terima kasih sudi membaca.
Anonymous said…
ada email?
jhnrdzi said…
errr, ada. johan_kryptos@yahoo.co.uk
Anonymous said…
Aku masih baca lagi kau punya tulisan. Jangan berhenti menulis johan!

Popular Posts