Sebelas perkara tentang Krabi - Aonang.

Bak kata J.R.R. Tolkien, si orang tua yang tulis buku Lord of The Rings dan The Hobbit, not all those who wanders are lost. Bukan semua yang merayau itu sesat. Berbekalkan kata-kata agung ini, aku, Amin, dan Akmyr menempah tiket Air Asia ke Krabi untuk penerbangan 16 Julai 2014 sebagai tapak pertama pengembaraan kami. Dengan keajaiban prinsip Bernoulli, peasawat AK 0868 menerbangkan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur II ke Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi dalam masa sejam lebih. Atau mungkin setengah jam. Entahlah. Aku terlalu khusyuk berdoa demi keselamatan pesawat sampai aku lupa tengok jam. Dalam bahasa melayu mudah, aku gayat.

Aku malas nak tulis macam catatan harian pasal aku cuba nak jadi lain daripada travelog di internet ini. Cewah! Ok inilah perkara-perkara yang aku fikir menarik dan cun dan apa yang aku belajar sepanjang berjalan di sana. Ikut kaulah nak baca atau tidak. Aku peduli apa. 


1. Tiket murah kalau engkau langgan awal. 

Aku tak tahulah kalau abah kauorang ada pesan ini atau tidak. Tapi aku tulis sajalah. Aku langgan tiket tiga bulan awal dari penerbangan dan dapat RM175 untuk pergi balik. Itu pun selepas tolak insurans, makan-minum, dan bagasi tambahan. Bagi kami sebagai mahasiswa undang-undang yang makan maggi siang malam, ini adalah urus niaga yang berbaloi. 

Untuk cari tiket penerbangan yang murah, engkau kena rajin-rajin semak laman web Air Asia, MAS, etc etc. Kadang-kadang ada musim yang harga ok. Kalau ada, engkau sebat sajalah. 

2. Seringgit itu sepuluh baht.

Bermakna, kalau kau ada 100 Baht, ia ibarat kau ada RM 10. Vice versa. Tak susah untuk memahami pertukaran nilai ini. Aku cadang, kalau engkau nak tukar matawang, engkau tukar siap-siap di pengurup berdekatan. Jangan ditukar di lapangan terbang - nanti duit kau dicukai. Kalau engkau dah sampai Krabi, tukarkan saja di Pekan Krabi. Ada banyak pengurup di sana dan nilai pertukaran pun boleh tahan. Kalau di Pekan Aonang, yang paling murah aku boleh dapat RM100 = 970 Baht. Sebenarnya, oklah juga.

Aku bawa RM600 untuk pengembaraan seminggu. Itu pun, aku kira, dah cukup. Tak perlu bawa duit bertimbun. Ini mengembara, bukan melancong.

3. Naik Tuk-Tuk kerana Kuala Lumpur hanya ada teksi dan RapidKL.

Ini Tuk-Tuk:

Ini Pakcik Ibrahim. Ramah dan mesra orangnya.

Selepas kami sampai di Pekan Krabi, kami melilau sekitar seharian sebelum pergi ke Pekan Aonang. Biasanya kalau ada orang kata kepada kau "Hei budak, kami akan ke Krabi," apa yang dimaksudkan adalah: "Kami akan mendarat di Krabi. Kemudian kami akan ke Pekan Aonang kerana di situlah ada mat salleh berbikini, makanan sedap, pantai, aktiviti-aktiviti meriah, serta bar dan pub yang sentiasa penuh."

Jadi kami mengambil Tuk-Tuk Pakcik Ibrahim untuk pergi ke Pekan Aonang. Harganya tidak mahal. Sekitar 300 - 400 Baht untuk sekali pergi. Pandai-pandailah engkau tawar-menawar.

4. Kuil Wat Kaew.

Salah satu perkara yang engkau perlu buat apabila mengembara adalah melawat rumah ibadat masyarakat tempatan. Di kuil ini, tersergam patung Buddha, dengan tangga berhias naga penuh warna-warni, serta lukisan-lukisan keagamaan yang penuh bercerita. Dari atas kuil ini, engkau boleh lihat hampir keseluruhan atap-atap kedai dan rumah di Pekan Krabi.

Stairway to temple.

5. Penginapan.

Setakat ini, penginapan kami semua baik-baik. Harga sekitar 150 - 200 Baht seorang. Untuk malam pertama kami tidur di dorm besar Cozy Place. Seperti yang dicadangkan namanya, dorm ini selesa, berhawa dingin, dan terbuka. Oleh itu kau ada peluang untuk berbual-bual dan bertukar cerita dengan pengembara yang menginap masa itu juga. 

Kaunter

Untuk malam-malam yang seterusnya, kami menginap di Phu Phranang. Selepas tawar-menawar, kami dapat sebuah bilik besar dengan 450 Baht semalam (bahagikan tiga). Harga yang baik.


Phu Phranang Resort.


6. Melawat empat pulau.

Aktiviti pertama yang kami lakukan di Aonang adalah melawat empat pulau. Kami menaiki Longtail Boat kerana ia lebih murah (330 Baht) berbanding Speedboat yang dua kali ganda harganya. Tempat yang kami lawati termasuk Thale Wak (Laut yang Terpisah), Koh Gai (Pulau Ayam, kerana bentuk batunya seperti kepala ayam jantan), Pulau Porda, dan Teluk Phra-Nang. Peralatan snorkeling dan makan tengahari juga disediakan.

Air-airnya biru dan sejuk. Tapi disebabkan kami datang waktu low season, yakni musim tengkujuh, kejernihan air laut telah tercemar dek debu dan pasir. Walau bagaimanapun, permandangannya masih cantik dan berbaloi untuk dilawati.

Ke hadapan Pulau Porda, yang dicintai.

Di  Teluk Phra-Nang, ada sebuah kuil kecil diperuntukkan untuk si dewi laut. Setiap pagi sebelum menangih rezeki, para nelayan akan datang memuja dan membakar asap kemenyan.


7. Kayak juga boleh tahan, bro.

Hari kedua kami dimanfaatkan untuk aktiviti kayak di Lembah Ao Thalane. Di sini, selepas merentasi laut dan muara, kami memasuki lembah hijau. Pokok-pokok kayu bakau tumbuh tegak dan menajalar di kiri dan di kanan kami. Ranting-ranting besar mereka menyusup ke dalam sungai, menyerap segala zat yang terbancuh supaya batang mereka keras dan daun mereka merimbun teduh. Air sungai ini jernih. Kau boleh lihat ikan-ikan yang bermain di dasarnya. Dan jika kau bertuah, kau boleh nampak segerombolan monyet (ok ini tak adalah memeranjatkan sangat memandangkan di Malaysia sendiri ada monyet).

Kami ada tangkap beberapa gambar, tapi keindahannya terlalu agaung untuk terakam kamera kami yang kecil itu. Engkau kena pergi sendiri untuk tengok dengan mata kepala betapa cantiknya lembah Ao Thalane ini.


Permandangan #1

Permandangan #2

Antara kami bertiga, akulah yang paling nampak macam Brad Pitt.

Sempat ber'selfie lagi.

8. White Water Rafting + Fish spa + Persembahan Gajah dan Monyet.

Aku tak pernah main White Water Rafting. Aku selalu lihat di tivi dan aku terfikir, "ini sesuatu yang jantan." Jadi kami pun mencuba aktiviti tersebut di Sungai Songpak. Perjalanan dari Pekan Aonang ke Sungai Songpak memakan masa sejam suku lamanya. Kami sempat tertidur sepanjang perjalanan. Tempat yang ditujui berada jauh daripada pekan dan bandar - ia terletak di tengah-tengah dada rimba dengan orang menunggang gajah sebagai latar di sekitar tebing.

White Water Rafting adalah salah satu aktiviti yang kau harus cuba semasa keberadaan kau di Krabi - Aonang. Pelampung hitam yang membawa kami itu terlompat-lompat (ada kalanya hampir terbalik), terhuyung-hayang, terlanggar batu sana-sini, juga pelampung hitam yang membawa peserta lain, sebelum maju laju dihanyut sungai yang deras dan berkelok itu. Ia menarik. Ia mencabar dan kadang-kadang juga boleh jadi lucu apabila kita simbah-menyimbah air dengan pelampung lain. Yang duduk bersama kami ketika itu adalah pasangan dari Singapura. Kami berngobrol-ngobrol seketika sebelum berpisah.

Fish spa pun cubaan kali pertama. Rasanya geli dan lucu. Kami dan ikan-ikan itu ada semacam hubungan bermanfaat antara satu sama lain (aku menawarkan kaki, ia memakan kulit mati).

Persembahan gajah dan monyet tidak o.k. Gajah dan monyet dilatih untuk bertindak serupa itu atau ini oleh pelatih mereka yang garang supaya penonton-penonton ketawa dan menghulurkan beberapa keping baht kepada mereka (yang akhirnya diserahkan juga kepada sang algojo-algojo tadi). Secara peribadi, aku menentang sebarang bentuk penganiayaan terhadap binatang. Melihat gajah dan monyet yang dirantai, ditarik, dan diperbodohkan hidupnya semata-mata untuk menjana ekonomi pelancongan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

9. Pasar malam Aonang - Krabi.

Pasar malam Aonang tidak semeriah Krabi. Tetapi sudah tentu, mereka akan kelihatan kerdil jika dibandingkan dengan pasar malam kita yang raksasa dan bermacam jenis jualan. Setiap pasar malam mereka menjual pakaian, makanan, barangan antik serta unik, serta disertakan dengan persembahan kebudayaan setempat yang dipersembahkan budak sekolah.

Ini Menora di Krabi.

Di Aonang, aku sempat mencuba 'Thai Giant Burger' dengan membayar 50 Baht. Mereka menggunakan roti arab yang tebal, membalut daging kecil yang dipanggang dan dilumuri sos, mayonis, dan lain-lain. Boleh tahan.

Tudia!

Di Krabi, terdapat lagi banyak pilihan. Daripada aiskrim kelapa beradun karamel, ayam percik thai, ayam goreng tepung, orange smoothie, nasi goreng dengan ramuan yang berencah, serta bermacam-macam lagi lauk-pauk yang menyelerakan dan membangkitkan rasa lapar. Malah ada juga kerang berbungkus telur dadar, sup, puding, dan etc etc yang kami tak sempat merasa kerana perut yang kekenyangan serta duit yang perlu kami jimatkan. Kami juga sempat membeli beberapa helai baju, magnet peti ais, dan rantai kunci seperti mana-mana orang yang biasa dan cliche.


10. Pancake.

Pancake istimewa. Kalau kau pergi ke Krabi-Aonang, engkau kena cuba rasa pancake mereka. Aku syorkan pancake pisang bersalutkan nutella dan susu sebagai ciptaan pancake teragung. Dan tangan pembakar pancake yang baik ialah tangan milik pakcik Abdul Aziz yang ramah dan mesra ini:

Abdul Aziz cepat memesraiku apabila mendapat tahu aku orang Malaysia. kami berbual mengenai rumah, keluarga, serta nasib orang-orang islam di selatan Thai yang derita sengsara.

Aku ada mencuba beberapa gerai pancake di sekitar Pekan Aonang (Yaminlah sebagai contohnya), dan aku dapati gerai Abdul Aziz yang paling sedap. Pancake buatannya rangup dan berisi. Intinya pula lebih manis dan berlemak berbanding pancake-pancake yang disediakan warung lain.

Kalau kau ke Krabi - Aonang, sampaikan salam kami kepada pakcik yang kool ini.


11. Lebih menghargai negara sendiri.

Apabila pesawat Air Asia AK 867 selamat mendarat di KLIA 2 pada pagi 22 Julai itu, kami pun menghela nafas lega. Kami menggalas beg, mengucap terima kasih kepada pramugara-pramugari, dan melangkah keluar. Di lapangan terbang, kami disambut pegawai imigresen wanita yang bertudung. Berjalan ke depan sedikit, latar Malaysia kembali menguasai keliling - papan tanda bahasa melayu, makcik cina yang berbual di kafe, serta sekeluarga india yang menarik bagasi beroda menuju ke pelepasan. Aku tersenyum. Aku tak tahu entah kenapa, tetapi memang ada satu perasaan aneh tergantung dalam benak kau setelah kau pulang ke negara sendiri setelah pemergian yang lama. Aku tak tahu bagaimana mahu terangkan. Barangkali ia sejenis penghargaan. Ya, penghargaan. Dengan berjalan ke negara orang, aku belajar untuk menghargai negara sendiri: Masyarakat kita yang majmuk, datang bersama budaya, makanan, agama, seni, dan muzik yang kaya serta menghirup udara yang mengandungkan suasana aman dan makmur ini adalah sejenis rahmat Tuhan yang tak terperi.

Apabila ada seorang kenalan dari Munich, Jerman, menanyakan kepadaku apa keistimewaan Malaysia, aku maklumkan kepadanya tentang kepelbagaian kaum kami. Tentang kewujudan kaum melayu, cina, india, kadazan, dan lain-lain serta bagaimana kami mampu hidup dan makmur bersama.Tiba-tiba aku rasa bangga. Yalah, bukan semua negara boleh membangun dengan kaum yang pelbagai, kan? Di beberapa negara lain, rusuhan dan pergolakan sering saja terjadi. Darah ditumpahkan dan rumah ibadat dibakar sebagai aksi provokasi. Tapi di Malaysia, setelah lima dekad merdeka, tolak ansur antara ahli kita masih tidak membarah. Ia pernah ada luka, ya, tetapi ia juga segera berangkat sembuh. Malaysia negara yang muda tetapi cepat pula belajar dari masa silamnya. Dalam diam aku berdoa semoga negara kita dihindarkan daripada bisik-bisik anasir gila yang mengayun-ayun keris menuntut nyawa atau seruan-seruan mengganyang kaum lain yang berdiri atas stereotaip-stereotaip palsu dan penuh kebencian. Amin.


Kesimpulan

Kalau ada peluang, pergilah berjalan, mengembara. Kumpulkan duit, bersiap-siap, dan campakkan diri kau ke mana-mana tempat seperti yang terbentang dalam google map. Aku memilih Thailand kerana ia antara negara dengan kos perbelanjaan yang murah. Kalau pergi United Kingdom atau Alaska memang kirim salam. Pilihlah tempat mengikut kemampuan dan minat kau. Tanya kawan-kawan yang pernah pergi ke sana atau ke sini apa yang hendak dibuat, persediaan, etc etc,

Seorang kawan aku pernah share petikan seorang mamat ini. Namanya Donny Dhirgantoro. Dan mamat Donny ini berkata:

“Kemudian yang kamu perlukan hanyalah kaki yang akan melangkah lebih jauh, tangan yang akan berbuat lebih banyak, mata yang akan melihat lebih lama, leher yang akan lebih sering mendongak, tekad yang setebal baja, dan hati yang akan bekerja lebih keras serta mulut yang selalu berdoa.”

Au revoir, kawan.

Comments

H Y D E said…
ah. entri kau selalu buat aku teruja.

engkau memang kool.
kuda said…
mana ole-ole untuk aku?
Nesa Joejie said…
Pergi krabi bulan depan! mekaseh catatan ni membantu :)
hanamichi MichI said…
Thank membantu sangat...hope so insyallah planning bulan sept 2015 berjaya...
Elisa Feggy said…
Guna tourism ka atau sendiri ja jalan ni?
Poken Tan said…
This comment has been removed by the author.

Popular Posts