Antara Jamal Raslan, Sangkala Vadeh, dan Putrajaya.

Bukankah mereka sangat badass?

Petang tadi aku ke Festival Belia di Putrajaya dengan adik aku, Iddin. Bertolak dari Puncak Jalil dari jam satu setengah petang, singgah di Subway melahap chicken slice dan white chocolate macadamia, kemudian meneruskan lagi dengan memandu viva biru tua menuju ke presint empat. Matahari sedang memuncak. Panas meruap- ruap membasahkan dahi dan ketiak. Cahaya teriknya memancar ke seluruh jihat tanpa belas kasihan walau sedikit pun.

Aku parkir berhampiran Mahkamah Putrajaya. Di situ berlangsung karnival Jom Heboh dengan segala mat berkolar tegak dan minah berambut hazel. Tersusun booth-booth makanan, permainan, maklumat-maklumat siri televisyen, dan entah-syaitan-apa. Aku tak minat. Aku berjalan iseng-iseng sekitar karnival - melihat puak-puak mat skateboard, perempuan russia mendukung boneka guido, pakcik-pakcik superbike berjambang lebat, keropok lekor, aiskirm, dan kawasan perkhemahan yang tergantung banner di depannya "KONTINJEN KELANTAN". Aku tidak tahu apa maksud semua itu. Bosan. Bosan. Bosan. Aku hampir-hampir putus asa dengan karnival belia dan Khairy Jamaluddin sampailah mataku tertangkap papan tanda PEPERANGAN BINTANG di sebuah bangunan berkaca. Mataku berkaca-kaca. Minatku melonjak semula. Macam, siapa tak pernah dengar Peperangan Bintang, kan? Itu Star Wars yang ditayangkan dalam bentuk Wayang Kulit!  Ya Allah, mukjizat apakah ini?

Bangunan berkaca tersebut dipenuhi dengan acara-acara kesenian. Ada laungan puisi, kotak gelap irama, teater, dan, ceramah-ceramah yang diselia TedxKL. Jadual senarai penceramah menunjukkan nama 'Jamal Raslan' untuk sesi jam tiga petang. Aku lihat jam dan jarrum menunjukkan tepat pada nombor tiga. Ah, just what I need for this moment.

Banyak yang aku tidak tahu tenang mamat Jamal Raslan ini. Yang kutahu dia seorang penyair dan dia pernah jadi curator twt_buku beberapa minggu lalu. Kawanku di fakulti pernah mengatakan baawa Jamal Raslan dan Karim Raslan yang suka tulis 'ceritalah' itu ada pertalian. Aku diamkan saja sebab aku rasa dia bohong. Tetapi sudah tentu kita tidak mahu cerita ini menyimpang jauh. Baik. Maafkan aku. Tidak banyak yang aku boleh ingat mengenai ceramahnya petang tadi. Aku senaraikan saja apa yang terpacul di ingatanku di bawah ini:

1. Perbezaan sifat bahasa melayu dan bahasa inggeris. Bahasa melayu lebih berlapis, berkias, serta gaya pembacaannya lembut. Ia ada dengan memerhati dunia. Manakala Bahasa inggeris pula lebih langsung, bersifat kritikal disaluti falsafah, gaya pembacaannya lantang-laju, serta ia ada dengan mengamati dunia. Sambung Jamal, apa yang dimaksudkan dengan memerhati dunia adalah mengambil dunia seperti sediakala, manakala mengamati pula lebih cenderung kepada hal-hal khusus - mencerna dan berfikir dan menerbitkan dalam laungan puisi.

2. Puisi harus ada untuk meluahkan jiwa manusia (dia tidak gemar perkataan ekspressi). Untuk menerangkan kepada kita hal-hal yang cantik dalam bahasa yang singkat dan indah. Dia mengutip cerita seorang budak empat belas tahun berambut kerinting yang sering cemburu melihat rambut lurus kawannya bersyair: my life is a series of hair product. Menarik, bukan?

Ada lagi beberapa hal menarik yang diungkapkan Jamal Raslan semasa ceramahnya tadi tetapi aku tak sempat mencatit. Kalau engkau orang nak tahu sangat, pergilah cari tumblr atau kekicaunya, kalau ada.

Ini contoh laungan puisi beliau:


Sesudah habis ceramah, aku ke kotak gelap irama pula untuk tengok-tengok. Terserempak dengan Wan Nor Azriq dan Ainunl Muaiyanah. Kedua-dua pernah hadir untuk forum 'Masih Bertahankah Sastera Melayu?' yang dianjurkan Fakulti Pengajian Media semester lalu. Ainunl kata dia akan menghadiri forum anjuran Buku Jalanan malam ini sebagai panelis. Berbual-bual sekejap sebelum berpisah. Jam lima, pertunjukkan wayang kulit 'Peperangan Bintang' pun mula dibuka.

Acara dimulai dengan pertunjukkan wayang kulit tradisional melayu asli. Kelir diwarnai dengan Hanuman, Ramayana, entah-siapa, dan entah-siapa. Pencahayaan yang hadir dari belakang memantulkan patung-patung dalam susana yang cemerlang sekali. Itu belum lagi disertai dengan alunan muzik Kelantan yang menyertai Tok Dalang sekali-sekala semasa dia bercerita. Aku tersenyum mengenangkan betapa 'seninya' orang-orang melayu terdahulu dalam mengadunkan patung, cahaya, bayang, dan muzik menjadi sandiwara yang kaya falsafahnya. Sayang sekali orang-orang Malaysia moden tidak menghargai peninggalan-peninggalan pribumi ini. Hati mereka sudah berpaut pada Kim Kardashian dan Big Bang dan umat melayu khususnya memang sudah dilaknat untuk tidak mempelajari warisan bangsanya.

Seusai persembahan wayang kulit tradisional melayu asli itu, persembahan Peperangan Bintang pula datang menyusul. Watak-watak Star Wars diterjemahkan ke dalam bentuk dan nilai-nilai kenusantaraan. Sebagai contoh, Anakin Skywalker ditukar nama Perantau Langit. Darth Vader menjadi Sangkala Vader dan giginya dilengkapi taring dan kuku-kuku tajam, menyerupai syaitan Ramayana. Hal yang sama juga berlaku kepada Storm Troopers, Princess Leila, R-2, dan lain-lain. Kata penggerak Peperangan Bintang Tintoy Chuo, ini adalah usaha menggabungkan seni-seni tradisional dengan nilai-nilai moden untuk menarik minat anak-anak muda semula terhadap wayang kulit. Aku kira itu satu perancangan yang bagus dan kreatif. Bukankah seni-seni lama harus dibawa semula dengan nafas yang segar supaya ia kekal relevan dengan masyarakat?

Ini preview Peperangan Bintang:



Kalau kau orang ada masa, pergilah tonton. Lagi-lagi untuk fanboy Star Wars atau budak-budak yang acah fanboy Star Wars.

fin.

Comments

Anonymous said…
Ah, aku memang iri sama kau. Aku sudah lanjut usia tapi masih bertatih mengenali budayaku, bahasa ibundaku. Dalam memenuhi tuntutan pekerjaan mengajar bahasa bekas penjajah, aku lupa yang Melayuku harus seiring. Jujur, aku cemburu.
hai, sebenarnya saya dah baca blog awak ni beberapa sebelum ini dan saya rasa blog awak sangat menarik. dan saya juga lihat awak adalah seorang penggemar buku. jadi boleh tak awak cadangkan buku-buku yang menarik untuk dibaca kepada saya.yang mana awak paling gemar sekali. sharing is caring :)
jhnrdzi said…
kedua-duanya sama penting, kawan (:
jhnrdzi said…
saya ada senaraikan sepuluh buku yg paling diingati beberapa post lepas. boleh tengok.

utk tambahan:

(BM)

Boneka Rusia Guido - Wan Nor Azriq
Catatan Seorang Demonstran - Soe Hok Gie (best!)
Seketul Hati seorang pemimpin - Shahnon Ahmad
Kekasih Sam Po Bo - Faisal Tehrani
Laskar Pelangi - Andrea Hirata.

(BI)
On the road - Jack Kerouac
The Catcher in the rye - J. D. Salinger.
Kafka On the Shore - Haruki Murakami.
My name is red - Orhan Pamuk.
Siddhartha - Herman Hesse.

selamat membaca!

Popular Posts