Enam hal yang lain-lain mengenai Nelson Mandela.

Rencana ini adalah sebuah terjemahan bebas dari 'Six things Nelson Mandela Believed That Most People Wont Talk About' oleh Aviva Shen. Karya asalnya boleh dibaca disini.


Mandela bersama Fidel.

Dalam keinginan kita untuk menyambut kehidupan Nelson Mandela –  tokoh yang berjaya meruntuhkan rejim zalim Apartheid di Afrika Selatan – adalah penting untuk kita menyeragamkan pandangannya kepada sesuatu yang boleh diterima masyrakat umum. Walaubagaimanapun, hasilnya bukanlah satu gambaran yang tepat mengenai lelaki itu.

Mandela adalah seorang pejuang politik dan penghasut. Beliau tidak pernah lekang dari kontroversi dan tidak juga berusaha mendapatkan – atau memperolehi – persetujuan semua orang dalam tindakan-tindakannya. Samada sebelum atau sesudah dibebaskan dari tahanan, beliau memegang teguh prinsip-prinsip progresif dan provokatif. Seorang pengulas ada menyebut tidak lama sesudah pengumuman kematian pejuang kebebasan itu bahawa, “Mandela tidak akan jadi hanya sekadar seorang pendendang. Selepas beberapa hari ini anda akan cuba mengubahnya, berusaha untuk memalsukan penampilannya, dan anda akan menemui kegagalan. Anda akan melembutkannya, membersihkannya, menanggal ‘Malcom X’nya. Anda akan cuba menghalang kelantangannya daripada dilihat orang ramai.”

Sementara seluruh dunia mengingati Mandela, berikut adalah perkara-perkara yang dia yakin akan cuba disembunyikan dan disorokkan oleh banyak orang kelak.

1.      Mandela menempelak Peperangan Iraq dan Penjajahan Amerika. Mandela memanggil Bush “seorang presiden yang tidak punya wawasan yang jauh, seseorang yang tidak mampu berfikir waras,” dan menyelar beliau untuk “mengheret dunia ini kelembah pembinasaan” dengan melancarkan perang di Iraq. “Apa yang Bush mahukan di Iraq hanyalah minyak,” Ujarnya. Malah Mandela juga mengandaikan bahawa Setiausaha-Agung Kofi Annan tidak diberi perhatian dan penghormatan sewajarnya kerana beliau berkulit hitam. “Mereka tidak pernah lakukan sedemikian sekiranya setiausaha-agung mereka berkulit putih,” tambahnya lagi. Mandela melihat Peperangan Iraq sebagai satu masalah besar rentetan Penjajahan Amerika diseluruh pelusuk dunia. “Sekiranya ada sebuah negara yang bertindak zalim melakukan kekejaman-kekejaman yang tidak terkata, ia adalah Amerika Syarikat. Mereka  memang tidak peduli.”

2.       Mandela memanggil pembebasan dari kemiskinan sebagai satu “hak asasi manusia.” Mandela menganggap kemiskinan sebagai salah satu kebejatan yang dahsyat, dan dimana-mana beliau akan bersuara lantang menentang ketidak-adilan. “Kemiskinan dan Ketidak-adilan adalah wabak yang dahsyat dalam zaman kita – zaman dimana dunia mempunyai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang sains, teknologi, industri, dan pengagihan kekayaan – bahawa kedua-dua kebobrokan tadi harus disenarai disebelah penghambaan dan apartheid sebagai salah satu daripada kejahatan sosial,” katanya.  Bukan setakat itu sahaja, beliau juga menganggap menghabisi kemiskinan sebagai satu tanggungjawab asas manusia: “Mengatasi kemiskinan bukanlah satu kelakuan amal. Ia adalah satu tindakan yang yang membawa keadilan. Ia adalah perlindungan terhadap hak asasi manusia, hak untuk hidup bermaruah dan baik,” katanya. “Sementara kemiskinan kekal berterusan, tidak akan wujud kebebasan yang sebenar.”

3.      Mandela mengkritik ‘Perang Keatas Keganasan’ dan pelabelan seseorang individu sebagai pengganas tanpa sebarang proses yang adil. Sebagai salah seorang yang termuat dalam senarai pemerhatian pengganas Amerika Syarikat sendiri, Mandela pengkritik yang lantang terhadap “Peperangan Atas Keganasan” anjuran Presiden George W. Bush. Beliau memberi amaran terhadap pelabelan seseorang individu sebagai pengganas tanpa sebarang proses yang adil. Sementara beliau menggesa Osama Bin Laden dihadapkan ke muka pengadilan, Mandela juga turut menambah, “Pelabelan Osama Bin Laden sebagai pengganas yang bertanggungjawab sebelum dia dibicarakan dan disabitkan boleh dilihat sebagai satu penjejasan terhadap rukun-rukun asas Kedaulatan Undang-undang.”

4.      Mandela mengecam perkauman di Amerika. Pada kunjungannya di bandar New York 1990, Mandela melawat Harlem dan memuji perjuangan rakyat Amerika berkulit hitam yang melawan “penindasan dalam bentuk diskriminasi kaum dan kesamarataan ekonomi.” Beliau mengingatkan orang ramai yang sedang berhimpun di Stadium Yankee ketika itu bahawa perkauman bukanlah masalah ekslusif bagi Afrika Selatan sahaja. “Sebagaimana kita sedang meniti dekad-dekad terakhir abad ke-20, ia (perkauman) masih tidak boleh diberi muka, tak terterima, dan bahawa barah perkauman sedang memakan perca-perca kemasyarakatan yang datang dari pelbagai tempat di planet kita,” kata Mandela. “Setiap daripada kita, samada berkulit hitam atau putih, perlu gigih melawan setiap bentuk dan manifestasi nafsu perkauman tanpa mengira tempat dan waktu apabila ia cuba memunculkan wajah hodohnya.”

5.      Mandela mempunyai hubungan yang rapat dengan musuh-musuh ketat politik Amerika Syarikat. Mandela menimbulkan kejutan dan kemarahan banyak komuniti di Amerika akibat keengganan beliau mengeji diktator Cuba Fidel Castro atau Kolonel Muammar Gaddafi (Libya), yang pernah meminjamkan sokongan terhadap beliau dalam perjuangannya menentang apartheid di Afrika Selatan. “Salah satu kesilapan dunia Barat lakukan adalah dengan membuatkan kita fikir musuh-musuh mereka patut jadi musuh-musuh kita,” jelasnya kepada penonton TV di Amerika. “Kami punya perjuangan kami sendiri.” Beliau menambah, pemimpin-pemimpin tersebut “memberi sumber ditangan kita untuk memenangi perjuangan kami.” Selain itu, beliau juga mengenali pemimpin Organisasi Pembebasan Palestin (Palestinian Liberation Organization) yang kontroversi itu, Yasser Arafat sebagai “rakan seperjuangan.”

6.      Mandela merupakan penyokong tegar Kesatuan-Kesatuan Buruh. Mandela pernah melawat Kesatuan Buruh Detroit dalam kunjungannya di Amerika Syarikat, dan serta merta menuntut persaudaraan dikalangan mereka. “Saudara saudari, sahabat taulan, dan rakan-rakan seperjuangan sekalian, lelaki yang bercakap didepan kamu ini bukanlah seorang lelaki yang asing,” ucap beliau. “Lelaki ini adalah salah seorang ahli UAW (United Autumobile Worker). Saya juga sebahagian daripada darah daging kamu.”

Comments

Anonymous said…
Good job!

Popular Posts