Dunia tanpa Syurga, Negara, dan Harta.



Imagine there's no heaven
It's easy if you try
No hell below us
Above us only sky
Imagine all the people
Living for today...

Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace.

Imagine - John Lennon.


Aku tidak bisa mengingati kali pertama lagu ini didendangkan. Aku lupa. Seperti lagu-lagu lain yang sarat dengan erti dan harapan yang begitu menggunung, kita tak pernah fikir bila atau mana pintaan seperti ini dinyanyikan. Ia tidak penting. Yang penting adalah apa yang terkandung didalamnya. Dan secara peribadi, ia adalah antara sebuah doa yang paling cantik pernah dipanjatkan dalam sejarah manusia.

Kita semua tahu lagu ini ditulis ketika nafsu nasionalisme dan agama membuak-buak membakar dunia. Sejarah memberitahu kita Eropah baru saja mahu pulih dari igauan Perang Dunia, Jepun masih meratapi jiwa-jiwa yang terbakar dalam mukjizat Nuklear yang maha syaitan, dan hutan-hutan Vietnam tidak pernah lekang dengan peluru buatan kilang Amerika. Nampaknya setelah mimpi-mimpi ngeri akan bom dan penyembelihan, manusia semakin galak untuk berperang. Dek kerana letih lantaran perang demi perang demi perang dan kemanan yang belum terlaksa, John Lennon dan Yoko Ono mengambil pensil dan menulis tentang sebuah lagu yang bernyanyikan dunia yang aman tanpa beza.

Bagi aku peribadi, dunia ideal menurut John Lennon ini, betapa ia memiripi Manifesto Komunis (dengar saja mereka menolak Agama, Negara, dan Harta Benda), ia masih bukan dunia yang terindah. Ia mungkin sebuah dunia yang aman, ya, apabila agama tidak dipergunakan untuk jihad-jihad palsu, apabila tiada bendera nasionalisme dipercacakkan atas kerongkong lawan yang telah mati, atau tiada lagi anak-anak lapar mangsa penindasan ekonomi, tetapi ia sudah tentu sebuah dunia yang hambar tanpa kepelbagaian dan beza. Bayangkan saja satu dunia dimana setiap orang adalah sama? Satu dunia yang hanya diberusi hitam dan putih. Sudah tentu ia sangat membosankan.

Ini kerana agama dan nasionalismelah yang membentuk budaya bagi sesebuah tamadun. Islam menerapkan nilai-nilai ketauhidan, Hindu dengan tradisi hikayatnya yang kaya, Buddha mengajarkan kita peri penting altruisme, dan Kristian sering saja berbual soal-soal kemaafan. Begitu juga dengan pembentukan budaya. Budaya yang ada di Amerika tidak sama dengan budaya yang mekar di Malaysia. Setiap daripada budaya mereka berpantulkan sejarah, undang-undang, dan adat resam yang unik. Kedua-dua ini seterusnya memperkayakan lagi perbezaan dan warna antara manusia, dan kepada ini aku ingin menyoal: adakah perbezaan-perbezaan ini tunjang utama bagi menyalakan api perang?

Jawab aku: tidak tentu. Dalam setiap penganut agama dan warga negara, ada si cerdik dan ada si bangang. Ada yang ekstrimis dan ada yang bertamadun. Sementara agama dan nilai-nilai kewarganegaraan menekankan betapa pentingnya mengangkat rasa kemanusiaan, ada manusia yang akur dan ada juga yang berdolak-dalih. Lalu kita bakal ketemu bahawa bukanlah perbezaan yang meminyaki perbalahan melainkan sifat kebinatangan dan kebobrokan manusia itu sendiri. Dan mereka ini kadang-kadang berjumlah orangnya.

Dan aku teringat firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat ketiga-belas:

"O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted."

Kata aku, bawakan saja perbezaan! Bawakan saja budaya asing dan resam lain, supaya kita saling berkenal-kenalan. Supaya kita belajar dan menghargai perbezaan. Supaya kita faham dunia ini milik kongsi bersama. Barangkali kita tidak perlu memukul rata agama dan negara menjadi tiada untuk menjadi aman, kita cuma perlu mendidik diri dan masyarakat untuk menerima perbezaan dan wujudkan toleransi, dan insyaallah, rahmat dari syurga akan turun mengasihi umat-umat manusia sekalian. Segalanya mungkin atas nama Ar Rahman dan Ar Rahim.


Comments

Atiqah Yusoff said…
What a nice word you had. Keep writing ^_^
Cangkul Emas said…
Kadang kita sendiri kurang faham apa yang kita hendakkan. Kadang ada yang berjuang tanpa sebab musabab. Terikut ikut dan menjadi radikal yang tidak berfikir.

Popular Posts