Penyesalan terhadap babu.

Tadi seusai aku membeli dua bungkus roti pandan (sebungkus kira-kira dalam 60 sen) dari seorang babu roti di Sek U12, Shah Alam, aku pun bergegas ke apartmen dan memanaskan teh untuk dibuat supper. Mungkin ini amalan aku dari Sekolah Asrama lagi, maka supper adalah satu rutin yang jarang aku elak. Biasa-biasa pun, aku selalu makan sekeping roti sebelum tidur. Kalau malas sangat, aku buat air panas saja.



Dalam ketika aku sedang makan itu, tiba-tiba aku teringat kepada Babu yang sering berkunjung ke sekolah menengah aku ketika aku di Maktab Tentera Diraja dulu. Disebabkan kami hidup di asrama, maka makanan disana amat terhad. Kantin jarang beroperasi. Mess (Dewan Makan) pun hanya dibuka ketika waktu lunch dan dinner saja. Waktu-waktu dicelahnya biasanya adalah waktu kelaparan. Oleh itu, kedatangan Babu ke asrama adalah satu kunjungan yang dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi oleh orang yang kuat makan macam aku.

Dia adalah seorang babu yang standard. Seorang pakcik india muslim yang tua dan berjanggut putih. Dia akan tunggang motor buruknya yang sarat dengan pelbagai jenis roti. Dia punya senyuman mesra dan sering melayani karenah kami, budak-budak tingkatan 4 dan 5 yang banyak demand dengan kesabaran yang padu. Dia pun jual roti-roti yang biasa saja. Ada roti bungkus, Gardenia, ada roti kismis dan kek dalam plastik. Ada juga beberapa snek seperti muruku ikan dan kacang dibawa serta. Kadang-kadang, makanan yang simple pun boleh jadi sedap bila kau hidup di asrama. Betul tak tipu.

Babu sering datang waktu petang, dari 4 petang sampai 6. Ada beberapa ketika, Babu akan tunggu sampai maghrib. Bila dia datang saja, berkerumun budak-budak serbu mahu membeli roti.

"Babu, saya nak beli roti Gardenia!"

"Babu, tolong pass kan saya roti kismis."

"Babu itu, babu ini." 

Begitulah dia berhadapan dengan ragam kami.

Entah kenapa satu hari, mungkin kerana aku tidak cukup wang, terlintas dihatiku untuk mencuri sebungkus roti. Pada mulanya aku berasa agak bersalah sedikit, tetapi mengenangkan beberapa kawan aku yang dah buat hal serupa, maka aku pun tekad mahu buat juga. Bila difikirkan balik, aku tidaklah lapar sangat. Mungkin aku lebih terikut-ikut dengan perlakuan nakal kawan. Mahu jadi rebel. Jika mahu dikiran, ramai saja kawanku yang sudah berbuat sedemikian. Jadi aku tunggu saat yang sesuai. Apabila tiba masa orang ramai menyerbu mahu membeli itu dan ini, tanganku pantas mencapai sebungkus roti dan menyimpannya kedalam poket. Aku memerhatikan sekeliling, tiada siapa yang nampak tindakan aku sebentar tadi. Babu terlalu sibuk melayani budak-budak yang membeli dengan halal. Dia tidak perasan.

Aku bergegas naik keatas asrama dan mengunyah roti haram itu tadi tanpa sedikit penyesalan tertompok dihati.

Beberapa bulan berlalu, dan peristiwa itu cepat luput dari kesedaranku. Seolah-olah apa yang aku buat itu bukan satu dosa dan malaikat disebelah kiriku tidak mencatat apa-apa. Aku masih membeli seperti biasa. Dan Babu juga masih menjual seperti biasa. Keadaan itu berlansung untuk tempoh yang lama. 

Sampailah dibulan Ramadhan, ketika aku baru pulang dari prep malam, aku ternampak Babu masih menjual. Selalunya dibulan Ramadhan, babu akan datang waktu kami selesai prep. Orang-orang yang datang biasanya mahu membeli sedikit juadah untuk sahur nanti. Aku datang padanya dan pilih sebungkus roti 60 sen. 

"Babu, saya mahu beli ini ya."

Aku pancing poketku, mengeluarkan beberapa keping syiling. Aku taburkan atas tapak tangan dan kira satu-satu. Rupa-rupanya wang aku tidak mencukupi. Masih kurang 10 sen. Melihat itu Babu tersenyum. Dia mengambil sebungkus roti kismis dan menyerahkannya pada aku. Aku tidak faham.

"Tak apalah, pakcik halalkan saja. Nah ambil ni sekali. Ini bulan Ramadhan, bulan banyak berkat."

Aku sedikit tersentak. "Tak apalah pakcik, saya mahu beli roti ini saja." tudingku pada roti murah itu.

Babu menggeleng-geleng kepala. "Tak apa, nanti boleh buat sahur dengan kawan-kawan sekali. Ambil sajalah, dah rezeki." sambut Babu dengan senyuman ikhlas.

Aku pun ambil dari tangannya. Aku berasa serba salah. Dosa yang aku lakukan beberapa bulan yang lalu datang mengusik kalbu. Aku ucapkan terima kasih, senyum, dan berlalu. Malam itu aku asyik dihimpit rasa kekosongan. Seolah-olah ada sesuatu dari diriku telah terbang keluar saat aku menerima pemberian babu itu tadi. Aku berusia 17 tahun ketika itu.

*********

Kali terakhir aku dengar, Babu sudah tidak berniaga lagi disekolahku. Khabarnya ada perselisihan faham dengan staf sekolah. Aku kurang pasti. Tetapi itu tidak penting. Itu hanya cerita-cerita yang disebarkan oleh angin. Peperiksaan SPM telah ditempuhi, aku terima tawaran ke UiTM untuk meneruskan pengajian Undang-Undang.

Setiap kali aku terlihat 'babu-babu' lain yang membawa motor mereka yang sarat dan membunyikan hon, ingatanku kembali pada Babu. Aku kira, dia bukanlah datang dari keluarga yang senang, sekurangnya jika mahu dibanding dengan aku. Boleh kata, keluarga aku agak mewah. Makan kenyang, baju bersih, perbelanjaan mencukupi hasil titik peluh ibubapa. Tetapi dalam kekurangan itu juga datang satu kelebihan. Babu merendah diri. Babu pemurah. Dia juga tidak berkira-kira. Allah merahmatinya dengan hikmah semacam itu. Sayangnya, itulah apa yang aku gampang.

Barangkali sebab itu aku lebih gemar memilih kedai-kedai atau peniaga kecil-kecilan berbanding memakan direstoran-restoran mewah. Burger dipasar malam, air kelapa, nasi lemak bungkus, kuih-muih akan jadi pilihan. Aku jarang menjejakkan kaki kekedai-kedai mewah, itupun bila ada orang belanja atau keadaan yang mendesak. Jurang ekonomi dinegara kita terlalu luas - seperti langit dan bumi; dengan orang kaya yang bersarapan distarbuck dan dinner steak yang wangi, dikelilingi tembok tinggi dan kenderaan mahal, dan orang miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pada mereka, hidup adalah perjuangan. Aku percaya dengan berkunjung kekedai mereka, secara tidak lansung itu juga boleh membantu perjuangan mereka itu. Sekurangnya itulah apa yang aku percaya.

Disaat aku sedang berbaring diatas katil dan memerhatikan sinar bintang dari langit yang kejauhan, aku membayangkan penyajak Amerika Maya Angelou datang merentasi benua untuk berjumpa denganku dan berbisik kata-kata saktinya;

Bisiknya: “I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.” 

Mungkin ada benarnya. Aku tersenyum. Semoga Allah bersama dengan pejuang-pejuang hidup.


Nota: Semasa sedang menulis ini, Bob Dylan dan Like A Rolling stone menemaniku. Lagunya memang 'sesuatu' betul.

Comments

ghost said…
suka membaca cerita kau, berterus terang dan aku percaya kita semua punya kenakalan. cuma ia berbeda-beda.
Telor Power said…
Sekarang dah jarang nampak org jual roti dgn motor jaja kesana kesini.

rindu pada roti banggali. Lama sgt tak makan.
jhnrdzi said…
terima kasih bisk.

ahaa ya, kenakalan adalah sifat kita juga, dan bila kita menginjak dewasa, kenakalan itu tadi akan terus mengajar untuk mematangkan.
jhnrdzi said…
sangat rare. di shah alam ni pun dia datang apartmen aku time malam.

bimbangnya, dalam arus mahu kejar modernisasi ini, mereka juga akan lluput. harapnya tidak.
Suka entri ini. Alhamdulillah, Tuhan bagi kita rasa muhasabah diri apabila kita lihat orang yang susah payah berniaga secara kecil-kecilan.
jhnrdzi said…
Terima kasih Hanan (:
APi said…
Cerita kau ni betul-betul dekat dengan aku. Mungkin kita punya persamaan dalam cerita kau. Nakal? Normal aku rasa.
Mufakaz Fahmi said…
aku rasa aku tahu kau mencuri tu dengan siapa. hahahaha
jhnrdzi said…
rasanya biasa kot kalau budak budak nakal. haha. tapi bila kita dah dewasa, baru tahu salah silap. dari situ kita berangkat menjadi matang.
jhnrdzi said…
ehem ehem, shuuushh :p

Popular Posts